Halaman

Khamis, 15 Disember 2011

Radiasi dari High Tension cable ......?

Menukar aktiviti pagi ini, dari berkayuh kepada berjogging. Sudah agak lama aku tidak ke Bukit Semarak untuk berjogging dan membuat pendakian. Apa lagi naik kereta hingga ke kaki bukit. Bilangan kereta kurang dari biasa, mungkin kerana hari bekerja.
Ada sedikit perubahan, kawasan permulaan pendakian kini sudah diterangkan dari semak dan belukar. Mungkin tuan tanah akan mengusahakan tanah yang subur di kaki bukit. Sebelum ini ada penduduk yang mengusahakan ternakan ayam dan itik disebahagian tanah tersebut mungkin tanpa pengetahuan atau izin tuan tanah. Kini ternakan tersebut sudah tiada. Dengan tiada semak samun tersebut menjadikan tempat tersebut lebih selamat kepada orang orang yang berjogging. Manalah tahu kalau ada penjahat yang bersembunyi didalam semak dan menunggu untuk 'ambush' dan merompak.
Tidak jauh dari aku ada sekumpulan remaja. Riuh rendah semuanya. Maklumlah apabila ramai mereka begitu seronok. Walau apa pun, tanhian kerana melakukan aktiviti yang mendatangkan manafat kepada kesihatan. Tentu ramai lagi remaja lain yang masih berdengkor dirumah, atau yang menghabiskan masa tanpa membuat sesuatu yang berfaedah.
Pada mulanya aku hendak mengikut jalan biasa iaitu membelok kekiri untuk ke puncak bukit seperti kebanyakkan orang lain. Apa yang aku dengar dari perbualan remaja yang hanya beberapa meter dihadapan mengubah fikiran aku. Ada dua atau tiga orang yang enggan membuat pendakian menegak dibawah talian kabel TNB, mungkin kerana mereka tidak berkeyakinan mampu melakukan pendakian tersebut. Seorang yang agak senior mengatakan "Alah ... pak cik tu pun boleh, tak kan kau tidak boleh kot .." Mahu tidak mahu, mereka kesemuanya bersetuju mengikut jalan tersebut.
Kena tunjukkan kepada remaja tersebut kemampuan aku. Aku mengekori mereka dibelakang dan kadang kala memperlahan pendakian untuk memberi laluan kepada mereka. Semuanya dapat menghabiskan pendakian tanpa sebarang masalah. Setibanya di puncak mereka semua berhenti rehat, ada yang terus meneguk air yang dibawa, membuka bungkusan nasi lemak, dua tiga orang memanjat tower kabel untuk berehat diatas palang dan paling malang ada yang menghisap rokok !!!
Ah ... anak anak muda sekarang.
Melepasi pendakian tersebut aku meneruskan perjalanan walaupun ramai remaja tersebut mempelawa aku berehat dan berkongsi makanan yang dibawa. Ajak ajak ayam atau betul ni ? Terima kasih. Di jalan ada empat lima orang pendaki tegar berbangsa cina memandang aku, macam hairan je ... mungkin pelik kerana melihat aku mampu mendaki mengikut jalan menegak tersebut. Buat seketika aku menjadi bangga, rasa besar hati dan mahu terus berlagak. MasyaAllah...
Aku teringat beberapa bulan lepas semasa membuat pendakian yang sama, seorang regular berbangsa cina menyatakan supaya jangan selalu sangat mengikut jalan tersebut. Bila ditanya mengapa, dia menerangkan radiasi di bawah laluan kabel voltan tinggi TNB (275KV) sangat kuat dan boleh menjejaskan kesihatan. Hah .. aku datang untuk senaman menyihatkan badan tetapi dapat sakit pula.
Sebagai seorang jurutera elektrik, aku terkejut bila mendengar penjelasan tersebut. Aku tidak pernah memikirkan tentang keadaan tersebut. Adakah benar radiasi yang dikeluarkan oleh talian elektrik tersebut boleh menjejaskan kesihatan kita?
Kalau diperincikan, kehidupan kita sekerang tidak boleh lari dari semua jenis radiasi yang keluar dari semua jenis peralatan yang ada dirumah dan dikeliling kita. Semua peralatan elektrik yang terdapat dirumah mengeluarkan radiasi termasuk TV, Microwave oven, dapur dan cerek elektrik dan perlbagai lagi. Paling baru dan paling membimbangkan adalah radiasi yang dikeluarkan oleh 'Handphone'.
Terdapat banyak kajian, berita dan rencana tentang kesan radiasi dari handphone, itu tidak mengambil kira kecelakaan yang boleh berlaku seperti meletup dimuka dan lain lain. Ada pengguna kisah, adakah penggunaan handphone menurun atau berkurangan.
Kesimpulan, lalu didalam lingkungan radiasi dari kabel voltan tinggi tidaklah berisiko melainkan jika ianya dilakukan berterusan dan dalam tempuh masa yang lama. Jika ia benar mendatangkan masalah kesihatan, kesihan kepada pekerja yang melakukan pemasangan, senggaraan dan kerja membersihkan kawasan laluan.
      

Tiada ulasan:

Catat Ulasan