Halaman

Khamis, 13 Januari 2011

Kuala Ketil - Merbau Pulas

Dua hari aku tidak dapat membuat kayuhan kerana urusan benda yang remeh. Tetapi aku gantikan dengan berjogging di Bukit Semarak. Selalunya apabila sampai ke bahagian atas  aku melakukan sedikit senaman dan akan turun melalui jalan yang sama. Ia mengambil masa lebih kurang 30 minit.  Kali ini aku berjogging satu pusing  lebih kurang 1 km dalam trek yang berbukit  dan mengambil masa lebih kurang 45 minit. Berjogging  menguatkan otot kaki dan otot bahagian atas badan. Lebih banyak mengeluarkan peluh dari berbasikal. Selalunya baju aku akan basah keseluruhan.
Cuaca pagi ini cerah dan dijangkakan akan panas menjelang tengah hari. Aku berkayuh menuju Kuala Ketil melalui lencongan timur memasuki Taman Bandar Puteri Jaya dan Puteri Hill Park. Di traffic light Taman Perdana aku berhenti disebelah seorang roadbikers. Tanpa memerhatikan dengan betul aku memberi salam, tetapi dia seorang cina. Nasib baik aku beri salam dengan nada pelahan dan mungkin dia tidak mendengarnya. Dia tidak berminat untuk berbual hanya memberitahu laluan kayuhan nya iaitu mengikuti lencongan timur dan barat.
Apabila lampu bertukar hijau aku terus mengayuh dan tidak sangka pula dia ketinggalan jauh dibelakang. Dia berjaya memintas aku ketika sampai di traffic light Taman Astaka/Perdana yang jaraknya hampir 1km.  Ketika itu aku telah memperlahankan kayuhan untuk membelok ke kanan. Dia agak 'hot' dan berusaha keras untuk mengejar........ apa tidaknya roadbikenya ditinggalkan oleh mountain bike aku.
Di Puteri Hill Park aku melihat sebuah basikal jauh di hadapan dan teruja untuk mengejarnya.  Ingatkan seorang lagi rider. Agak kecewa kerana ketika menghampiri ia hanyalah seorang pemotong rumput mencari rezeki di taman itu membawa mesin rumput bush cutter menggunakan mountain bikes biasa.  Walau apa pun hati aku puas dapat menghambatnya walaupun dia sangat jauh dihadapan.
Aku pernah menulis pada blog ini tentang bau busuk dari sungai kecil apabila melalui jalan Kuala Ketil berhampiran jalan masuk ke ladang kelapa sawit Bousted. Pencemaran tersebut berpunca dari kilang sawit. Aku berasa lega apabila melihat sungai kecil tersebut kini bersih, tiada lagi kelihatan hitam, berbuih dan lebih penting tiada lagi berbau busuk.
Malangnya apabila sampai ke kawasan perindustrian di Jalan Kuala Ketil - Kulim, sungai kecil disana pula yang mempunyai keadaan yang sebaliknya, air berbuih dicemari dari kumbahan kilang dan berbau busuk. Diharapkan pihak bertanggung jawab mengambil tindakan sewajarnya.
Seronok dan puas melalui jalan Kuala Ketil Kulim kerana jalan yang berbukit sederhana tinggi. Ia memberikan kepelbagaian untuk kayuhan iaitu dari jalan yang rata, menaki dan kemudian menurun. Tidak menjemukan atau memenatkan.
Bukit bukit  tersebut nampak agak tinggi dari jauh, tetapi apabila sampai, tidaklah menjadi masalah untuk menghabiskan pendakian. Dapat menghilangkan penat dan merehatkan otot kaki semasa menurun bukit tersebut. Aku dapat mendaki tanpa perlu menukar kepada gear  rendah. Terasa seperti menggunakan basikal 'fixie' yang tidak berapa popular disebelah sini.
Terdapat tidak kurang dari enam pendakian utama. Paling ketara jalan dari Pekan Merbau Pulas ke Pekan Sungai Karangan. Cuma yang kurang menyenangkan aku adalah kerana bilangan lori besar termasuk lori pasir, lori tanah dan juga lori balak yang banyak melalui jalan tersebut. Terpaksa berhati hati ketika melalui kawasan pembinaan jambatan baru yang lebih besar di persimpangan Sungai Karangan ke jalanraya BKE.
Tidak ada perbezaan di antara pekan kecil Merbau Pulas dan Sungai Karangan ini. Kedua-dua pekan agak tenang, damai dan aktiviti yang perlahan sahaja. Bilangan kedai kurang dari 50 unit kebanyakkan menyediakan keperluan untuk penduduk kawasan tersebut. Terdapat beberapa kedai dan gerai makanan Melayu tetapi aku tidak teruja untuk singgah. Mungkin sebelum jalan BKE wujud 15 tahun lalu kedua pekan ini agak sibuk dengan kenderaan kerana menjadi laluan utama Baling-Kuala Ketil-Kulim/Butterworth.
Aku berehat selepas dua jam berkayuh tanpa henti di sebuah gerai di  Kampung Pantai Prai. Sebaik sahaja duduk dan memesan minuman, salah seorang pelanggan gerai bertanya berapakah harga basikal aku. Apabila aku menjawab dia meneruskan perbualan dengan rakan rakannya.  Ingatkan dia mahu memulakan perbualan dengan aku. Apa tujuan dan apa yang tersirat dia menanyakan soalan itu, menjadi tanda tanya bagi aku. Adakah orang hanya mahu melihat kehebatan atau harga basikal sahaja atau kemampuan seseorang?
Apabila minuman yang aku pesan sampai aku mengambil dua roti ban dari rak.  Selalunya banyak kuih yang dijual, mungkin semua kuih telah habis dijual. Aku terus menjamah  dan merasakan roti tersebut agak keras. Tuan kedai melihat dari jauh dan kemudan datang kemeja aku. Dia menyatakan roti tersebut telah tamat tempoh dan memberikan roti ban yang baru dihantar. Aku puji keikhlasan tuan kedai tetapi kalau sudah tahu roti tersebut telah lupus mengapakan tidak diasingkan terus dari rak tersebut.
Aku berhenti di Loji Pembersihan Air Pinang Tunggal untuk berjumpa dengan kawan kawan lama.  Sudah lama tidak bersembang. Mereka agak terkejut melihat kehadiran aku kerana mengikut mereka baru sebentar tadi mereka menyebut nama aku dan bertanyakan kenapa lama aku tidak singgah. Perbualan berkitar kepada kayuhan dan laluan aku pagi ini.
Shokri ada sebuah basikal 'roadbike' yang kini tidak digunakan lagi.  Basikal tersebut adalah basikal secondhand yang dibeli beberapa tahun yang lalu di kedai menjual peralatan sukan di Pekan baru Sungai Petani dengan harga RM300.00.  Crank, pedal, dereailer depan, cassete dan beberapa barang lain telah hilang. Dahulu aku pernah menawarkan untuk membeli basikal tersebut darinya tetapi tidak mahu menjualnya. Hari ini dia masih tidak mahu menjualnya kepada aku tetapi mahu memberikan sahaja. Siap untuk menghantarkan basikal tersebut kerumah aku bila dia habis kerja nanti. Terima kasih.

Statistik :

   Mula ............ 8.00 pagi
   Tamat .......... 12.00 pagi
   Rehat ........... 1 jam 
   Jarak ............ 75 km
   Cuaca ........... panas, angin Timur
   Laluan ......... Bandar Puteri Jaya - Kuala Ketil - Merbau Pulas - Sungai Karangan -
                           Sidam - Pinang Tunggal
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan