Halaman

Jumaat, 18 Mac 2011

Bukit Semarak

Trek yang lapang dan luas
Rancangan awal adalah membuat kayuhan LTLB (lencongan timur - lencongan barat) pada pagi Jumaat ini tetapi aku batalkan kerana sudah lebih dua minggu  aku tidak berjogging di Bukit Semarak. Aku mengenakan pakaian trek sukan dan memandu ke Taman Semarak.
Sebaik sahaja aku memulakan pendakian aku dapati laluan mendaki bukit telah dibaiki dan dibesarkan. Sebelum ini keadaan jalan agak teruk dengan lubang dan longkang akibat hakisan dan laluan air ketika musim hujan yang baru lalu. Permukaan jalan juga berbongkah dengan ketulan batu laterite. Jalan juga semak dan menjadi sempit kerana anak anak pokok, rumput  dan lalang yang tumbuh dengan subur dikedua belah jalan.
Sekarang jalan tersebut menjadi lebih selesa untuk pendaki bukit. Leeway kabel High Tension TNB juga disenggarakan dengan baik dan tiada pokok besar yang tumbuh. Laluan dan pendaki boleh dilihat dengan jelas dari bawah dan dari atas bukit. Keadaan ini menjamin keselamatan pendaki dari binatang berbisa atau dari perkara yang tidak di ingini.
Seingatan aku, setiap tahun jalan dan laluan di bukit ini diratakan dan dibaiki menggunakan bulldozers untuk kemudahan pendaki. Terdapat individu yang bermurah hati menghantar jentolak untuk kerja kerja tersebut. Mungkin individu tersebut dan keluarganya kerap datang beriyadah dibukit ini. Kalau diikutkan kos atau perbelanjaan agak banyak dan mungkin mencecah ratusan ringgit. Pernah satu ketika dulu diletakkan  tong di tengah jalan untuk sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan. Tidak pasti samada ia mendapat sambutan atau tidak. Kini tiada  lagi tong kutipan seumpama itu disediakan.
Pihak berkuasa tempatan sepatutnya membuat kerja kerja senggaraan di tempat sebegini atau sekurang kurangnya menyediakan prasarana yang lebih baik. Aku dapat tahu  dari rakan bahawa orang awam yang membuat pendakian Bukit Bendera Pulau Pinang dari arah Botanical Garden boleh mendapatkan air minuman percuma yang disediakan oleh 'good samaritan' (orang biasa terutama Kristian atau Budha yang berbuat amal) pada beberapa lokasi lokasi tertentu. Bagi aku sepatutnya ada usaha yang dibuat untuk mengadakan tempat orang menghilangkan dahaga atau membasuh muka di bahagian bawah bukit ini. Mungkin punca boleh diambil dari bawaah tanah atau sungai kecil ditepi bukit.
Pada pertengahan pendakian, kelihatan sekumpulan remaja membuat pendakian ke puncak melalui laluan dibawah high tension cable, tidak mengikut jalan biasa.  Dahulunya tiada laluan disitu kerana semak dan curam. Sudah beberapa lama aku tertanya samada ada pendaki yang melalui jalan tersebut dan aku teringin mencubanya.
Pendakian agak sukar dengan kecerunan melebihi 45 darjah. Ada beberapa tempat dimana kecerunan melebihi 75 darjah dan ada ketika terpaksa memanjat menegak. Pokok pokok kecil, rumput atau akar kayu dijadikan tempat berpaut dan supaya tidak tergelongsor kebelakang. Ya .. ada tempat berpijak seperti tangga yang dibuat membolehkan pendakian lebih mudah.
Walau jarak pendakian tidak melebihi 200 meter, tetapi ia benar benar menguji kekuatan fizikal  dan mental seseorang. Itu sebabnya tidak ramai yang mengikuti laluan tersebut. Aku terpaksa berhenti setiap beberapa meter untuk mengembalikan tenaga dan untuk memperlahankan degupan jantung. Peluh menitik dengan banyak.
Dihadapan aku seorang gadis bersama bapanya yang membuat latihan ketahanan. Menurut bapanya  dia akan mengambil bahagian dalam sukan sekolah peringkat Negeri Kedah yang akan diadakan minggu hadapan. Baju T yang dipakai oleh bapanya mempunyai lambang Negeri Sembilan dan itu menjadi modal aku untuk berkenalan dan bersembang. Dia pernah berkerja di Seremban selama sembilan tahun sebelum ditukarkan ke Kedah.
Aku berasa amat puas dan gembira kerana dapat menghabiskan pendakian tersebut. Kesal sedikit kerana tidak membawa kamera bersama untuk merakamkan pemandangan dari perrtengahan pendakian. Pasti aku akan mengikut laluan ini dimasa akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan