Halaman

Khamis, 24 Mac 2011

SP's Ring Road

Cuaca tidak mengizinkan untuk membuat kayuhan beberapa hari kebelakangan ini. Rata rata orang ramai banyak berbicara tentang keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang ini. Kebiasaan disebelah utara pada bulan Mac ini masih lagi cuaca panas dengan berakhirnya musim sejuk di hemisfera utara dan bermulanya musim bunga. Hujan selalunya akan turun pada suku akhir tahun dengan datangnya angin timur. Tetapi sejak beberapa hari yang lalu kawasan utara menerima hujan yang banyak hingga menyebabkan beberapa tempat di Sungai Petani mengalami banjir dan lebih dua ratus orang dipindahkan.
Mungkin ada hikmah dan rahmatnya kedatangan hujan yang diluar musim. Sejak berpindah ke Sungai Petani pada tahun 1991, ini adalah  kali pertama kawasan ini dilanda banjir pada bulan Mac. Terdapat beberapa kawasan yang masih di penuhi air.
Badan menjadi agak lemah kerana empat hari tidak berkayuh. Kali terakhir adalah kayuhan ke Betong, Selatan Thailand pada Ahad lepas. Aku hanya ingin membuat kayuhan melonggarkan lutut dan otot kaki. kayuhan dari rumah ke Tol Sungai Petani Utara dan akan berpatah balik. Jarak 20km sahaja. Tetapi apabila sampai ke destinasi yang dituju cuaca menjadi bertambah baik dan matahari mula menyinar. Terasa rugi pula untuk berpatah balik. Aku mengambil keputusan untuk meneruskan kayuhan melalui lencongan timur.
Semasa melalui di hadapan Hospital Sultan Abdul Halim aku terpaksa berhati hati. Aku perlu mengelakkan dari mengharungi lopak air di atas jalan. Ketika berbuat demikian terpaksa memasuki tengah jalan. Kenderaan agak sibuk waktu pagi ini. Ketika itu aku berfikir apa akan jadi di Bandar Sungai Petani sekiranya lencongan timur dan barat ini tidak dibina. Bayangkan kesesakkan yang berlaku di tengah bandar pada setiap persimpangan dan lampu isyarat.
Sekarang walaupun dengan kewujudan kedua dua lencongan, aku mengelakkan dari pergi ke bandar pada waktu tengah hari dan petang. Kesesakkan kadang kala menjadi begitu membosankan, ditambah lagi dengan sikap pemandu yang kadangkala tidak menghiraukan pemandu lain atau tidak mengikuti peraturan lamput isyarat. Walaupun lampu telah bertukar merah mereka sering tidak memperdulikan dan terus memandu. Tidak kurang pula yang memberhentikan kenderaan atau meletakkan kereta bukan ditempat parking.
Jalan lencongan (diversion) mengikut pendapat aku bukanlah perkataan betul digunakan. Selalunya lencongan digunakan apabila jalan dihadapan ditutup dan kenderaan diberi lalauan lain. Terma yang sesuai mungkin 'Ring Road' seperti yang digunakan di Butterworth iaitu 'Butterworth Outer Ring Road' atau BORR. Dinegara maju seperti di Eropah ia telah lama wujud untuk mengelakkan kesesakkan dibandar dan untuk memberikan pemandu keselesaan dan dapat sampai kedestinas dengan lebih cepat.

Statistik
   Mula ............... 8.10 pagi
   Tamat ............. 9.25 pagi
   Jarak .............. 33 km
   Cuaca ............. mendung
   Laluan ............ lencongan barat - lencongan timur

Tiada ulasan:

Catat Ulasan