Halaman

Jumaat, 19 Mac 2010

Kayuhan Santai - Sekitar Bandar Sungai Petani


Hari dah tinggi, kata orang tua tua dahulu. Jadi terpaksa kansel rancangan untuk buat kayuhan jauh. Aku ingat hendak pusing pusing di sekitar bandar Sungai Petani sahaja. Aku gunakan basikal lama aku 'Montanna Dakar" yang dibeli pada tahun 2001 tetapi masih dalam keadaan baik. Rasanya harga lebih kurang RM600.00 pada masa tu dah cukup mahal. Lagi dah banyak parts sudah ditukar.
Aku tidak pakai full suit pun, berseluar jeans biasa, pakai cap dan tanpa sarong tangan. Bawak kamera digital compact kegemaran. Aku bercadang untuk berkayuh di lorong lorong belakang, ditempat atau taman perumahan yang aku tahu wujud tetapi belum pernah sampai, ingin mengambil gambar gambar tempat yang tiada dalam koleksi aku atau menggantikan gambar yang dah outdated.
Persinggahan pertama aku ialah Klinik Kesihatan Bakar Arang di Lebuh Intan. Klinik ini baru saja beroperasi kira kiran enam bulan yang lalu, setelah berpindah dari bangunan kedai di Jalan Bakar Arang. Klinik ini agak besar dengan kemudahan yang terkini dan lengkap dengan kuarters staf. Semuanya masih baru dan bersih. Hari ini klinnik ditutup kerana cuti hujung minggu. Oh.. Aku telah dilantik menjadi salah seorang Ahli Panel awam klinik ini untuk sessi 2010 dan 2011. Aku sebenarnya masih samar samar tentang tugas dan tanggungjawab ahli panel. Mesyuarat pertama akan berlansung pada hari Isnin 22 Mac 2010. Ini adalah salah satu kerja sukarela sumbangan aku kepada masyarakat. Selain itu aku juga adalah Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Taman Intan.
Aku teruskan kayuhan ke pekan dan membelok ke jalan Kuala Ketil. Pada lintasan keretapi terpaksa berhenti kerana memberi laluan kepada keretapi barang dari Alor Setar. Pembinaan landasan berkembar sedang rancak, aku difahamkan iannya akan siap pada tahun 2013.
Dihadapan lintasan keretapi pembinaan stesyen bas express juga sedang rancak. Buat masa ini bus express menggunakan tempat sementara di belakang bangunan kedai MPSP di tepi sungai.
Pekan Rabu Sungai Petani nampaknya sunyi sahaja seperti dahulu walaupun telah siap beberapa tahun yang lalu. Masalah tiada pelanggan atau orang datang untuk berurusan disana. Berbeza dengan Pekan Rabu Alor Setar. Ia dibina dengan konsep yang sama iaitu untuk memberi peluang kepada peniaga peniaga bumiputra. Tetapi tidak mendapat sambutan dan gagal mencapai matlamatnya. Dua malam yang lalu nama Pekan Rabu Sungaio Petani menjadi tajuk berita bulitin utama TV3 kerana kegiatan pelacuran didalam semak dibelakang bangunannya.
Pekan Lama Sungai Petani dari dahulu sememangnya sibuk diwaktu pagi. Kebanyakkan masyarakat Cina membeli keperluan harian disini. Pasar pagi yang ada disini adalah sambungan dari pasar besar Sungai Petani. Disini juga terdapat beberapa kuil masyarakat India, To' Kong orang Cina, Kuil masyarakat Singh, gereja dan Masjid Kampung Raja. Semuanya berhampiran antara satu dengan lain.
Dari Pekan Lama aku membelok ke kiri ke arah Taman Selasih dan seterusnya ke Perumahan Rakyat Paya Nahu. Tempat ini dipenui dengan rumah pangsa atau flat menempatkan keluarga kelas bawahan (sori....) dan tempat setinggan di sepanjang sungai yang mengalami kebakaran pada lewat 90'an dahulu. Flat Paya Nahu sememangnya mempunyai kadar jenayah tertinggi di daerah Kuala Muda. Pelbagai usaha dilakukan untuk mengurangkan kadar jenayah sehinggalah hari ini.
Semasa aku melalui kawasan perumahan ini keadaan tidaklah seteruknya yang aku bayangkan. Anak anak bermain dikawasan permainan dan banyak gerai dibina di sepanjang jalan. Kebersihan juga dijaga. Banyak juga kerata yang diletakkan ditepi jalan menunjukkan penghuni flat tersebut juga mempunyai pekerjaan yang baik. Ok ini adalah kali pertama aku sampai disini.
Destinasi seterusnya ialah Taman Ria Jaya dan Kawasan Perindustrian Sungai Petani. Tak banyak yang dapat dicatatkan disini kerana kawasan ini adalah salah satu kawasan perumahan golongan pertengahan. Ini dapat dibuktikan dengan pengubahsuaian rumah kediaman mereka. Di jalan utama terdapat banyak gerai makanan. Bersebelahan tapak lapang (tempat yang selalu di adakan circus) terdapat pasar pagi menjual pakaian dan peralatan lain. Terdapat ramai orang berada diluar masjid Sultan Abdul Halim, Taman Ria Jaya, tidak pasti pula apakah majlis yang sedang berlaku.
Aku membelok ke jalan Cinta Sayang ke arah Taman Ria. Berhenti menghilangkan dahaga tekak disalah satu gerai di tepi jalan dan mekan dua bungkus pulut inti. Kemudian aku berlegar di kawasan pasar dan pekan Taman Ria. Cuma melihat jenis jualan dikedai kedai tersebut.

Aku melintas keseberang jalan ke Lagenda Height. Ini adalah kawasan komersial baru. Kedai  kedai disini agak berbeza sedikit kerana lebih canggih dan boleh dikira up-town. Terdapat banyak kedai makan yang klas termasuk tiga restoren nasi kandar, restoren menjual makanan western, restoren cina dan dua restoren HPA iaitu Chicken Radix dan Pizza. Pasaraya Tesco yang pertama di Sungai Petani bersebelahan dengan pusat membeli belah Village Mall. Pelabagi jenis perniagaan terdapat dikawasan ini.
Aku berpatah balik ke Bandar Sungai Petani melalui IKM, Hospital, Penjara,  Stesyen Keretapi, pekan (ingin minum cendol,  tapi belum berniaga), pekena air tebu di depan komplek caymen, tayar basikal pancit, isi angin dan kayuh laju pulang kerumah.


Statistik :
Mula : .................8.30pagi
Tamat : ...............11.00 pagi
Cuaca : ...............Panas
Jarak : ................19 km
Trek/Route : .......Bandar Sungai Petani

Tiada ulasan:

Catat Ulasan