Halaman

Isnin, 27 Februari 2012

Jeniang

Jambatan Pekan Jeniang
Tiga hari tidak membuat kayuhan. Ada projek lain. Petang kelmarin SK Juan datang kerumah untuk sembang sembang. Dia menceritakan kayuhan ke Sik pada Sabtu lepas. Banyak juga kerenah geng basikal ini. Selain datang lambat pada waktu yang dijanjikan, kebanyakkan datang tanpa sarapan pagi. Masalahnya, geng Cina agak memilih makanan terutaman waktu makan pagi, tidak seperti kita, cukup dengan nasi lemak atau roti canai sahaja. Kebanyakkan mereka memang tidak bersarapan dirumah.
Orang orang Cina lebih suka makanan panas yang disediakan apabila dipesan. Kebioasaan sarapan pagi mereka lebih heavy dari kita, mereka suka makan mee atau kuoe tiow yang dimasak soup atau goreng. Kebanyakkan kedai makan Cina hanya terdapat dipekan pekan sahaja tidak seperti kedai makan Melayu yang banyak disepanjang jalan. Kalau dalam perjalanan memang sukar untuk mencari restoren Cina. Sering jika aku berkayuh dengan mereka, aku tidak mempunyai masalah untuk mencari kedai atau gerai Melayu dan boleh singgah bila bila masa.
Makanan Cina hanya apabila ada pesanan dan ini mengambil sedikit masa. Lebih lama jika restoren ramai pelanggan. Jadi kalau berkayuh dengan geng ini, kena tunggu lama.
Pagi ini aku bercadang untuk membuat kayuhan jauh sedikit. Akan pergi ke Jeniang melalui Gurun. Bercadang untuk pulang melalui jalan Bukit Selambau - Kuala Ketil. Suka dan seronok dengan keadaan jalan yang berombak ombak sebaik melalui 'under-pass' lebuhraya. Kalau keadaan mengizinkan mungkin aku akan berkayuh ke Sik.
Sebaik sahaja melepasi lampu isyarat Taman Intan, aku perasan motorsikal dihadapan dipandu pelahan. Sedikit sebanyak mengganggu kayuhan. Dalam hati mula nak marah tetapi reda apabila melihat apek itu adalah seorang rakan kayuhan basikal aku juga. Namanya William, bukan orang putih tetapi orang Cina. Fasih berbahasa Melayu dan bolih mengeja sedikit jawi. Telah berusia lebih 60 tahun tetapi aktif dalam aktiviti berbasikal.
William ....
Dia baru keluar dari kedai membaiki 'air cond' kereta miliknya untuk ke bandar. Dia menegur bertanya kemana arah kayuhan dan seorang sahaja ke? Bila aku mengesahkan berseorangan dia menambah elok juga kerana tidak banyak masalah. Boleh pergi kemana yang mahu, berapa jauh dan berhenti bila bila. Sedikit sebanyak seperti yang aku ceritakan diatas.
Sangkakan tidak ada rider lain pada pagi Isnin. Sebaik memasuki persimpangan Modenas aku melayan kayuhan perlahan kerana pendakian landai yang agak jauh. Hendak hilangkan mencungap nafas. Tanpa disedari seorang rider berada dibelakang. Tidak perasan. Rupanya dia datang dari arah bertentangan iaitu dari arah Gurun. Dia juga seperti aku suka berkayuh sendirian. Mudah. Tiada kerenah seperti lambat sampai, ada yang tidak siap, hendak ketandas, hendak repair basikal atau tukar tayar dan berbagai lagi masalah.
Dia cuma membuat kayuhan pendek kerana kena kerja waktu petang. Dari Guar Cempedak dia ke Gurun sehingga Perwaja dan berpatah balik melalui Modenas. Gayanya seorang guru. Dari nama nama pengayuh basikal yang disebutkan, sudah lama juga berbasikal. 
