Halaman

Jumaat, 28 Jun 2013

Pasar bisik Kuala Muda

Tidak kuasa hendak fikirkan bilakah kali terakhir aku ke Kuala Muda, tetapi sudah agak lama juga. Aku tetapkan untuk berkayuh kesana hari ini. Ada beberapa sebab kenapa aku berkayuh kesana.
Pertama kerana hari Jumaat, tidak ingin berkayuh jauh. Bukannya takut terlambat pulang untuk solat tetapi takut tidak cukup masa untuk berehat. Ia boleh mengakibatkan terlelap mata ketika katib membaca khutbah terutama kalau topik, kandungan dan cara penyampaian kurang menarik. 
Kalau kurang masa untuk suhu badan kembali normal, boleh basah dek peluh baju melayu semasa berjalan kaki dari rumah ke kasjid yang hanya lebih kurang 200 meter. Walaupun Masjid Taman Intan dilengkapi dengan alat penghawa dingin, 6 unit 5 HP setiap satu, tetapi suhu dalam masjid pada waktu sembahyang jumaat tidaklah sedingin yang sepatutnya. Mungkin jumlah bilangan 'air cond' di masjid Taman Intan perlu di tambah untuk ia betul betul berkesan.
Kedua aku ingin melihat bagaimana projek tambatan banjir yang pada kali terakhir aku kesini sedang rancak berjalan. Agaknya semuanya hampir siap. Jentera berat di sepanjang kedua dua belah Sungai Muda tidak lagi kelihatan dan tiada lagi pekerja berada ditebing sungai. Namun masih ada lagi yang nampak belum sempurna. Banyak tebing yang di tanam rumput, cuma jalan jalan akses ke tebatan masih belum siap.
Aku amat teringin untuk berkayuh di atas tebing tebatan disepanjang kedua dua belah sungai. Ada jalan dibina diatas tebing membolehkan kenderaan kecil dan motorsikal melaluinya. Setakat yang aku nampak jalan yang dahulunya batu merah 'laterite' kini sudah di bubuh batu crusher run. Tidak pasti samada jalan tersebut akan di turap tar kelak. Alangkah seronoknya berkayuh jika laluan atas benteng diturap, tiada gangguan kenderaan lain dan dapat menikmati suasana dan pemandangan yang cantik.
Sebab ketiga aku kesini bukanlah untuk membeli ikan atau hasil laut lain di 'pasar bisik'. Susah hendak bawak ikan balik dengan basikal kerana kalau 'berbisik', bukan satu atau dua kilo ikan. Lebih dari 5 kilo. Lagi pun aku jangka akan sampai ke pasar bisik sebelum jam 9.00 pagi. Nelayan akan mula pulang paling awal pun selepas 10.30 pagi. 
Aku mengintai kalau kalau bernasib baik terserempak dengan seorang bekas pekerja dibawah aku yang pernah bertugas di Loji Pembersihan Air Pinang Tunggal. Dia berkahwin kali kedua setelah bercerai dengan isteri pertama dengan orang Kuala Muda dan menetap disini. Dia berhenti berkhidmat beberapa tahun lalu kerana masalah kecederaan kaki akibat kemalangan jalan raya ketika menunggang motorsikal. Kecederaan yang dialami tidaklah berapa teruk atau serius tetapi dia ada menghidap kencing manis (diabetis) yang memburukkan keadaan.
Mengikut beberapa orang teman sekerjanya, Mokhtar Bin Mohd Noor kini tidak berupaya berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda. Sedih juga mendengarnya. Lebih menyedihkan apabila aku diberitahu bahawa wang pampasan yang diterima semasa berhenti kerja telah habis dilaburkan dalam 'Skim Pelaburan Emas Geneva'. Dia melaburkan hampir 60 ribu ringgit dalam skim ini dengan harapan mendapat pulangan yang dapat dijadikan sumber untuk saraan hidup harian. Tindakan yang diambil oleh kerajaan membekukan skim tersebut adalah tamparan paling dasyat kepadanya. Nasib baik isterinya masih bekerja.
Nasib tidak menyebelahi aku kerana rumah yang dia tinggal kelihatan tutup dan tiada orang yang boleh aku bertanya. Rumahnya betul betul dihadapan masjid Kuala Muda. Ingin sangat aku berjumpa dengannya. Mungkin dimasa lain.
Aku terus ke kuala sungai dan mendapati terdapat pembinaan pasar bisik yang baru bersebelahan. Kawasan ini lebih luas, dilengkapi dengan tempat parking yang luas dan selesa, gerai dan kedai sokongan dan tandas. Sesuai dengan masa kerana kawasan yang sedia ada agak sempit sukar untuk sampai dan tidak selesa. Apabila siap nanti komplek pasar bisik ini bukan sahaja merancakkan aktiviti tetapi dapat dijadikan sebagai salah satu lokasi tarikan pelancong.
Aku singgah di Tikam Batu untuk sarapan sebelum balik kerumah.

Statistik : 
    Mula ............... 7.55 pagi
    Tamat ............  10.20 pagi
    Jarak ............... 52 km
    Cuaca .............. Panas (jerubu)
    Laluan ............. Kuala Muda
   Odometer 2013 : 02729 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan