Halaman

Ahad, 2 Jun 2013

Tiga kenduri berterusan ....

Petang kelmarin terasa otot peha kaki kanan sengal dan sakit bila aku bangun dari duduk. Mesti disebabkan kayuhan yang dibuat pada sebelah pagi kerana tidak menukar kepada gear rendah apabila membuat beberapa pendakian kecil. Aku juga membuat beberapa pecutan sehingga melebihi kelajuan yang tidak pernah aku capai sebelum ini (kecuali ketika menuruni bukit .....!)
Aku menyapu krim untuk sengal otot yang aku beli di negara jiran dengan harga RM2.80. Krim ini macam minyak kuda disapukan pada kaki sebelum dan selepas bersukan. Pagi ini bila bangun tidur semua sengal otot hilang. Bagus juga krim ini, dahulunya ia menggunakan brand 'boxer' tetapi nama tersebut telah di'siam'kan. Elok disimpan dan dibawa ketika membuat kayuhan.
Pagi ini aku memang berhajat untuk membuat kayuhan lagi. Kalau boleh lebih kurang jarak yang dibuat hari sebelumnya. Rasa kecewa kerana hujan turun sebelum matahari muncul. Pada mulanya tidak lebat dan berhenti selepas 10 minit. Menaikan semangat untuk meneruskan cadangan untuk berkayuh. Hanya membunuh perasaan kerana hujan yang reda sebentar tadi disambung pula dengan hujan yang lebih lebat....
Aku dalam keadaan yang selalu kita alami. Bila hujan turun dengan lebat atau berpanjangan dan kita berada dirumah. Tiada apa yang menarik di TV. Perut tanpa disedari mula merasa lapar. Kecewa lagi apabila orang rumah rileks saje .. tidak masak untuk makan tengah hari.
Baru teringat ada tiga jemputan walimatul urus hari ini. Kami mula kerumah pertama yang terletak lebih kurang 300 meter dari rumah di Taman Emas Suria. Tetamu tidak berapa ramai kerana hujan dan mungkin tetamu ke rumah kenduri lain dahulu. Menu agak menarik kerana ia berbeza dengan menu biasa seperti tiga kenduri yang aku hadiri kelmarin. Menu utama ialah daging rebus dengan air asam.
Selepas itu kami terus kerumah kenduri kedua, juga tidak lebih setengah kilometer jarak dari rumah aku. Hanya ambil satu senduk kecil nasi dan lauk udang campur rebung. Rumah kenduri ketiga aku hanya ambil buah buahan dan satu mangkuk kecil ais batu kacang.
Rasa perut kencang sungguh apabila sampai dirumah. Hujan masih dan masa untuk berehat. Esok kalau tidak hujan mesti membuat kayuhan untuk mengimbangi makanan yang diambil hari ini.
         

Tiada ulasan:

Catat Ulasan