Bila aku memberitahu route yang akan aku ikut dia menyatakan sesuatu yang aku setuju. Jalan Jeniang ke Bukit Selambau agak berbahaya kerana banyak lori besar melalui jalan tersebut. Jalan pula sempit dan mempunyai banyak selekoh. Berbanding dengan jalan Sungai Petani - Jeniang - Sik yang baru siap dibina mempunyai lorong motorsikal. Apabila kami berpecah, aku menukar fikiran untuk pulang melalui jalan sama.
Berehat agak lama di Pekan Jeniang kerana aku melihat lihat pasar minggu dibahagian belakang pekan. Tidak berapa besar dan orang pun masih belum ramai. Ketika berehat diluar kedai runcit dimana aku membeli minuman 100 plus, aku didatang seseorang yang sudah berusia nampak berminat dengan basikal aku. Dia berpakaian kemas dengan kemeja biru lengan panjang dan berkasut, walaupun pakaian sudah agak lusuh.
Dia menceritakan seorang rider berkayuh lebih 35 km/j kearah Gurun beberapa ketika dahulu. Mana dia tahu? Dia mengikuti rider tersebut dengan motorsikalnya dan kagum dengan tenaga dan kelajuan rider tersebut. Banyak juga dia bertanya kepada aku tentang basikal rb aku, berapa harga beli, berapa lalu, adakah berat atau ringan, spare-part mana nak beli. Letih ke kayuh jauh dan berbagai lagi.
Dia kemudian bersembang tentang keperluan menjaga otot otot kaki dan tangan sambil menyeluk poket kemejanya dan mengeluarkan satu kotak name card. Dia menyuruh aku mengambil sekeping kad. Bila aku  membaca kad tersebut terlihat dia seorang bomoh urut. Siap ada cawangan di Kuala Lumpur.
Dari masa itu dia mula bercerita tentang orang orang yang dipulihkan dengan urutan termasuk orang kenamaan. Macam pernah dengar sahaja cerita seperti ini. Bila aku tidak menunjukkan minat untuk dia mengambil satu bungkusan kecil dari poket kemeja sebelah kanan dan menunjukkan minyak gosok berwarna keputihan. Menurutnya minyak tersebut dibuat dari buaya. Mampu meningkatkan tenaga batin dengan mengurut 'anu' kita. Satu botol tidak lebih dari 15 cc dijual dengan harga RM20.00 sahaja. Dia mendapat bekalan 'buaya' dari Sungai Pial dekat Tanjung Dawai. Biar betul orang tua ni.
Aku tidak mahu lama mendengar celoteh tok bomoh ini dan meminta diri untuk meneruskan kayuhan. Aku beritahu masih jauh perjalanan untuk pulang ke Sungai Petani. Sebagai penyedap mulut dan budi bahasa, aku menyatakan akan menghubungi jika memerlukan perkhidmatannya. Bila difikirkan ramai orang sebegini yang boleh ditemui berlegar legar di tempat yang jadi tumpuan orang ramai seperti di pasar minggu atau pasar malam, tidak kira pekan kecil atau bandar. Terpulanglah kepada kita.
Agak kerap juga aku berhenti untuk minum kerana cuaca agak panas. Disimpang Kampung Bongkok, Gurun aku berhenti untuk minum segelas air tebu. Pelanggan pertama. Penjual air tebu baru saja siap memerah/memesen tebu. Sempat berbual untuk menghilangkan penat. Peniaga baru beberapa minggu memulakan perniagaan. Nampak lebih tua dari umurnya, agaknya serik bekerja sebagai penoreh getah sebelum  ini. Anak anak membelikan mesin tebu kerana kesihankan ayahnya. Oleh kerana baru berniaga disitu, jualan hanya setakat RM50.00 sehari.
Sebelum sampai kerumah kena semangkuk cendul mamak di bandar Sungai Petani.

Statistik
   Mula ............... 7.50 pagi
   Tamat ............. 12.30 tengahari
   Jarak .............. 90 km
   Cuaca ............. panas     
   Laluan ........... Sungai Petani - Bedong - Gurun - Jeniang
   Odometer 2012 : 00944

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan