Halaman

Rabu, 26 Oktober 2011

Selamat Hari Deepavali

Pagi ini sepatutnya ramai riders atas jalan tetapi sepanjang perjalanan sejauh hampir 50km hanya berselisih dengan dua rider di jalan lencongan timur. Kedua dua menggunakan mtb dan agaknya masih baru. Sepatutnya pada hari cuti umum seperti hari ini,  ramai rider yang berada di jalan jalan sekitar waktu aku memulakan kayuhan. Cuaca baik dan cerah. Apa yang berlaku?
OK tak kan semua rider menyertai kayuhan Gunung Jerai. Aku terbaca dalam facebook beberapa hari lepas tentang kayuhan ke puncak Gunung Jerai pada 26 Okt 2011 iaitu cuti umum hari Deepavali. Program ini adalah anjuran group dari Perwaja dan melibatkan beberapa group dari Sungai Petani. Mereka dijangka akan memulakan pendakian pada jam 7.30 pagi.
Tiada yuran pendaftaran, goodies atau jersey, lupakan flagoff ceremony, tiada hadiah, tiada makanan dan minuman disediakan dan rider perlu membawa keperluan sendiri. Sesiapa yang ingin turut serta hanya perlu datang di kaki gunung, lambat pun tidak mengapa, tidak semestinya berkayuh bersama sama. Jangan risau sesat jalan kerana hanya ada satu jalan menuju keatas ... lainlah kalau nak ikut dalam semak atau hutan.
Pada mulanya teringin juga untuk ikut serta walaupun kali terakhir aku kesana sepuluh hari lepas. Mungkin seronok berkayuh beramai ramai mendaki Gunung Jerai. Mungkin memberi aku peluang untuk melihat kemampuan rider lain. Bagus untuk EGO.
Ini kayuh syok syok sahaja, memberi peluang kepada rider yang jarang kesana untuk mengadu kudrat dan tenaga sendiri, menguji setakat mana kemampuan, kesabaran dan mencari kelemahan diri. Bagi yang belum ini pernah melakukan kayuhan inilah masa yang sesuai, peluang bersama otai dan rakan rakan lain. Walau apa pun keputusan dan kesudahan, pasti ia menjadi suatu pengalaman yang sukar dilupakan nanti. Mungkin selepas ini ramai yang akan datang kembali.
Tidak boleh membayangkan keadaan jalan jika ramai yang menyertai aktiviti ini. Pastinya akan menjadi kelam kabut, walaupun jalan agak luas tetapi dengan keadaan kayuhan mendaki akan menimbulkan masalah untuk memotong atau untuk maintain kelajuaan. Kayuhan pendakian amat berbeza dengan kayuhan jalan biasa.
Pihak penganjur perlu mengingatkan peserta untuk berhati hati semasa menuruni gunung. Banyak sangat selekoh maut. Jangan pula ada yang terbawa bawa atau keterlaluan dengan aksi 'korner baring'. Kelajuan semasa menuruni gunung boleh mencapai 70 km/j dan silap haribulan boleh tersangkut didahan dahan pokok ditepi lereng gunung. Disc brake boleh bertukar warna kemerahan atau kebiruaan.
Juga sesetengah jalan agak licin kerana musim hujan sekarang, ada juga kawasan terdapat lumut dan daun-daun yang reput. Awas boleh berlumba semasa pendakian tetapi jangan berlumba semasa penurunan. Aku ucapkan selamat membuat pendakian dan berseronok ... jika nasib baik akan dapat melalui kabus tebal atau awan di puncak gunung nanti.
Aku kansel hajat untuk menyertai mereka. Lebih selesa membuat kayuhan solo seperti kebiasaan. Aku akan kesana mungkin pada minggu hapadan kerana pada hujung minggu ini ada rancangan untuk berkayuh ke Sik sejauh hampir 120 km pergi balik.
Masih awal semasa aku sampai di Pekan Bedong dan aku masih mempunyai banyak masa sebelum cuaca bertambah panas. Aku membelok di kawasan perumahan di pekan tersebut. Belum pernah melawati kawasan ini. Banyak juga rumah kos rendah dan sederhana dikawasan ini. Terdapat ramai kanak kanak kaum India sedang bermain mercun dan bunga api sempena hari perayaan mereka. Suatu yang menarik perhatian aku ialah pakaian mereka.
Lebih dua jam berkayuh dan masih bertenaga. Masih belum terasa lapar atau haus. Tidak singgah dimana mana untuk makan atau minum kerana aku telah 'pasang niat' untuk pekena gulai ikan sembilang di gerai makan kawan aku di Kampung Teluk. Walau baru jam 10.00 pagi rasanya gulai sudah masak. Sebaik sampai kawan aku tersebut sedang bersedia untuk ke bendang, menabur baja katanya. Padi disawah sudah hampir dua bulan dan perlu dibaja. Tidak lama lagi akan berbuah.
Aku respek kawan aku seorang ini. Walaupun ada pekerjaan tetap sebagai pekerja di Loji Pembersihan Air, tetapi dia mengusahakan bendang padi yang keluasan hampir 30 relong. Dia mengusahakan restoren gulai ikan sembilang dan pengurusan diserahkan kepada isterinya sepenuhnya. Dia juga mengusahakan lembu feedlot.
Hari ini seketul gulai ikan sembilang berharga RM9.00, lebih dari biasa. Bekalan kurang. Nelayan kurang ke laut kerana musim hujan. Satu lagi sebab adalah kerana permintaan ikan sembilang laut yang tinggi dan pengusaha restoren berebut untuk mendapatkan bekalan dan sanggup membayar harga yang lebih.
Statistik
   Mula ............... 8.00 pagi
   Tamat ............. 10.20 pagi
   Jarak .............. 49 km
   Cuaca ............. Nyaman
   Laluan ........... Lencongan Timur - Bedong - Semeling
     

Tiada ulasan:

Catat Ulasan