Halaman

Rabu, 14 September 2011

Tanjung Dawai

"Nak kayuh kemana hari ini ... " terkejut aku apabila Cikgu Jamaludin menegur dari luar pintu pagar rumah aku. Ketika itu aku sedang menyarungkan kasut untuk memulakan kayuhan. Aku sendiri tidak tahu arah mana tujuan kerana tidak mempunyai rancangan. Ikut mana dan... kata orang Kedah.
Aku beri salam dahulu sebelum menjawap, "tidak tahu kemana cikgu, mungkin pergi ke Tanjung Dawai". Sempat juga berbual sekejap sebelum memulakan aktiviti. Cikgu Jamaludin tinggal dilorong bersebelahan dan telah lama bersara.  Dia tinggal seorang diri kerana isterinya telah meninggal dunia lebih 10 tahun lalu. Anak perempuannya bekerja dalam satu firma dengan aku dan masih lagi disana. Anak bongsunya  sebaya dengan anak sulung aku tetapi telah meninggal dunia  pada tahun 2004. Dia menduda sehingga kini. Untuk mencari rumahnya di Taman Intan tidaklah sukar kerana rasanya hanya satu satunya ada dipasang bendera PAS dan DAP. Dahulu hanya bendera PAS sahaja tetapi selepas PRU 12 bendara DAP turut dipasang tetapi lebih rendah. Dengar cerita dia pernah menjadi calon wakil Rakyat parti PAS pada PRU 7 dahulu.   
Hari ini cuaca mendung dan aku memulakan kayuhan lewat. Jawapan kepada soalan Cikgu Jamaludin menjadi destinasi kayuhan aku pagi ini. Aku melalui Pekan Semeling ke Merbuk kerana jalan tersebut mempunyai beberapa pendakian. Hanya berjumpa dengan seorang rider berhampiran dengan UiTM Merbuk.
Signboard baru
bumbung jeti kemana ?
Terdapat beberapa perubahan di Jeti Tanjung Dawai. Signboard jeti yeng rosak telah digantikan dengan yang baru, tetapi apa yang memeranjatkan ialah bumbung jalan jeti telah tiada dan beberapa pagar konkrit telah pecah dan  patah. Tidak pasti samada akibat vandalisma atau disebabkan ribut. Tiada siapa berada disana untuk aku bertanya. Satu lagi perkara yang bermain dikepala aku adalah samada jeti tersebut masih lagi digunakan atau tidak kerana terdapat banyak serpihan kayu dan batu di laluan jalan tersebut. Juga hanya sebiji bot yang tertambat dijeti tanpa pemandu.
Dalam perjalanan pulang aku berkayuh perlahan-lahan  di Pekan Tanjung  Dawai sambil memerhatikan aktiviti yang sedang berlaku. Masih awal. Sebuah bas penumpang sedang bersiap sedia untuk bergerak menuju ke Sungai Petani. Hanya satu bas sahaja yang keluar dari pekan ini dan penumpang ke destinasi lain akan menyambung atau menaiki bas lain di Bandar Sungai Petani. Hanya terdapat seorang penumpang didalam bas yang boleh memuatkan 40 penumpang. Mungkin bas tersebut akan mengutip penumpang di sepanjang perjalanan hampir 35 km ke Sungai Petani sebentar nanti.
Gerai atau kedai dibangunan Arked yang banyak menjual produk dan hasil laut laut masih belum dibuka. Jika dibuka awal pun tiada pelanggan. Dua buah restoren dibahagian bawah beroperasi tetapi tiada pelanggan kelihatan.
Aku singgah dihadapan sebuah kedai apabila melihat seoroang pak cik tua sedang menyusun ikan untuk dijemur. Dia sedang menyusun ikan gelama masam kecil. Aku menegur kalau keadaan cuaca yang mendong ini bila akan kering. Aku ingatkan ikan gelama tersebut kepunyaannya, tetapi kemudian aku mendengar suara dari dalam kedai yang menerangkan kepada berapa hari diperlukan untuk mengeringkan ikan tersebut. Bila aku mendongak kelihatan seorang apek tua yang sedang menikmati makan pagi.
Aku teringin untuk mengambil gambar pak cik tersebut tetapi kerana tersentak oleh apek tadi, aku menukar fikiran. Mungkin lain kali. Aku meneruskan kayuhan sambil memerhatikan disekeliling. Aku singgah di sebuah kedai kecil yang menjual belacan. Aku memberi salam kepada seorang pakcik yang berusia dalam lingkungan 65 tahun yang sedang membuat bongkahan belacan. Walaupun tidak berapa senang dengan bau belacan yang sedang diproses, aku memerhatikan dia dengan gigih melakukan kerja itu sendirian.
Naik Haji hasil perusahaan belacannya ...
Dia bertanyakan aku dari mana. Menurutnya hari sebelumnya seorang pengayuh berhenti di kedainya untuk melihat proses pembuatan belacan. Sambil bercerita tentang proses, harga dan jualan harian, pak cik tersebut dengan bangganya menunjukkan keratan akhbar yang di frame dan digantung di dalam kedainya. Rencana yang ditulis pada tahun 2009 menaikkan jualannya dan kini pelanggan juga dari Kuala Lumpur dan Johor.
Aku tidak singgah untuk minum pagi di Pekan Tanjung Dawai kerana masih awal. Malangnya disepanjang jalan pulang aku tidak jumpa kedai atau gerai yang sesuai untuk berhenti minum. Banyak gerai yang selalu aku singgah masih lagi ditutup sempena Hari Raya. Oleh kerana tiada pilihan aku terpaksa membeli roti krim dan minuman sejuk dari sebuah mini market dan menikmati sarapan ditepi jalan.
Lima km lagi sebelum sampai kerumah isteri aku menelipon kerana ada tetamu yang datang kerumah. Aku melajukan kayuhan untuk berjumpa tetamu tersebut.

Statistik
   Mula ............... 7.45 pagi
   Tamat ............. 11.00 pagi
   Jarak .............. 61 km
   Cuaca ............ Mendong
   Laluan ........... Semeling - Merbuk - Tanjung Dawai


Tiada ulasan:

Catat Ulasan