Halaman

Selasa, 29 Mac 2011

Kalau hujan nak turun.... hujun akan turun

My other half (isteri aku lah tu) mengerakkan aku dari tidur awal dan bertanya samada aku mahu membuat kayuhan basikal pagi ini. Katanya anak kami yang kini menjalani latihan akhir kedoktoran di hospital Kangar mengatakan aku dalam keadaan stress semasa berbual dengannya melalui telefon malam tadi. Dia menyuruh aku melakukan exercise agar dapat mengurangkan stress. Entahlah, aku sendiri tidak perasan yang aku mengalami stress. 
Punca stress yang aku alami. Kelmarin 28 Mac 2011 hampir sehari suntuk aku berada di Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani. Bukannya aku atau mana ahli keluarga yang mengalami masalah kesihatan tetapi aku kesana membawa seorang kenalan yang juga saudara jauh (sebelah nenek atau moyang dulu) yang mengalami masalah tekanan mental (skizofrenia) yang agak kronik. Penyakit ini disebabkan antara lain kerana tekanan, stress, masalah dan pelbagai lagi. Pesakit sering mengalami halusinasi, nampak makluk halus, mendengar suara, fikiran yang bercelaru, mencederakan diri, murung, syak wasangka dan pelbagai lagi.
Penyakit ini mula dialami sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Malang kerana selama ini dia mengubati penyakit tersebut secara traditional. Kebanyakkan pengamal perubatan tradional mengatakan penyakit tersebut disebabkan gangguan mahluk halus tetapi semuanya gagal menyembuhkan penyakit tersebut. Ratusan ringgit telah dibelanjakan sebagai hadiah dan pengeras untuk perubatan traditional tersebut. Sedihnya sesetengah pengamal perubatan tersebut mengenakan upah yang menjangkau ribuan ringgit untuk menghalau dan membuang makluk halus dari tubuh badan pesakit.
Aku berjaya memujuknya untuk mendapatkan perubatan moden iaitu berjumpa dengan bahagian psikiatri di hospital. Kaunseling oleh pihak hospital dan ubat penenang dapat meredakan tekanan mentalnya dan tidak sampai sehari telah menunjukkan kesan yang amat positif. Pihak hospital juga ambil berat dengan menelipon bertanyakan keadaan pesakit keesokkan harinya. Mereka juga membuat lawatan kerumah. Hari khamis nanti aku kena membawa pesakit untuk rawatan lanjut.
Walaupun langit diselubungi awan hitam tetapi isteri aku yakin hujan tidak akan turun atau sekurang kurangnya tidak akan turun sehingga aku sampai kerumah. Katanya hujan mungkin akan turun pada lewat pagi. Sempat untuk membuat kayuhan pendek, mungkin sejauh 30km. Setelah berfikir berkali kali aku mulakan kayuhan hampir jam 9.00 pagi. Aku mungkin tidak akan terkena hujan jika aku terus pulang melalui lencongan timur tetapi aku meneruskan kayuhan. 
Hujan mulai turun semasa aku sampai di Padang Buloh, Pantai Perai. Malang tiada gerai atau tempat berteduh. Gerai paling hampir lebih dari 1.5km, jadi aku terpaksa berteduh dibawah pokok kelapa sawit di ladang Kuala Jerong. Aku berdiri rapat dengan pokok sawit. Dengan cara ini aku tidak terkena air hujan dan pakaian aku masih kering apabila hujan reda setengah jam kemudian. 
Hujan tidak berapa lebat tetapi ianya berterusan. Apabila aku meneruskan kayuhan setelah hujan reda, hujan menjadi lebat semula selepas beberapa minit. Aku berasa lega apabila sampai ke sebuah gerai sebelum hujan turun lagi. Disini aku menjamu selera untuk mengisi perut dan memanaskan badan dengan air panas. Masih ada lebih kurang 10 km dari rumah.

Statistik
   Mula .............. 8.50 pagi
   Tamat ............ 12.00
   Berteduh ........ 35 minit
   Rehat ............. 15 minit
   Jarak............... 50 km
   Cuaca ............. hujan
   Laluan ............ Lencongan Barat - Jalan Kuala Ketil - Sidam Kiri - Pinang Tunggal
   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan