Halaman

Khamis, 20 Oktober 2011

Sg Gelam - Bendang Dalam

Dua hari aku 'miss' kayuhan. Cuaca pada awal pagi bagaikan hujan akan turun bila bila masa. Ambil keputusan untuk membatalkan kayuhan, tetapi satu jam kemudian matahari memancar terang. Hujan hanya turun pada sebelah petang.
Jadi pagi ini keadaan sama berlaku. Aku sudah bersedia untuk berkayuh. Kalau hujan kira nasib lah... lima hari berehat terasa begitu lama. Worst case dapat dua jam kayuhan sudah memadai lah.
Berbelah bagi juga  route atau laluan mana yang akan diikuti. Teringin juga untuk ke Kuala Ketil dan kemudian memasuki jalan raya Timur Barat dan kemudian ke BKE (Butterworth - Kulim Expressway) tetapi menurut ramalan cuaca hujan akan turun pada sebelah tengah hari atau awal petang. Jadi aku batalkan sahaja, mungkin bila cuaca berubah nanti akan aku ikut laluan tersebut.
Aku berkayuh melalui jalan yang paling kerap aku ikuti iaitu lencongan Barat dan kemudian ke melintasi jambatan Sungai Merbuk ke Semeling. Semasa melintasi jambatan tersebut aku teringat semasa mula mula berkayuh dahulu. Jambatan tersebut agak tinggi, oleh kerana jarak hampir 200 meter, sukar juga untuk melepasi bagi yang mula berjinak. Aku masih ingat ketika mula melalui jambatan, kelajuan hanya 7km/j dan rasa hendak putus urat betis. Pagi ini aku berbangga kerana pendakian jambatan ini dibuat dengan kelajuan melebihi 22 km/j.
Teringin betul untuk berkayuh dikawasan bendang melalui kampung, jadi aku membelok ke Jalan Segantang Garam. Sebaik melepasi MRSM Merbuk aku terpandang satu papan tanda yang bertulis "anda memasuk salah satu kampung tercantik ....... " tidak dapat melihat kesemua yang tertulis di papan tanda tersebut kerana sebahagian dari tulisan telah pudar. Bila agak jauh baru teringat kenapa tidak mengambil gambar papan tanda tersebut. Kampung Pengkalan Bujang terletak di jalan Sungai Gelam.
Suasana kampung memangnya mengasyikkan, walaupun hari ini hari bekerja terdapat ramai orang dengan melakukan pelbagai aktiviti. Tempat yang menjadi tumpuan adalah gerai gerai makanan yang banyak terdapat disepanjang jalan. Kelihatan ramai warga tua duduk bersembang sambil menjamu selera. Kebanyakkan mereka adalah petani dan musim menanam baru berlalu. Mungkin sekarang mereka berehat sementara menunggu benih tumbuh untuk dibaja dan meracun. Rumah disini dijaga dengan bersih dan dihiasi dengan berbagai jenis bunga dan pokok buah-buahan. Terdapat banyak kemudahan disediakan dikampung ini termasuk dewan, tempat permainan kanak kanak, pondok pondok rehat dan lain lain.
Mungkin yang dimaksudkan dengan kampung tercantik adalah pemandangan disekitar kampung. Sawah padi yang luas berlatar belakangkan Gunung Jerai di sebelah timur dan kawasan bakau disebelah barat.Ditengah bendang terdapat banyak 'pulau' yang menempatkan rumah petani petani dan dikeliling pokok buah buahan dan pokok kelapa.
Aku menyusur laluan di tepi kawasan bakau di sepanjang Sungai Merbuk. Satu lagi pemandangan yang menyeronokkan. (..Sayangnya....) disepanjang laluan tersebut, kawasan bakau tersebut kini dijadikan kawasan ternakan udang atau ikan. Berpuluh puluh hektar kawasan bakau telah ditebang, dibersihkan dan dikorek untuk dijadikan kolam ternakan.
Aku terpaksa berpatah untuk mencari simpang lain kerana jalan dihadapan amat lecak dan dihalang oleh pokok yang tumbang.
Dua minggu lepas SK Juan dan Azbel Singh mulai mengatur rider dari kawasan Taman Intan untuk  menyertai 'Kayuhan Amal' bersama sama dengan beberapa kelab basikal di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang. Kayuhan amal ini bertujuan mengutip dana untuk seorang pesakit Nur Azreen di Singkir Darat, Yan. Kayuhan dirancang pada pagi Sabtu 22 Oct 2011. Sebelum itu beberapa siri kayuhan telah diadakan oleh banyak kelab basikal disebelah utara ini.
Sebelum sempat aktiviti tersebut dilaksanakan 'Allah telah memanggil pulang adik Nur Azreen'. Pihak penganjur telah membatalkan kayuhan tersebut. Walau begitu penganjur telah menyerahkan dana yang telah dikutip setakat ini.
Aktiviti seperti inilah yang perlu diberi sokongan oleh semua pihak. Bukan sahaja terhad kepada penggiat basikal sahaja. 

Statistik 
   Mula .............. 8.10 pagi
   Tamat ............ 10.30 pagi
   Jarak ............. 43 km
   Cuaca ............ Redup
   Laluan ........... Lencongan Barat - Semeling - Segantang Garam - Bendang Dalam - Merbuk

p/s - hari ini berita memaparkan tamatnya riwayat pemimpin Libya - Kolenel Muamar Gaddafi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan