Halaman

Ahad, 13 Jun 2010

Balik Kampung


Phew..... hari ini selamat pulang dari kampung. Hampir seminggu tidak jengok blog sebab tidak bawak komputer ke kampung. Nak guna komputer anak menakan tidak seronok pula rasanya. Jadi biarkan sahaja tapi terasa rindu pula sebab lama tidak buka komputer. Bila sampai saja dirumah, on komputer dahulu sebelum mengemaskan dan mengeluarkan barang dari kereta. Banyak juga e-mail dan message dalam facebook. Inilah cara hidup masa kini. Aku juga tidak sempat untuk mengemaskinikan laman blog aku yang masih terbengkalai. Keadaan dan kelajuan internet masih belum pulih lagi.
Aku beritahu rakan rakan dalam facebook bahawa aku akan balik kampung sempena cuti sekolah ini. Ada yang rakan bertanyakan secara berseloroh samada aku berkayuh kekampung. Bukan kali ini. Insyaallah mungkin disatu hari nanti aku akan sampaikan hajt untuk membuat kayuhan ke kampung.
Dari dulu lagi aku memang becita cita untuk membuat kayuhan jarak jauh. Apabila aku terbaca berita ada orang mengayuh basikal, aku sering berangan angan dan bercita cita untuk mengikuti jejak mereka.
Semasa aku memandu ke arah Kuala Kelawang dari Bandar Baru Serting, aku melihat sekumpulan empat orang pengayuh basikal sedang menuruni bukit kearah Pekan Batu Kikir. Tidak tahulah sampai kemana mereka akan pergi kerana ada beberapa pekan sebelum sampai termasuklah Pekan Pelangai dan Simpang Pertang. Aku memperlahan kereta sambil memerhatikan pengayuh basikal tersebut.
Dari Kuala Kelawang menghala ke Seremban pula aku melihat sekumpulan tidak kurang dari lima belas orang sedang membuat kayuhan mendaki Bukit Tangga. Pendakian ini agak tinggi dan boleh di bandingkan dengan Jalan Baling ke Pengkalan Hulu melalui Gunung Inas. Jalan ini beberapa kali menjadi laluan Le Tour de Langkawi beberapa tahun yang lalu.
Tahun lepas aku balik seorang diri kerana masa itu bukan musim cuti sekolah. Aku membawa basikal aku sekali. Seronok sungguh membuat kayuhan. Pada hari kedua iaitu setelah melepaskan penat memandu dan mendapat rehat dan tidur secukupnya, aku mulakan kayuhan seawal 6.30 pagi. Dari Bahau aku membuat kayuhan melalui Kampung Jambu Lapan, Kuala Jempol, Terusan, Bukit Tempurung, Kuala Kepis, Dioh, Senaling dan ke Pekan Kuala Pilah. Setelah berehat dan mengisi perut aku mengayuh mengikuti jalan ke Batu Kikir. Jalan ini juga boleh ke Karak dan Kuantan. Dari Batu Kikir aku melalui jalan Kampung Bukit Kerdas, Gajah Mati, Serting Ilir, Lonek, Kuala Sialang dan sampai semula ke Kuala Jempol dan Bahau. 
Dua kilometer dari Pekan Batu Kikir arah ke Bahau, aku melihat Rumah Pendita Za'ba yang dijadikan muzium lengang sahaja. Tiada pengunjung. Masa itu aku tidak sempat singgah untuk melihat barangan yang dipamirkan. Mungkin dilain masa aku akan datang kesini.
Kayuhan sebelah pagi merangkumi jarak 65 km. Apabila sampai kerumah peninggalan arwah emak aku, aku tidak merasakan letih. Disebelah petang aku sekali lagi aku membuat kayuhan. Kali ini aku menghala ke Felda Serting dari Pekan Bahau. Perjalan ini tidak berapa jauh tetapi jalan berbukit bukit. Aku singgah dirumah kakak aku di Felda Serting 4 yang sekarang ini dikenali dengan nama baru iaitu Felda Raja Alias dan rumah abang di Felda Serting 3 (Felda Raja Alias 3). Aku masih kurang pasti siapakah Raja Alias. Aku akan buat semakan dalam internet nanti.
Percaya atau tidak, semasa membuat kayuhan disebelah pagi dan petang tersebut, aku tidak berselisih atau berjumpa dengan sesiapa yang juga membuat kayuhan. Mungkin dikawasan kampung dan pendalaman sukan berbasikal ini kurang mendapat sambutan. Aku tahu di Seremban terdapat beberapa buah kedai basikal yang menjual basikal sukan termasuk mountain dan road bikes dan juga beberapa kelab basikal. Ada juga ahli kelab basikal dari Seremban mengambil bahagian dalam jamboree basikal yang diadakan disebelah utara ini.

Untuk melepaskan gian kerana tidak dapat kayuh basikal untuk beberapa hari, aku membuat 'hiking' di Gunung Berembun. Aku bermula dari Pekan Pantai agak lewat kerana menghantar orang rumah kepasar. Gunung berembun agak tinggi dan aku hanya naik sampai sekerat jalan iaitu sampai penghabisan jalan bertar iaitu hingga ke Loji Air Pantai. Aku mengambil masa kerana menikmati keindahan hutan rimba, bunyi unggas dan deruan air sungai disepanjang jalan. Terdapat banyak tempat mandi dan berkelah disepanjang sungai tertsebut. Bila aku berpatah balik aku terjun dengan pakaian kedalam sungai yang sejuk kerana sudah tidak tahan melihat air yang jernih mengalir dicelah batu dan pokok pokok. Keseluruhan perjalanan pergi balik mengambil masa lebih empat jam. Lain kali aku balik kekampung aku akan kesana lagi, kali ini lebih jauh keatas. Aku juga bercita cita untuk mendaki Gunung Telapak Buruk iaitu gunung tertinggi di Negeri Sembilan. Tinggi gunung tersebut ialah 1193 meter (3913 kaki) kurang sedikit dari Gunung Jerai di Kedah. Itu pun kalau aku jumpa jalan ke gunung tersebut.
Kesimpulan aku adalah kawasan ini mempunyai jalan yang amat mencabar untuk berbasikal. Terdapat banyak jalan melalui bukit bukau yang menghidangkan pemandangan yang menarik dari puncak bukit, kawasan ladang kelapa sawit dan getah yang luasnya mencapai puluhan ribuan hektar dan kawasan laut yang tidak kurang cantik dan menarik.
Semoga aku akan dapat mencapai hasrat dan hajat untuk menawan dan mengelilingi kawasan negeri Sembilan, Pahang dan Melaka. Banyak yang hendak aku ceritakan tentang kampung aku disini tetapi mungkin dilain masa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan