Halaman

Ahad, 30 Januari 2011

Selalu .... the wrong way

Perlumbaan LTdL 2011 memasuki stage 8 hari ini bermula dari Kuala Pilah (kampung den la tu....) ke Jasin Melaka. Jarak yang terpanjang iaitu 156.8 km dalam siri ini. Bolasepak Liga Super Malaysia bermula semalam dan hari ini jaguh badminton negara melawan Lin Dan  dalam kejuaraan Terbuka Badminton Korea. Bolasepak Piala Asia juga menutup tirai dengan Jepun menewaskan Australia.
Oh ya.. hari ini juga PRK Dun Tenang, Labis diadakan. 
Tiada rancangan untuk aku berkayuh ke Butterworth pagi ini. Aku cuma ikut naluri dan ikut hati sahaja. Aku menelipon Juan mengajak membuat kayuhan bersama tetapi dia telah pun ada rancangan kayuhan dengan rakan lain. Aku tidak mahu mengganggu. Seperti biasa aku lebih seronok berkayuh solo.
Apabila melepasi Pekan Kepala Batas aku nampak ramai pengayuh basikal. Kesemuanya menghala kearah utara. Aku tidak larat mengangat tangan. Aku seorang sahaja yang menghala ke selatan. Rasa janggal pula ... seperti melawan arus. Itulah masalah aku..... the wrong way. Rasanya mereka menuju ke Pantai Merdeka.
Aku melayan fikiran. Teringat pelajaran Additional Mathematics dan Physics tentang 'Relative Motions' semasa tingkatan lima dulu (bukanyan theory relativity oleh Albert Einstien). Pengayuh dari arah bertentangan seolah-olah mempunyai kelajuan dua kali ganda menuju kearah aku, sekiranya kelajuan dia dan kelajuan aku sama. Ini kerana kedudukan aku tidak bergerak relatif kepada pengayuh tersebut. Lebih kurang sama seperti kita dalam kapalterbang (atau lain kenderaan), kita duduk tidak bergerak tetapi kapalterbang bergerak pada kelajuan tinggi. Atau ketika menaiki kereta atau bas dan memerhati keluar, kita nampak pokok atau objek diluar bergerak mengikut kelajuan kereta kearah kita.
Dua orang riders roadbikes sedang menuruni jambatan overpass jalan BORR (Butterworth Outer  Ring Road) dari arah Sungai Dua. Tidak pasti pula berapa jauh atau berapa lama mereka telah berkayuh tetapi kelajuan mereka agak perlahan. Dengan berat hati aku terpaksa memotong mereka berdua. Aku tidak mahu 'nak lawan tauke pula' sebab basikal roadbikes yang mereka gunakan berkali ganda lebih baik, lebih mahal dan lebih baru dari basikal aku. Kedua duanya pun jauh lebih muda dari aku. Agaknya mereka keletihan. Setelah lebih kurang 5 km mereka membelok ke arah bandar Butterworth sementara aku terus ke akhir jalan BORR.
Aku membuat  U turn dan singgah di Pantai Bersih mencari gerai makanan untuk mengisi perut. Gerai yang aku singgah trip terdahulu tutup hari ini. Ada dua restauran Nasi Kandar tetapi aku sengaja mengelak dan tidak mahu melanggani restauran mamak.  Aku mencari gerai lain dan singgah digerai di penghujung dipantai tersebut. Lauk pauk yang dijual macam biasa tengok je.. Kena rendang ayam, begedil dan pindang. Semasa makan aku terdengar tuanpunya gerai bersembang dengan seorang pelanggan yang baru sampai dari Johor. Rupanya dia  orang kampong, patut le lauk macam biasa aku rasa.
Semasa berkayuh pulang sekali lagi aku bertembung dengan kumpulan pengayuh basikal dari arah bertentangan, kali ini mereka dalam perjalanan pulang juga. Kumpulan mereka menjadi lebih ramai. Semuanya menghadapi masalah yang sama seperti aku, melawan tiupan angin yang bertiup kencang.

Statistik :

   Mula ............ 7.50 pagi
   Tamat .......... 11.25 pagi
   Jarak ............ 80 km
   Cuaca ........... Redup. Berangin
   Laluan .......... Tikam Batu - Kepala Batas - Bagan Ajam - BORR
.

Sabtu, 29 Januari 2011

Muzium Arkeologi

Atas desakan Juan, aku bertekad untuk mengayuh ke Muzium Arkeologi Merbok menggunakan roadbikes. Pada mula aku agak skeptikal sama ada boleh menghabiskan pendakian. Biasanya aku menggunakan mountain bikes untuk ke muzium. Juan menyakinkan bahawa dia telah beberapa kali membuat pendakian menggunakan roadbikes dan tidak menghadapi sebarang masalah.
Aku masih tidak berapa sihat kerana kelmarin aku diserang selsema dan batuk. Kalau ikutkan aku masih belum sehat untuk kayuhan pagi ini tetapi aku kuatkan semangat dengan tujuan untuk mengeluarkan peloh. Sebaik sahaja memulakan aku berselisih dengan John yang dalam perjalanan pulang dari kayuhan sendirian.


Aku menuju ke Merbok melalui Pekan Semeling yang agak sibuk pada waktu pagi. Tambahan lagi Tahun Baru Cina hampir tiba iaitu pada Khamis 3hb Feb. Orang Cina sibuk membeli barangan sebagai persiapan menyambut perayaan tersebut. Biasanya pada waktu ini harga barang keperluan harian terutama barangan makanan basah akan naik. Harga makanan laut biasanya akan meningkat terutama udang dan ikan bersaiz besar. Makanan basah yang dibeli akan disimpan dan dimasak pada hari perayaan nanti.
Kayuhan pendakian tidaklah seteruk yang difikirkan. Malah aku rasakan lebih cepat dari menggunakan mountain bikes. Dua tiga orang menyapa semasa aku tercungap cungap membuat pendakian seolah memberi semangat dan galakan. Terima kasih aku diucapkan. Sampai di penghujung jalan aku dapati muzium telah dibuka dan beberapa kakitangan sedang membersihkan kawasan dari daun daun mati menggunakan mesin penghembus. Tidak perlu gunakan penyapu seperti dahulu. Masih belum ada pengunjung dan pelawat.
Hujan rintik mulai turun dan aku bergegas untuk turun supaya tidak terperangkap di atas yang mana boleh menjejaskan semasa menuruni bukit. Aku berasa 'gayat' kerana pertama kali menggunakan roadbikes ketika turun dari muzium tetapi sampai ke Pekan Merbok dengan selamat. Aku bergegas pulang kerumah tanpa berhenti untuk minum.

Statistik :

   Mula ............ 8.10 pagi
   Tamat .......... 9.55 pagi
   Jarak ............ 38 km
   Cuaca ........... Cerah
   Laluan .......... Muzium Arkeologi Lembah Bujang - Merbok
.

Isnin, 24 Januari 2011

LTdL Stage 2

Kelmarin Ahad 23 Januari aku berehat dirumah. Habiskan masa membuat kerja kerja mengecat beberapa peralatan bersangkutan dengan basikal. Hari ini tidak dapat mengelakkan keghairahan mengayuh roadbikes classic yang baru disiapkan.
Aku tidak berhasrat untuk berkayuh jauh atau lama kerana ada beberapa yang perlu dibereskan. Pada sebelah petang nanti, aku kena melapangkan masa untuk berdiri di jalan N1 Alor Setar - Butterworth di Bandar Sungai Petani untuk tidak melepaskan peluang menyaksikan pelumbaan basikal Le Tour de Langkawi Stage 2. Stage  ini adalah hari kedua perlumbaan dari Kangar ke Butterworth Pulau Pinang. Dijangkakan pelumba akan melalui bandar Sungai Petani sebelum jam 2.00 petang.
Sebaik sahaja memasuki Lencongan Barat aku disambut oleh tiupan angin Timur yang agak kencang. Terpaksa berusaha keras untuk maintain speed dan untuk maintain record masa kayuhan. Bukan sahaja terpaksa melawan angin yang bertiup dari arah utara, suhu udara menjadi begitu sejuk.
Aku sampai dirumah lambat 5 minit dari masa yang aku buat dua hari lepas. Aku salahkan angin yang bertiup bertentangan kayuhan aku. Sebenarnya alasan itu tidak penting kerana tujuan kayuhan hanya sebagai senaman.
Kelmarin 23 Januari 2011, negara bergembira dengan kemenangan Datuk Lee Chong Wei dalam acara perseorangan Badminton Terbuka Malaysia menewaskan Taufik Hidayat dari Indonesia. Kelmarin juga pengayuh basikal Malaysia menunjukkan kecermelangan pada LTdL yang bermula di Pulau Langkawi. Walaupun gagal mendapat tempat pertama tetapi berada dalam kelompok pendahulu.


Apabila aku keluar kejalan utama kelihatan anggota polis mulai mengawal lalulintas dimana perlumbaan LTdL akan lalu, waktu itu baru jam 12.30 tengah hari. Aku jangkakan pelumba akan sampai jam 2.00 petang. Aku kansel hajat untuk makan tengah hari dan mencari tempat yang sesuai untuk menyaksikan pelumba basikal tersebut. Kebetulan Juan menelipon aku dan mengajak aku bersamanya  berhampiran dengan Masjid Bakar Arang.
Jam 1.00 petang tiada lagi kereta yang dibenarkan melalui kedua dua hala jalan. Kereta yang diletakkan dibahu jalan diarah untuk dialihkan. Selang beberapa minit, muncul beberapa motorsikal berkuasa tinggi (Marshal) meninjau keadaan jalan raya dan memberitahu anggota polis yang mengawal lalu lintas bahawa pelumba akan sampai sekejap lagi. Di udara sebiji helikopter berlegar legar menunjukkan pelumba akan sampai pada bila bila masa.
Semuanya berlalu dengan begitu pantas. Tidak sampai satu minit kesemua pelumba melintasi tempat dimana aku berdiri. Aku tidak dapat mengecam mana mana pengayuh termasuk pelumba Malaysia kerana kelajuan kayuhan terlalu pantas. Jalan kembali pada keadaan biasa dalam masa lima minit. 

Statistik :

   Mula ............ 7.50 pagi
   Tamat .......... 9.05 pagi
   Jarak ............ 33 km
   Cuaca ........... Cerah
   Laluan .......... Lencongan Barat - Lencongan Timur Sungai Petani
.

Sabtu, 22 Januari 2011

Geng Pinang Tunggal

Sudah agak lewat malam bila seorang rakan dari geng basikal Pinang Tunggal menalipon dan mempelawa aku untuk ikut serta kayuhan pagi ini. Kemudian aku menerima SMS dari rakan lain yang juga menjemput bersama berkauh. Mulanya agak keberatan kerana penat kayuhan pagi Jumaat masih belum hilang lagi. Tetapi kerana fikirkan kawan, aku bersetuju. Lagi pula trek yang dicadangkan tidaklah berapa teruk, kebanyakkan jalan biasa, cuma pendakian ladang kelapa sawit sebelum Teluk Bayu yang agak curam. 
Mengikut rancangan kayuhan akan dimulakan pada 7.30 pagi dari Kedai Basikal D'Nia Taman Seraya, Pinang Tunggal. Jadi aku keluar dari rumah seawal jam 7.00 pagi kerana jarak dari rumah ketempat mula lebih 10 km. Pagi masih gelap dan aku pastikan lampu belakang basikal berfungsi. Mujur hari ini tidak banyak kereta di jalan raya kerana masih pagi dan weekend.
Apabila aku sampai di tempat dan masa yang dijanjikan, masih ada dua tiga rider  yang masih belum tiba. Penganjur  kayuhan sibuk membuat panggilan telefon kepada  mereka yang belum sampai.  Seorang menarik diri kerana menghariri kenduri manakala seorang lagi dalam perjalanan dan seorang menunggu di kawasan taman perumahan kerana kayuhan akan melalui taman tersebut.
Setelah pemeriksaan akhir pada basikal siap, kami mulakan kayuhan pada jam 7.45 pagi. Aku dibelakang sekali kerana bagai aku kata, penat kayuhan hari sebelum masih belum hilang lagi. Pulak tu aku silap geng kerana semua rider menggunakan mountain bikes manakala basikal aku menggunakan tayar slick 26 x 1.25. Macamana ndak membuat kayuhan off-road dan pendakian bukit. Tetapi aku tetap bersama juga walaupun terpaksa menolak basikal.
Antara geng Pinang Tunggal yang membuat kayuhan


Berhenti di Taman Rhu untuk menunggu seorang lagi rider. Sambil itu sesiapa yang tidak sempat breakfast membeli kuih dari kakak yang berniaga dipersimpangan jalan dan mengisi perut dengan dua tiga biji kuih. Akhirnya bergerak jam 08.03 pagi menuju ke Pekan Tikam  Batu. Kami membelok ke arah Batu Lintang dimana jalan agak lengang dan terus membuat pendakian di Bukit Batu Lintang. Sampai dipuncak semua bereha dan sambil mengunggu ketibaan pengayuh terakhir. Aku lah tu.

Perhatian penuh tanpa berbelah bagi mendengar cerita dan lawak Zaidi ......
Kelapan orang kami menyerbu satu satunya gerai makan di Teluk Bayu. Pada mula semua hanya mahu mengalas perut dengan makan ringan sahaja, tetapi apabila kakak tukang masak membawa keluar gulai ikan sembilang, enam orang kami minta nasi lauk kari ikan sembilang. Lama juga kami berehat dan berbual digerai tersebut. Aku berkata kepada rakan rakan, "Hari ini lapan orang nelayan akan kelaparan sebab kita sudah ambil bahagian (makanan) mereka".
Hah .. kali ini berebut rebut pula hendak membayar makanan, semua menyumbang.  Kali akhir kami disini kebanyakkan tidak membawa wang. Lapan orang makan nasi serta pelbagai jenis air minuman berjumlah RM39.00.
Semasa perjalanan balik aku diajak untuk membuat kayuhan ke Lata Bukit Hijau, Baling pada esok hari Ahad 23 Jan. Kali ini aku terpaksa menolak kerana dua tiga hari berkayuh berturut turut amatlah memenatkan. Aku perlukan rehat. Jarak yang akan lalui hampir 60 km one way. Mungkin lain kali aje.
Aku mempelawa sesiapa yang berminat untuk ke Kangar, Perlis pada hari Isnin 24 Januari untuk menyaksikan permulaan stage kedua Le Tour de Langkawi. Kemudian turun ke Butterworth untuk menyaksikan acara penamatnya pula. Masing masing ada hal dan tidak boleh pergi.
Sebelum maghrib Juan singgah di rumah untuk mengajak aku membuat kayuhan esok. Sekali lagi aku menolak. Bila aku menceritakan kawan yang ajak aku ke Lata Bukit Hijau, dia amat seronok dan mengatakan laluan sedemikianlah menjadi kegemarannya. Sekali lagi, lain kali saja.

Statistik :

   Mula .............. 7.00 pagi
   Tamat ............. 9.50 pagi
   Rehat .............. 45 minit. Lepak di Teluk Bayu
   Jarak .............. 40 km
   Cuaca ............. panas
   Laluan ............ Pinang Tunggal - Tikam Batu - Batu Lintang - Teluk Bayu
      

Jumaat, 21 Januari 2011

Hari Jumaat - banyakkan bersedekah

Gerai kegemaran aku di persimpangan Pekan Merbok ke Batu Hampar dipenuhi orang, tiada meja kosong. Sebab aku sudah tanggalkan helmet, sarung tangan dan parking basikal, mahu tidak mahu aku masuk juga ke gerai tersebut. Semua meja ada pelanggan. Ada dua meja dimana hanya seorang pelanggan yang sedang menjamu selera. Aku mohon untuk duduk dimeja yang sama dan mendapat persetujuan dengan cara anggukkan sahaja.
Tangan yang memberi lebih mulia dari .........
Aku order roti canai telur dan Milo O kegemaran aku. Sementara menunggu roti disediakan aku memakan sebutir kuih berinti kelapa. Seorang lagi pelanggan duduk dimeja kami dan memesan makanan dan minuman. Ketika aku sedang menjamu selera, pelanggan yang mula mula duduk dimeja tersebut memanggil mak cik gerai untuk mengira harga makanan untuk semua dimeja tersebut. Aku cuba membantah yang makanan aku tidak perlu dikira sekali, tetapi pelanggan tersebut hanya tersenyum dan berkata "Hari Jumaat ni eloklah banyak bersedekah".
Harga makanan yang aku makan lebih mahal dari makanannya, kerana dia hanya makan nasi lemak bungkus dan minum teh tarik.
Aku mengucapkan berbanyak terima kasih. Boleh dikira, aku berbuat demikian hanya beberapa kali sahaja. Belanja makan kawan atau kenalan rapat selalulah. Ini 'complete stranger' orang yang tidak dikenali yang kebetulan duduk semeja kerana tempat telah penuh. Bukan itu sahaja apabila selesai dia membayar, seorang pak cik tua yang dikenali datang dan duduk dimeja yang sama. Dia juga membayar untuk pak cik tersebut walaupun makanan dan minuman belum sampai lagi.  Aku cuba menawarkan untuk membayar untuk pak cik tersebut tetapi tidak berjaya. Dia kemudian beredar.  Mak cik gerai tersebut tidak mengira kuih yang aku makan kerana aku sengaja tidak memberitahunya semasa dia mengira, dan aku hanya membayar tiga kupang, RM0.30. Aku doakan semuga dia diberikan pahala dan dimurahkan rezeki.
Kayuhan pagi ini menggunakan roadbike. Walaupun angin timur mula bertiup seawal pagi tetapi tidaklah begitu ketara berbanding dengan ketika menggunakan mountain bikes. Berhampiran kawasan Arkeologi Sungai Batu aku memintas seorang rider yang juga menggunakan roadbikes dalam perjalanan ke Yan. Dia berkayuh agak perlahan, walaupun usianya masih muda dan nampak bertenaga tetapi mungkin baru berkayuh. Setelah berbual kurang dari satu minit, aku terus memecut dan meninggalkannya. Aku berselisih dengannya semasa aku berpatah balik di persimpangan Yan - Tanjung Dawai.
Aku telah dapat membiasakan diri dengan roadbikes ini. Walaupun sudah agak tua tetapi ia tidak mengecewakan aku. Mungkin ia lebih berat dari roadbike masakini yang diperbuat dari alloy atau carbon atau titanium, ia dapat memenuhi keperluan aku masa kini. Aku berjanji dengan diri aku akan menjaga roadbike pemberian kawan dengan baik. Tukar kepada yang lebih baik? Naw.... tak tahulah dimasa akan datang. Tetapi satu perkara pasti, aku tidak akan menjual basikal ini. Sedekahkan ....? mungkin.
Juan datang kerumah semasa aku sedang berehat. Dia juga membuat kayuhan di laluan sama tetapi bermula lewat 10 minit. Dari Merbok dia mendaki ke Muzium Arkeologi Lembah Bujang. Sebab itulah aku tidak berjumpa dengan nya.

Statistik ;

   Mula ................ 7.55 pagi
   Tamat .............. 10.00 pagi
   Rehat ............... 25 minit
   Jarak ................ 46 km
   Cuaca ............... panas, angin timur
   Laluan .............. Lencongan Barat - Merbok - Singkir
.

Rabu, 19 Januari 2011

Testing ... testing... 1,2,3 over

Membersih dan mengecat frame - DIY
Roadbike yang disedekahkan oleh En. Shokri Hashim pada Khamis lalu telah pun siap dipasang. Walaupun banyak barang yang tiada termasuk crank, pedal, front derailer, rear derailer, saddle stand, seat dan beberapa item kecil, tetapi ia dapat dilengkapkan oleh Juan menggunakan barang-barang lebihan dalam simpanan.
Petang kelmarin semasa aku memasang meter 'Cateye Vel05' seorang rakan Hazbil Singh yang tinggal dibelakang lorong rumah aku menawarkan satu set brake handle 'shimano 600' secara percuma. Dia juga memberikan beberapa item roadbike yang ada dalam simpanannya. Dulu semasa remaja dahulu dia mempunyai roadbike dan kini mempunyai mountain bike. Aku simpan dulu. Bila tiba masanya aku akan pasang kerana yang ada masih dalam keadaan baik.
Murah pulak rezeki kali ini.
Seorang kawan Juan (nama panggilan Din) yang kebetulan berada dikedai basikal Taman Intan menawarkan 'shimano brake set 600' yang dibeli dan tidak pernah dipakai, masih dalam kotak lagi. Harga yang ditawarkan kepada aku ialah RM130, iaitu harga yang dibeli. Dia minta tambahan RM20.00 untuk duit petrol kerana dia membelinya di Pulau Pinang....! Ada juga orang macam ni. Dalam hati aku kenapa tidak tuntut sekali duit makan minum. Malas aku nak layan. Kalau cara macam itu, buka kedai basikal saje le dan jual barang tersebut.
Apabila berpuas hati dengan keadaan basikal roadbikes tersebut, aku ingin mencuba kayuh uji (testing) mengikuti jalan yang biasa dan kerap dilalui. Senang kalau apa apa berlaku. Dari mula kayuhan aku dapat merasakan perbezaan jika dibandingkan dengan mountain bike. Lebih ringan dan lebih tangkas.
Balik dari 'kayuh uji'.  Sangat berpuas hati.
Aku perlu membiasakan diri dengan cara dan gaya kayuhan, terpaksa membongkok lebih kerana handle jauh kehadapan. Pada awal agak janggal dan kekok sedikit. Aku risau samada boleh bertahan cara begini sepanjang masa kayuhan. Kerisauan tersebut lebih kepada psikological kerana aku berjaya menamatkan kayuhan tanpa sebarang masalah. Oh... memang meletihkan dan memenatkan tetapi boleh juga membuat kayuhan menegak dengan memegang handle bahagian yang hampir bar yang lurus. Agak merbahaya sedikit kerana terpakas kembali ke posisi asal untuk menggunakan brake.
Sememangnya menyeronokkan. Sekarang baru aku faham kenapa ramai rakan dan orang lain yang dahulunya menggunakan mountain bikes bertukar kepada roadbikes. Yang menggunakan roadbikes dari awal memang susah untuk bertukar kepada mountain bikes.
Apabila menamatkan kayuhan aku dapati masa yang diambil hanya 1 jam 10 minit berbanding dengan 1 jam 30 minit menggunakan mountain bike. Itu kira first times. Mungkin aku akan dapat memperbaiki masa tersebut apabila sudah biasa nanti.

Statistik :

   Mula ............. 8.00 pagi
   Tamat ........... 9.10 pagi
   Jarak ............ 33 km
   Cuaca ........... Redup
   Laluan .......... Lencongan Timur - lencongan Barat Sungai Petani
.

Ahad, 16 Januari 2011

Memperbaiki masa sendiri ......

Hari ini cuti umum di Negeri Kedah sempena hari Keputeraan Sultan Abdul Halim yang ke 83. Semoga Allah lanjutkan usia baginda dan negeri Kedah berada dalam aman dan sejahtera.
Ada satu temasya basikal yang agak besar iaitu 'Jerai Mountainbike Jamboree 2011' anjuran  Kelab Sukan & Rekreasi dan Perwaja MTB Club. Jarak kayuhan 45 km dan bermula pada jam 7.45 pagi dari  Perwaja Steel Mill, Gurun, Kedah. Ramai geng aku yang menyertai jamboree ini. Pada mula aku berhasrat untuk menyertai tetapi membatalkan.
Malam tadi pertama kali aku menonton di TV iklan 'Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011' siri 16 yang akan bermula pada 23 Januari 2011. Hari ini beberapa berita kecil tentang perlumbaan tersebut disiarkan di dalam akhbar harian. TV juga menyiarkan iklan dengan lebih kerap.
Pastinya aku tidak akan melepaskan peluang untuk mengikuti secara live apabila pelumba melalui kawasan Sungai Petani. Aku berangan-angan untuk menyaksikan acara permulaan stage 2 di Kangar, Perlis, kemudian memandu ke Butterworth untuk acara penamat.
Persoalan utama yang bermain di kepala aku ialah, mampukah athlit kita mengulangi kehebatan pada siri yang lalu. Juga adakah penganjur dapat menyamai pengurusan event seperti tahun yang lalu. Bagaimana pula dengan sambuatan rakyat Malaysia. Sama sama lah  kita nantikan.
Aku memulakan kayuhan agak lewat pagi ini kerana berbual dengan jiran dari lorong sama. Dia baru sahaja kematian saudara kerana kemalangan dilaut. Kena layan lah juga. Kelmarin aku bercadang untuk mengayuh ke Gurun dan Guar Cempedak dan pulang melalui Yan tetapi aku takut bertembung  dengan peserta Jamboree. Jadi aku  hanya mengikuti Lencongan Timur dan Barat.
Kali ini terdapat peningkatan pada kayuhan. Aku dapat menamatkan laluan ini  kurang 10 minit dari tempoh masa biasa. Akhir-akhir ini stamina aku bertambah. Mungkin kerana aku sering melakukan jogging di Bukit Taman Semarak.

Statistik :

   Mula ............. 8.30 pagi
   Tamat ........... 9.50 pagi
   Jarak ............ 35 km
   Cuaca ........... Redup
   Laluan .......... Lencongan Timur - lencongan Barat Sungai Petani
.

Khamis, 13 Januari 2011

Kuala Ketil - Merbau Pulas

Dua hari aku tidak dapat membuat kayuhan kerana urusan benda yang remeh. Tetapi aku gantikan dengan berjogging di Bukit Semarak. Selalunya apabila sampai ke bahagian atas  aku melakukan sedikit senaman dan akan turun melalui jalan yang sama. Ia mengambil masa lebih kurang 30 minit.  Kali ini aku berjogging satu pusing  lebih kurang 1 km dalam trek yang berbukit  dan mengambil masa lebih kurang 45 minit. Berjogging  menguatkan otot kaki dan otot bahagian atas badan. Lebih banyak mengeluarkan peluh dari berbasikal. Selalunya baju aku akan basah keseluruhan.
Cuaca pagi ini cerah dan dijangkakan akan panas menjelang tengah hari. Aku berkayuh menuju Kuala Ketil melalui lencongan timur memasuki Taman Bandar Puteri Jaya dan Puteri Hill Park. Di traffic light Taman Perdana aku berhenti disebelah seorang roadbikers. Tanpa memerhatikan dengan betul aku memberi salam, tetapi dia seorang cina. Nasib baik aku beri salam dengan nada pelahan dan mungkin dia tidak mendengarnya. Dia tidak berminat untuk berbual hanya memberitahu laluan kayuhan nya iaitu mengikuti lencongan timur dan barat.
Apabila lampu bertukar hijau aku terus mengayuh dan tidak sangka pula dia ketinggalan jauh dibelakang. Dia berjaya memintas aku ketika sampai di traffic light Taman Astaka/Perdana yang jaraknya hampir 1km.  Ketika itu aku telah memperlahankan kayuhan untuk membelok ke kanan. Dia agak 'hot' dan berusaha keras untuk mengejar........ apa tidaknya roadbikenya ditinggalkan oleh mountain bike aku.
Di Puteri Hill Park aku melihat sebuah basikal jauh di hadapan dan teruja untuk mengejarnya.  Ingatkan seorang lagi rider. Agak kecewa kerana ketika menghampiri ia hanyalah seorang pemotong rumput mencari rezeki di taman itu membawa mesin rumput bush cutter menggunakan mountain bikes biasa.  Walau apa pun hati aku puas dapat menghambatnya walaupun dia sangat jauh dihadapan.
Aku pernah menulis pada blog ini tentang bau busuk dari sungai kecil apabila melalui jalan Kuala Ketil berhampiran jalan masuk ke ladang kelapa sawit Bousted. Pencemaran tersebut berpunca dari kilang sawit. Aku berasa lega apabila melihat sungai kecil tersebut kini bersih, tiada lagi kelihatan hitam, berbuih dan lebih penting tiada lagi berbau busuk.
Malangnya apabila sampai ke kawasan perindustrian di Jalan Kuala Ketil - Kulim, sungai kecil disana pula yang mempunyai keadaan yang sebaliknya, air berbuih dicemari dari kumbahan kilang dan berbau busuk. Diharapkan pihak bertanggung jawab mengambil tindakan sewajarnya.
Seronok dan puas melalui jalan Kuala Ketil Kulim kerana jalan yang berbukit sederhana tinggi. Ia memberikan kepelbagaian untuk kayuhan iaitu dari jalan yang rata, menaki dan kemudian menurun. Tidak menjemukan atau memenatkan.
Bukit bukit  tersebut nampak agak tinggi dari jauh, tetapi apabila sampai, tidaklah menjadi masalah untuk menghabiskan pendakian. Dapat menghilangkan penat dan merehatkan otot kaki semasa menurun bukit tersebut. Aku dapat mendaki tanpa perlu menukar kepada gear  rendah. Terasa seperti menggunakan basikal 'fixie' yang tidak berapa popular disebelah sini.
Terdapat tidak kurang dari enam pendakian utama. Paling ketara jalan dari Pekan Merbau Pulas ke Pekan Sungai Karangan. Cuma yang kurang menyenangkan aku adalah kerana bilangan lori besar termasuk lori pasir, lori tanah dan juga lori balak yang banyak melalui jalan tersebut. Terpaksa berhati hati ketika melalui kawasan pembinaan jambatan baru yang lebih besar di persimpangan Sungai Karangan ke jalanraya BKE.
Tidak ada perbezaan di antara pekan kecil Merbau Pulas dan Sungai Karangan ini. Kedua-dua pekan agak tenang, damai dan aktiviti yang perlahan sahaja. Bilangan kedai kurang dari 50 unit kebanyakkan menyediakan keperluan untuk penduduk kawasan tersebut. Terdapat beberapa kedai dan gerai makanan Melayu tetapi aku tidak teruja untuk singgah. Mungkin sebelum jalan BKE wujud 15 tahun lalu kedua pekan ini agak sibuk dengan kenderaan kerana menjadi laluan utama Baling-Kuala Ketil-Kulim/Butterworth.
Aku berehat selepas dua jam berkayuh tanpa henti di sebuah gerai di  Kampung Pantai Prai. Sebaik sahaja duduk dan memesan minuman, salah seorang pelanggan gerai bertanya berapakah harga basikal aku. Apabila aku menjawab dia meneruskan perbualan dengan rakan rakannya.  Ingatkan dia mahu memulakan perbualan dengan aku. Apa tujuan dan apa yang tersirat dia menanyakan soalan itu, menjadi tanda tanya bagi aku. Adakah orang hanya mahu melihat kehebatan atau harga basikal sahaja atau kemampuan seseorang?
Apabila minuman yang aku pesan sampai aku mengambil dua roti ban dari rak.  Selalunya banyak kuih yang dijual, mungkin semua kuih telah habis dijual. Aku terus menjamah  dan merasakan roti tersebut agak keras. Tuan kedai melihat dari jauh dan kemudan datang kemeja aku. Dia menyatakan roti tersebut telah tamat tempoh dan memberikan roti ban yang baru dihantar. Aku puji keikhlasan tuan kedai tetapi kalau sudah tahu roti tersebut telah lupus mengapakan tidak diasingkan terus dari rak tersebut.
Aku berhenti di Loji Pembersihan Air Pinang Tunggal untuk berjumpa dengan kawan kawan lama.  Sudah lama tidak bersembang. Mereka agak terkejut melihat kehadiran aku kerana mengikut mereka baru sebentar tadi mereka menyebut nama aku dan bertanyakan kenapa lama aku tidak singgah. Perbualan berkitar kepada kayuhan dan laluan aku pagi ini.
Shokri ada sebuah basikal 'roadbike' yang kini tidak digunakan lagi.  Basikal tersebut adalah basikal secondhand yang dibeli beberapa tahun yang lalu di kedai menjual peralatan sukan di Pekan baru Sungai Petani dengan harga RM300.00.  Crank, pedal, dereailer depan, cassete dan beberapa barang lain telah hilang. Dahulu aku pernah menawarkan untuk membeli basikal tersebut darinya tetapi tidak mahu menjualnya. Hari ini dia masih tidak mahu menjualnya kepada aku tetapi mahu memberikan sahaja. Siap untuk menghantarkan basikal tersebut kerumah aku bila dia habis kerja nanti. Terima kasih.

