Halaman

Ahad, 6 Februari 2011

154 km ..... melalui 3 negeri

Aku mengalami sakit perut (mungkin keracunan makanan) selama dua hari dan bernasib baik kerana pulih malam tadi. Rancangan telah diatur untuk kayuhan hari Ahad 06 Feb oleh rakan rakan sejak sebelum Tahun baru Cina untuk membuat kayuhan ke Mahang, Selatan Kedah. Tengah hari kelmarin iaitu satu hari sebelum tarikh kayuhan, Juan dan William telah pergi membuat tinjauan jalan yang akan diikuti menggunakan kereta. Dilapurkan jarak dari Sungai Petani ke Mahang ialah 60 km sehala.
Pada jam 10.00 malam John datang kerumah untuk mendapat pengesahan aku akan ikut serta. Aku berharap perut aku akan pulih sepenuhnya manakala aku juga berharap aku tidak pulih. Pelik sangat bunyinya..... Aku ingin mengikuti kayuhan tersebut tetapi dalam masa yang sama aku ingin mengelakkan kerana tidak yakin samada aku larat menghabiskan.
Aku bertolak pada jam 6.45 pagi menuju ketempat rendevous iaitu menara jam Bandar Sungai Petani. Tiga rider mengekori aku ketika aku sampai ke Pekan  Baru. Juan dan William sebagai organiser telah  berada di 'dataran zero' menunggu rider yang lain sampai. Tiga orang yang bersama aku sempat mengambil breakfast di KFC 24 jam bertentangan tempat kami menunggu. Wah .. basikal yang dibawa hebat belaka. Roadbike aku yang paling sengket ... agaknya.
Semuanya 13 orang rider menyertai kayuhan ini termasuk Ibrahim (bekas anggota TLDM). Ini kali pertama aku akan berkayuh bersama walaupun telah lama kenal. Sebelum ini kami hanya berjumpa semasa kayuhan dan aku tidak berani berkayuh dengannya kerana dia geng roadbikers. Kumpulan pagi ini terdiri 3 orang Melayu, 8 orang Cina, seorang India (Singh) dan seorang Jepun (sudah bersunat). Boleh dianggap kayuhan 1 Malaysia...... Kayuhan dimulakan hampir 7.30 pagi menuju ke arah Kuala Ketil melalui Pekan Lama dan Bandar Puteri Jaya dan membelok ke Sidam Kiri menuju ke Sungai Karangan. Kami melintasi Jalan Butterworth Baling menuju ke Labu Besar hingga ke Pekan Karangan. Dari sini berkayuh melalui ladang kepala sawit sejauh 20km ke Pekan Mahang.

Cuaca amat baik hari ini kerana redup sepanjang jalan setakat kayuhan hingga jam 10.30 pagi. Kebanyakkan jalan berbukit bukit tetapi tidak begitu memeritkan. Jalan dipenuhi dengan selekoh selekoh panjang yang menyeronokkan. Tidak banyak kenderaan melalui jalan ladang ini dan  kayuhan kami tidak banyak terganggu. Perkara yang kurang menyeronokkan ialah jalan yang tidak begitu baik kerana banyak rekahan dan lubang. Mana-mana tempat yang diturap semula tidak rata dan dengan roadbikes yang sememangnya tidak dipasang absorber, getaran dan hentakan agak tidak berapa selesa.
Sesuatu yang diluar jangkaan aku ialah rasa tanggungjawap dan sikap kerjasama yang ditunjukkan oleh ahli kumpulan. Walaupun ada yang berkayuh laju dan menjadi 'leader' pada kelompok 'pelaton', mereka akan berhenti pada setiap simpang menunggu kumpulan dibelakang sampai sebelum meneruskan kayuhan. Ini memastikan tiada siapa yang tercicir atau tersesat memasuki jalan lain. Dalam kumpulan tersebut ada seorang rider baru yang tidak pernah membuat kayuhan jarak jauh, dia sering ketinggalan dibelakang. Ahli kumpulan bergilir-gilir berkayuh dengannya dan memberi kata peransang dan semangat agar dia dapat menghabiskan kayuhan. Ini adalah semangat kesukanan yang tulin dan disanjung.
Walaupun pernah melalui jalan jalan ini dengan kereta, aku tidak ingat lagi tempat tempat tersebut. Aku tertarik dengan nama Ladang Dingin, Ladang Dublin, Felda Gunung Bongsu dan beberapa nama yang aku tidak dapat mengingati. Pekan Mahang lebih kurang sama besar dengan Pekan Semeling dan kami semua singgah disebuah gerai menjual nasi. Sebelum kami bertolak semula aku perhatikan tuan kedai tersenyum lebar kerana semua jualan pagi telah habis. Harga makanan, tidak perlu dicatatkan. Murah.
Dari Mahang kami sepakat untuk terus ke Selama. Diluar laluan yang dirancang. Sekali lagi melalui kawasan ladang kelapa sawit yang berbukit  tetapi menyamankan dan pemandangan yang cantik. Aku diikuti oleh beberapa penunggang motorsikal muda tanpa topi keledar yang mengacukan pelbagai soalan mengenai basikal yang aku tunggang. Ada yang bertanya samada aku mempunyai bekalan air yang mencukupi.
Kumpulan kami memasuki Selama Perak sebelum membelok semula Selama Kedah menuju ke Kulim. Terdapat pendakian yang panjang sebelum sampai di persimpangan Terap/Serdang - Kulim. Kumpulan kami menyerbu kedai makanan di simpang tersebut untuk mendapatkan air minuman. 100 Plus sejuk menjadi pilihan kebanyakkan riders. Setakat ini kami telah berkayuh sejauh 95km dari Sungai Petani dan masih ada lebih 50 km sebelum menamatkan.
Di jalan Kulim - Lunas di kawasan Kelang Lama, aku terdengar satu letupan kecil yang aku sangkakan letupan mercun tahun baru Cina. Tayar depan basikal Ibrahim meletup dan kedengaran walaupun aku berada 60 meter dibelakang. Ramai diantara kami yang membawa 'tiub spare' tetapi tayar spare? macam ada yang tidak kena saja. Keputusan yang dicapai ialah bagi Ibrahim menunggu sehingga anaknya datang dari Sungai Petani dan pulang dengan kereta. Yang lain meneruskan perjalanan. Kumpulan pertama seramai 6 orang terus berkayuh ke Pekan Lunas manakala 6 yang lain membelok ke arah Sungai Seluang. Kurang kesefahaman membuat kumpulan berpecah dua.
Kami menunggu di Restoren Nasi Kandar Maju di Pekan Padang Serai tetapi kumpulan pertama tidak sampai. Setelah mengisi perut kami meneruskan peringkat akhir kayuhan ke Sungai Petani melalui Ekor Kucing dan Pinang Tunggal.
Dalam perjalanan ini aku mendengar handphone aku menerima dua atau tiga SMS. Tetapi aku buat tidak peduli kerana tidak mahu ia mengganggu kayuhan rakan yang lain. Apabila tiba  di persimpangan Pinang Tunggal Penang dan Pinang Tunggal Kedah, aku membaca SMS tersebut dihantar oleh rakan  menyatakan seorang bekas kakitangan syarikat aku bekerja dahulu meninggal dunia pada jam 2.00 petang. Arwah mengalami 'Barah Usus' sejak lebih empat tahun yang lalu. Beliau dinasihatkan berhenti kerja setelah mendapat pencen Socso. Arwah baru berusia 45 tahun dan meninggalkan 6 orang anak yang masih kecil. Seorang rakan mengajak aku menziarahi menaiki keretanya. Alhamdullilah kerana aku sudah tidak larat selepas kayuhan sebentar tadi.

Statistik
   Mula .............. 7.30 pagi
   Tamat ............ 3.15 petang
   Jarak ............. 154 km (standard jarak LTdL)
   Cuaca ............ redup
   Laluan ........... Sungai Petani - Sidam Kiri - Sungai Karangan - LabuBesar - Karangan - Mahang - Selama (Perak) - Selama (Kedah) - Kulim - Padang Serai - Ekor Kucing (Kedah) - Ekor Kucing (Penang) - Pinang Tunggal (Penang) - Pinang Tunggal (Kedah)
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan