Halaman

Jumaat, 21 Januari 2011

Hari Jumaat - banyakkan bersedekah

Gerai kegemaran aku di persimpangan Pekan Merbok ke Batu Hampar dipenuhi orang, tiada meja kosong. Sebab aku sudah tanggalkan helmet, sarung tangan dan parking basikal, mahu tidak mahu aku masuk juga ke gerai tersebut. Semua meja ada pelanggan. Ada dua meja dimana hanya seorang pelanggan yang sedang menjamu selera. Aku mohon untuk duduk dimeja yang sama dan mendapat persetujuan dengan cara anggukkan sahaja.
Tangan yang memberi lebih mulia dari .........
Aku order roti canai telur dan Milo O kegemaran aku. Sementara menunggu roti disediakan aku memakan sebutir kuih berinti kelapa. Seorang lagi pelanggan duduk dimeja kami dan memesan makanan dan minuman. Ketika aku sedang menjamu selera, pelanggan yang mula mula duduk dimeja tersebut memanggil mak cik gerai untuk mengira harga makanan untuk semua dimeja tersebut. Aku cuba membantah yang makanan aku tidak perlu dikira sekali, tetapi pelanggan tersebut hanya tersenyum dan berkata "Hari Jumaat ni eloklah banyak bersedekah".
Harga makanan yang aku makan lebih mahal dari makanannya, kerana dia hanya makan nasi lemak bungkus dan minum teh tarik.
Aku mengucapkan berbanyak terima kasih. Boleh dikira, aku berbuat demikian hanya beberapa kali sahaja. Belanja makan kawan atau kenalan rapat selalulah. Ini 'complete stranger' orang yang tidak dikenali yang kebetulan duduk semeja kerana tempat telah penuh. Bukan itu sahaja apabila selesai dia membayar, seorang pak cik tua yang dikenali datang dan duduk dimeja yang sama. Dia juga membayar untuk pak cik tersebut walaupun makanan dan minuman belum sampai lagi.  Aku cuba menawarkan untuk membayar untuk pak cik tersebut tetapi tidak berjaya. Dia kemudian beredar.  Mak cik gerai tersebut tidak mengira kuih yang aku makan kerana aku sengaja tidak memberitahunya semasa dia mengira, dan aku hanya membayar tiga kupang, RM0.30. Aku doakan semuga dia diberikan pahala dan dimurahkan rezeki.
Kayuhan pagi ini menggunakan roadbike. Walaupun angin timur mula bertiup seawal pagi tetapi tidaklah begitu ketara berbanding dengan ketika menggunakan mountain bikes. Berhampiran kawasan Arkeologi Sungai Batu aku memintas seorang rider yang juga menggunakan roadbikes dalam perjalanan ke Yan. Dia berkayuh agak perlahan, walaupun usianya masih muda dan nampak bertenaga tetapi mungkin baru berkayuh. Setelah berbual kurang dari satu minit, aku terus memecut dan meninggalkannya. Aku berselisih dengannya semasa aku berpatah balik di persimpangan Yan - Tanjung Dawai.
Aku telah dapat membiasakan diri dengan roadbikes ini. Walaupun sudah agak tua tetapi ia tidak mengecewakan aku. Mungkin ia lebih berat dari roadbike masakini yang diperbuat dari alloy atau carbon atau titanium, ia dapat memenuhi keperluan aku masa kini. Aku berjanji dengan diri aku akan menjaga roadbike pemberian kawan dengan baik. Tukar kepada yang lebih baik? Naw.... tak tahulah dimasa akan datang. Tetapi satu perkara pasti, aku tidak akan menjual basikal ini. Sedekahkan ....? mungkin.
Juan datang kerumah semasa aku sedang berehat. Dia juga membuat kayuhan di laluan sama tetapi bermula lewat 10 minit. Dari Merbok dia mendaki ke Muzium Arkeologi Lembah Bujang. Sebab itulah aku tidak berjumpa dengan nya.

Statistik ;

   Mula ................ 7.55 pagi
   Tamat .............. 10.00 pagi
   Rehat ............... 25 minit
   Jarak ................ 46 km
   Cuaca ............... panas, angin timur
   Laluan .............. Lencongan Barat - Merbok - Singkir
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan