Halaman

Ahad, 24 Mac 2013

Kayuhan Songkhla... kali ke 2

Mengapa aku membuat keputusan mengejut dan dalam masa paling singkat untuk berkayuh ke negara jiran. Taklimat 'Komuniti Sihat untuk warga Taman Intan' yang dijadualkan pada hari ini Ahad 24 Mac 2013 bersama dengan Klinik Kesihatan Bakar Arang dibatal dan ditangguhkan . Pada petang sabtu aku mendapat panggilan telefon dari Dr. Shahid Pervez memberitahu minta tangguhkan taklimat tersebut kerana sebab yang tidak dapat dielakkan. Hah .. dah puas aku buat hebahan dan jemputan, program dibatalkan pula.
Pada rancangan awal, hendak pandu kereta masuk ke Hatyai kemudian kayuh basikal ke Songhkla dan sekitar Hatyai. Tetapi pada sebelah malam aku menukar fikiran. Aku rasa tidak gentlemen . Apa pula alasan yang akan ditulis kedalam blog nanti.
Aku mengambil keputusan untuk mengulangi sekali lagi kayuhan yang dibuat satu tahun lalu. Mungkin sedikit perubahan iaitu akan bermalam di Songkhla dan malam kedua di Hatyai. Rasanya banyak tempat yang aku tidak lawat semasa kayuhan yang pertama dahulu. 
Apabila melepasi tol PLUS Hutan Kampung aku menalipon sahabat lama Ramlan Bidin. Bila aku tanya samada kerja ke tidak, dia menjawap tengah kayuh gerek seorang diri. Dia ajak sarapan pagi di restoren Koperasi Kaum Ibu dan aku silap dengar kerana menunggu dia di restoren kaum ibu di Tanah Merah Jitra. Lengoh juga aku tunggu hingga Ramlan call aku semula. Dia agak terkejut apabila melihat aku dengan pakain berbasikal, tetapi dia cekap mengagak yang aku akan berkayuh dinegara jiran.
Sempat bertanya khabar dan bertukar tukar cerita serta pekembangan semasa tempat kerja. Aku ingin mendengar kenapa salah seorang pengarah memberi notis meletak jawatan 24 jam. Ramlan dengan pengarah tersebut amat akrab. Aku katakan tidak boleh lama kerana aku ingin masuk ke border sebelum jam 10.00 pagi. Kalau lewat nanti panas pula. Ramlan menyatakan tidak dapat untuk bersama tetapi sangat teringin untuk berkayuh ke Satun dimasa masa hadapan. Aku beritahu cakap sahaja bila. Dia perlu sedikit masa lagi untuk mengembalikan tahap kayuhan.
Parking kereta bersebelahan kawasan station teksi. Berpeluang bersembang dengan seorang brader yang tidak apa yang dibuat berada dikawasan itu. Adakah dia membawa teksi motor mengangkut orang yang perlukan perkhidmatan. Aku bertanya prosedur membawa kereta masuk ke Thailand. Tidak perlu kalau pergi setakat pekan Danok. Kenderaan perlu di daftar (declare) di pejabat kastam dan dapat surat izin yang perlu diserahkan semula semasa keluar nanti. Insuran. Tidak berapa perlu sangat.
Apabila melintasi post polis sempadan, seorang anggota berpangkat koperal (dari lencana dibaju) bertanya aku hendak berkayuh sampai kemana. Aku sekadar merendah diri dengan berkata cuma berkayuh dikawasan Danok sahaja. Tidak seperti trip tahun lalu, anggota bertugas bertegas untuk melihat passport dan macam macam yang ditanya. 
Terus berkayuh tanpa singgah di pekan Danok sebaik melepasi imegresen Thailand. Borang embarkation diisikan oleh penulis dengan bayaran RM2.00. Cepat. Malas hendak mengambil borang dipejabat imegresen dan mengisi. Tidak perlu singgah untuk sarapan kerana baru pekena nasi lemak dan teh tarik ketika bersama Ramlan sebentar tadi.
Cuaca mulai panas walaupun baru jam 10.00 pagi (09.00 waktu Thai). Kayuhan peringkat pertama sehingga ke pekan Sadao agak slow sedikit keseluruhan. Ini kerana jalan yang agak  berbukit bukit (rendah sahaja) disepanjang hampir 12 km. Suatu yang sukar dilupakan ialah bau 'getah sekerap' hampir disepanjang jalan.
Berhenti rehat setelah berkayuh selama 2 jam apabila ternampak sebuah restoren mempunyai lambang bulan sabit dan bintang. Ada tanda halal dipapan tanda. Restoren tersebut  terletak lebih kurang 10 km sebelum sampai ke Bandar Hatyai. Sebelum duduk aku capai se tin air 'coca cola' dari dalam peti sejuk dan meneguk sampai habis.
Menu makan tengah hari simple sahaja. Gulai ikan masak asam kuning dan seekor ikan temenung goreng. Tiada ayam atau daging. Ulam mentah (timun, kacang panjang, daun putat)  dan sambal pasti ada. Ais kosong. Yang sedap nasinya. Harga kesemua termasuk coca cola ialah 60 Baht.
Aku berehat selama dua jam selepas makan dan sempat melelapkan mata dihadapan masjid bersebelahan restoren. Siesta (tidur tengah hari) aku sering terganggu apabila kaki digigit semut. Bunyi bising kenderaan lalu lalang tidak lansung menjadi hal. Boleh tahan sibuknya jalan utama dari selatan ini.
Apabila cahaya matahari sudah kurang sedikit aku meneruskan kayuhan ke Songhkla yang hampir 40 km lagi. Suatu yang membantu melindungi aku dari kepanasan matahari ialah kabel letrik. Terdapat banyak kabel letrik disepanjang jalan dan ia memberikan sedikit perlindungan dari pancaran cahaya matahari.
Aku banyak mengalihkan pemikiran aku apabila berdepan dengan kesukaran. Contohnya, apabila memikirkan jarak kayuhan yang masih jauh seperti 40 km lagi, aku fikirkan bandingan jarak tersebut dengan laluan yang selalu aku ikut. Satu pusingan jalan lencongan Timur Barat Sungai Petani jaraknya ialah 33 km, jadi 40 km hanya beberapa km lebih dari laluan tersebut.
Bila terasa hangat dan panas sinaran matahari, aku memikirkan penumpang terutama kanak kanak yang duduk di bahagian belakang pick-up yang tidak berbumbung. Atau orang yang bekerja ditengah panas terik matahari untuk mencari rezeki. Apalah kepanasan yang aku rasai berbanding dengan mereka yang begitu hampir setiap hari.
Satu peristiwa yang membuatkan aku tergamam. Disuatu persimpangan lampu isyarat, aku berhenti seketika untuk terus tetapi kemudian mengmbil jalan susur kekiri dan kemudian membelok kekanan memasuki semula ke laluan asal. Dengan ini aku mengelakkan dari berhenti pada lampu merah. Bukan tidak biasa..... Ada  sebuah motorsikal yang berbuat perkara sama, tiba tiba seorang polis keluar betul betul dihadapan dan menahan. Wrauuuuu ... darah ku. Lega .... polis tersebut bukan menahan aku tetapi motorsikal tadi. Kemudian terdengar polis memarahi penunggang motorsikal tersebut. Tidak pasti apa kesudahan ... kalau di Malaysia boleh agak agak!
Sampai di Songhkla seperti masa yang dianggarkan.


Statistik :
    Mula ............... 10.00 pagi 
    Tamat ............. 17.00 pagi (termasuk berehat dan bersiar siar)
    Jarak ............... 105 km
    Cuaca .............. Panas
    Laluan ............. Bukit Kayu Hitam (Danok) - Songkhla
   Odometer 2013 : 01104
      


Tiada ulasan:

Catat Ulasan