Halaman

Isnin, 12 Disember 2011

sembang sembang .....

Pagi tadi semasa berada di stesyen minyak Petronas Taman Nilam di Lencongan Barat aku bertemu dengan seorang rider mtb. Dia sedang mengisi angin mountain bikenya dan aku pula membuat pemeriksaan tekanan angin pada tayar SUV. Aku terasa ingin menegur kerana dia betul betul berada disebelah aku. 
Aku bertanya kenapa berkayuh seorang sahaja walaupun aku sendiri lebih suka berkayuh sendirian. Dia menjawap kerana dia berkerja syif, dan agak sukar mencari teman kayuhan pada pagi hari bekerja. Dia pula bertanya, "Abang kayuh juga ke?"
Biasanya begitulah, kita lebih senang memulakan perbualan dengan orang yang tidak kita kenali sekiranya mempunyai sesuatu persamaan. Tidak kiralah persamaan dari segi apa contohnya politik, kegemaran, hobi, makanan atau lain lain. Dalam kes ini, kami sama sama meminati aktiviti berbasikal. Perbualan tidak semestinya untuk berkenalan atau untuk menjadi sahabat, mungkin ini kali pertama dan terakhir bertemu. Jika ada berpeluang bertemu semula mungkin tidak ingat lagi yang kita pernah bertemu.
Menurutnya dia tinggal di Taman Kempas dan baru saja bergiat dalam aktiviti basikal ini. Basikalnya boleh tahan juga, kira lebih sedikit dari 'entry level'. Dari pemakaian seluar, jersey, helmet, kasut dan glove, boleh dikatakan dia serius berbasikal, walaupun mungkin atas pengaruh rakan. Menurutnya masih belum lagi dapat mengikuti mana mana jambori atau kayuhan jarak jauh. Paling jauh pernah berkayuh Tupah iaitu hampir 20 km dari Taman Kempas.
Dia bertanyakan nama aku. Walaupun aku pasti tidak akan berjumpa atau berkayuh dengannya, aku memberikan nama ringkas dan sebagai pemanis mulut aku mengatakan berharap dapat berjumpa dengan lagi sebelum memberi salam selamat tinggal kepadanya.
      

Tiada ulasan:

Catat Ulasan