Statistik :

   Mula ............ 8.00 pagi
   Tamat .......... 12.00 pagi
   Rehat ........... 1 jam 
   Jarak ............ 75 km
   Cuaca ........... panas, angin Timur
   Laluan ......... Bandar Puteri Jaya - Kuala Ketil - Merbau Pulas - Sungai Karangan -
                           Sidam - Pinang Tunggal
.

Jumaat, 7 Januari 2011

Segantang Garam

Jiran hadapan rumah meyakinkan aku bahawa hujan tidak akan turun bila dia melihat aku yang telah siap berpakaian berbasikal teragak agak samada hendak membuat kayuhan atau tidak. Kelmarin berulang kali aku mengintai sambil meramalkan keadaan cuaca kerana langit kelihatan begitu gelap. Hari ini aku tidak peduli, kalau hujan aku tetap akan  berkayuh juga.
Betul kah bila ada orang menyebut nama kita, kita akan tersedu? Aku mengayuh tanpa berhenti minum digerai yang selalu aku singgah di Pekan Merbuk. Sebaik sahaja melepasi gerai tersebut aku tersedu dua tiga kali. Mungkin mak cik yang berniaga di gerai tersebut nampak aku berlalu dan tertanya mengapa aku tidak singgah. Masih terlalu awal dan aku masih kenyang lagi sebab itu lah aku tidak singgah untuk breakfast. 
Aku melintasi bendang serta perkampungan Pengkalan Bujang dan terus ke Segantang Garam. Aku berhajat sangat untuk berjumpa seorang pak cik yang bersama semasa lawatan ke ladang nanas di Johor dan MAHA 2010 pada akhir bulan November, tetapi aku terlupa bertanyakan namanya atau mengambil alamat rumahnya. Tetapi dia memberikan tunjuk arah yang agak lengkap. Aku terjumpa rumahnya tetapi tidak berani untuk pergi kerumah tersebut takut tersilap orang. Aku sekadar berharap akan ternampak dia diladang atau diluar rumahnya.
Aku sempat singgah di jeti nelayan dan melihat udang dinaikkan dan peraih yang menunggu hasil tangkapan. Di tali air yang menyalurkan air ke bendang ramai yang menangkap ikan dengan berbagai cara.
Aku amat berpuas hati dengan kayuhan hari ini tetapi kena pulang awal kerana hari Jumaat.
Jeti nelayan dan sangkar ternakan ikan di Kuala Sungai Gelam/Sungai Merbok.
Hutan bakau di persimpangan masuk ke Chalet Terapung PPK di Sungai Merbok
Seorang mak cik memancing di tali air Kampung Segantang Garam dan Gunung Jerai dari tebing Sungai Merbok
Statistik :

   Mula ............ 8.20 pagi
   Tamat .......... 11.00 pagi
   Jarak ........... 56 km
   Cuaca .......... mendung
   Laluan ......... Semeling - Tupah - Mebok - Bujang - Segantang Garam

Sabtu, 1 Januari 2011

Selamat Tahun Baru 2011

Hendak buat apa pagi ini? Kayuh basikal lah ........, walaupun ada kawan telefon awal pagi mengajak untuk membuat kayuhan ke Pantai Merdeka tetapi aku memberi alasan sibuk. Sebenarnya aku hanya mahu membuat kayuhan dekat secara solo sahaja. Aku merancang untuk mengikuti Lencongan Timur dan kembali kerumah melalui Lencongan Barat, mengambil masa lebih kurang 90 minit.

Aku ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang melayari blog ini. Pencapaian 'hit' untuk blog tahun ini diluar jangkaan aku memandangkan ia hanyalah blog persendirian dan khusus kepada aktiviti berbasikal sahaja. Mengikut statistik ramai juga pengunjung dari luar negara. Pada peringkat permulaan blog ini aku menyatakan aku hanya ingin merekodkan pengalaman dan kemana aku berkayuh untuk dirujuk dan diimbas bila perlu.
Azam tahun baru 2011...... naah ! sudah lama aku berhenti berbuat demikian. Tidak pernah ambil serius. Yang pasti aku akan berusaha untuk terus melakukan aktiviti yang aku anggap paling bermanafaat ini. Juga aku akan terus berkempen kepada rakan-rakan, kenalan dan sesiapa juga untuk melakukan  apa jua aktiviti senaman untuk kesihatan badan. Disamping itu jangan lupa menjaga makanan yang diambil setiap hari.

Statistik :

   Mula ................. 8.30 pagi
   Tamat ............... 10.00 pagi
   Jarak ................. 34 km
   Cuaca ................ redup
   Laluan ............... Lencongan Timur - Lencongan Barat
.