Halaman

Khamis, 12 September 2013

Semua naik ..... basikal

Wah ... nyenyak sungguh aku tidur malam tadi kerana melakukan kayuhan pendek jelajah kampung petang semalam. Walaupun basikal penuh dengan lumpur dan slut tetapi seronok dan berasa puas dapat mengeluarkan peluh dan melonggarkan sendi tulang empat kerat. Jalan kampung yang aku lalui penuh dengan air dan lumpur. Langit agak kelam dengan awan hitam tetapi hanya terasa rintik rintik hujan. 
Pagi ini cahaya matahari keluar awal berbanding dengan empat lima hari lalu. Ketika itu boleh dikatakan hujan turun setiap pagi bermula dari sebelah malam. Aku tidak melepaskan peluang untuk keluar berbasikal walaupun aku tahu jalan masih lembab dan berair. Jenuhlah nanti untuk mencuci baju dan seluar yang terkena percikan air dari tayar gerek.
Kerana terlalu teruja untuk bekayuh aku terlupa bahawa hari ini ada program dengan panel penasihat klinik kesihatan Bakar Arang. Empat lima kali kayuhan terganggu kerana berhenti untuk menjawap panggilan telepon dari kakitangan klinik dan rakan panel bertanyakan tentang lawatan ke klinik desa dibawah tadbir klinik Bakar Arang. Terpaksa memberi alasan dan sedikit temberang mengapa aku tidak dapat menyertai lawatan tersebut.
Pagi kelmarin setelah selesai mengambil insuran dan road tax kereta ketiga iaitu Proton Tiara aku singgah untuk bersembang dengan SK Juan yang berada di kedai basikal Taman Intan. Biasanya kalau dia tidak berkayuh dia akan berada disana menghabiskan masa. Samada bersembang atau duduk bersahaja atau kadang kala membuat kerja membaiki basikal sendiri.
Rasanya sejak akhir akhir ini dia sedikit berubah kerana setiap percakapan mengenai basikal atau kayuhan dia sering memuji diri sendiri. Semasa aku singgah dia sedang mencuci rim basikal berjenama yang tidak menggunakan tiub dalam ('tubeless'). Aku katakan tidak perlu untuk mengunakan jenis tersebut kerana jenis kayuhan yang dilakukan. Ia sering mendatangkan masalah kerana lebih kerap mengalami kebocoran. Satu lagi aku nyatakan bahawa kesukaran mendapatkan tayar gantian. Bukan banyak kedai menjual tayar jenis ini. Tetapi ia bertegas mengatakan jenis ini membolehkan kelajuan maksima. Tidak dapat disaingi oleh rider lain.
Dua tiga bulan lalu apabila aku menukar mountain bikes kepada touring bikes ia mencadangkan cara untuk menukar brake untuk disesuaikan dengan tayar dari 26 inci ke saiz 29 inci (700 x 28 mm). Aku tidak pedulikan cadangan tersebut dan membuat mengikut cara sendiri. Minggu lalu dia datang kerumah untuk melihat apa modifikasi yang aku lakukan dan dia menyatakan untuk membuat cara tersebut. Saiz tayar yang pada mulanya dikatakan lebih sesuai iaitu 700 x 28 juga ditukar kepada saiz yang aku gunakan iaitu 700 x 23c.
Dia begitu berbangga kerana pada usia mencecah 78 tahun masih mampu berkayuh dan sering menceritakan tidak dapat disaingi oleh rider yang jauh lebih muda darinya. Dia juga begitu berbangga kerana sering menjadi tumpuan pemberita akhbar sebelum bermula jamboree basikal kerana menjadi peserta paling tua menyertai. Mengikutnya sudah lima enam kali dia keluar dalam akhbar cina.
Aku sekadar berkayuh untuk kesihatan dan untuk leisure dan pleasure menggunakan basikal basic.
Cakap pasal insuran kereta aku terkejut apabila quotation (sebutharga) third party untuk kereta 1.1 litre meningkat hampir RM50.00 berbanding dengan harga tahun lalu. Biasanya premium akan menurun setiap tahun tetapi tidak begitu sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Aku mencari alternatif  syarikat insuran lain dan dan rasa beruntung kerana mendapat harga yang hampir serupa dengan jumlah yang dibayar sebelumnya. Apalah .... menyusahkan orang ramai sahaja. Harga petrol pun baru naik dari RM1.90 kepada RM2.10 setiap liter seminggu lalu. Tidak lama lagi harga barangan dan servis akan turut naik. Semua naik.
Aku pun naik .... naik basikal.

Statistik : 
    Mula ............... 8.00 pagi.
    Tamat ............  10.20 pagi
    Jarak ............... 50 km
    Cuaca .............. Redup
    Laluan ............. Lencongan barat
   Odometer 2013 : 03357

Tiada ulasan:

Catat Ulasan