Halaman

Jumaat, 3 Februari 2012

Kayuhan di Langkawi

Langkawi - April 2008
Aku teringat pada kayuhan di Pulau Langkawi pada April 2008. Ketika itu bersama empat orang yang lain datang kesini membawa basikal menaiki feri bertujuan untuk mengelilingi pulau Langkawi menaiki basikal. Kami membayar tambang tambahan sebanyak RM10.00 untuk setiap basikal.
Kini aku membawa keluarga ke Pulau Langkawi sempena cuti hujung minggu yang panjang. Ahad 05hb Feb adalah cuti am sempena sambutan Maulidul Rasul. Kami bertolak pada hari Jumaat untuk mengelakkan 'crowd' atau kesesakkan di jeti Kuala Perlis. Tentu ramai pengunjung dari negeri negeri yang mengambil cuti sempena Thaipusam akan bercuti panjang selama empat hari. Aku jangkakan semua harga di Langkawi akan meningkat sempena dengan cuti panjang.
Walaupun sampai di Jeti Kuala Perlis agak awal tetapi semua tiket feri habis dijual. Kami hanya dapat tiket untuk perjalanan tiga jam kemudian. Sementara menunggu waktu bertolak kami ke Kangar untuk makan tengah hari.
Malam pertama dipulau legenda ini, aku keluar untuk makan malam dengan isteri. Anak tinggal di apartment kerana tidak mahu ketinggalan menonton program TV kegemaran. Setelah makan kami pergi bersiar siar menaiki kereta yang di sewa dari Perdana Beach resort berhampiran Kuala Triang ke Pantai Kob. Sepanjang jalan kelihatan ramai cyclist mengayuh pada waktu malam. Disini timbul niat aku untuk membuat kayuhan mengelilingi pulau ini sekali lagi. Hasrat ini aku nyatakan kepada isteri dan besar kemungkinan aku akan datang pada pertengahan bulan Mei nanti diluar waktu puncak atau hujung minggu.
Pada pagi hari yang kedua aku bersiap untuk pergi berjogging di 'breakwater' yang terletak hanya beberapa meter dari apartment tempat aku menginap. Isteri aku sangat teruja dan seronok ikut serta berjogging.
Apabila kami sampai terdapat banyak motorsikal yang diletakkan di permulaan tembok penghadang ombak. Tiada sebarang kenderaan dibenarkan berada diatas tembok ini walaupun basikal. Dahulu aku pernah cuba membawa masuk basikal tetapi tidak dibenarkan oleh pengawal keselamatan.
Aku berselisih dengan beberapa orang dalam perjalanan pulang. Mereka datang awal pagi. Berjogging di sini sememang menyediakan scenario yang mengasyikkan dan udara pagi yang nyaman. Dapat merasakan berjogging ditengah laut dan daratan. Apabila sampai dipenghujung tembok, dapat menikmati pemandangan sekitar pulau dan pantai. Ketika itu matahari baru mencelah disebalik banjaran gunung pulau ini.
Terdapat beberapa bot nelayan sedang mencari rezeki di kawasan ini. Apa yang diperhatikan rezeki pagi ini amat berkurangan. Setelah menarik pukat yang dilabuhkan hanya beberapa ekor ikan yang berjaya dinaikkan.
Dipenghujung tembok penghadang ombak terdapat beberapa orang sedang memancing. Mereka datang kesini sejak jam 3.00 pagi. Melihat kedalam kantong, tidak banyak ikan yang dapat ditangkap. Cukup untuk makan. Kebanyakkan ikan yang ditangkap bersaiz kecil.
Pagi hari kedua sekali lagi aku dan isteri keluar berjogging setelah selesai mengerjakan solat subuh. Kali ini aku merancang untuk menyusuri Sungai Kuala Melaka. Ada laluan khas dibina dikedua dua belah sungai ini. Selain  dari laluan ditebing sungai ada juga laluan konkrit yang dibina dikawasan hutan bakau. 
Kami mengambil masa hampir dua jam mengikuti laluan yang disediakan. Disepanjang perjalanan kami melihat suasana kampung yang begitu shahdu, matahari memancarkan cahaya celah pokok kelapa. embun dirumput masih belum kering. Terdapat beberapa ekor kerbau sedang berkubang didalam sawah yang baru dituai. Banyak burung mengelilingi kerbau tersebut. Beberapa ekor lembu sedang meragut rumput berhampiran.
Ratusan burung bangau putih berkeliaran didalam bendang dan di tebing sungai mencari makanan. Riuh rendah bunyi burung tersebut disertai dengan pelbagai bunyi unggas dan haiwan dari hutan bakau. Sesekali nampak helang yang menjadi trademark pulau ini berlegar legar diudara. Susah untuk dapat suasana begini di tempat lain. 
Semasa memulakan perjalanan kami ditegur oleh seorang pak cik tua yang sedang duduk di pangkin diluar rumahnya. Dia mengajak aku singgah tetapi aku menolak kerana ingin berjogging, jika ada masa akan singgah semasa perjalanan balik nanti. Kami tidak berjumpa dengan orang lain disepanjang masa berjogging disini. Mungkin mereka datang pada masa lain, tetapi jika difikirkan hari ini Sabtu mesti ada sebab mengapa tiada pengujung lain disini. Adakah ianya terlalu jauh (lebih kurang 20 km dari pekan Kuah dan 8 km dari Pantai Cenang).
Pak cik tadi masih duduk ditempat sama semasa kami melalui jalan untuk pulang ke apartmen. Sekali lagi dia mengajak kami singgah dan kali ini aku terpaksa mengalah untuk tidak mengecewakan. Dia tinggal dirumah tersebut bersama isterinya dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan tetap. Dia memelihara itik dan memelihara ikan didalam tali air yang dikorek. Mengikutnya pendapatan dari jualan itik dan ikan cukup untuk menampung kos saraan hidup harian untuk mereka berdua. Dia tidak perlu membawa ikan dan itiknya untuk dijual kerana ada orang yang datang membelinya dirumah.
Dua orang anaknya tinggal tidak jauh dari rumahnya.
Dengan keadaan kehidupan mereka begitu, sempat mak cik menyediakan kopi 'O kaow' dan biskut kering untuk kami. Sambil berbual mak cik tersebut membuat kerja memproses rokok daun dari pucuk daun nipah. Aku belum pernah melihat secara dekat. Rupanya rumit juga tidak seperti yang aku sangkakan. Mengikut Pak cik Husin, permintaan rokok daun yang diusahakan mendapat sambutan sehingga tidak mencukupi permintaan. Hitung panjang jualan sehari ialah RM30.00. Diantara pelanggan tetap ialah pemandu teksi yang berulang alik dari hotel dan resort disini ke Pekan Kuah.
Aku rasa kagum dan terharu dengan kegigihan pasangan ini yang mengharungi sisa hidup, tinggal jauh dari kawasan kampung. Walaupun mendapat kemudahan asas seperti bekalan air bersih dan tenaga elektrik tetapi keadaan rumah yang diduduki sepatutnya mendapat bantuan dan pertolongan dari pihak pihak berwajib.
Oh... satu perkara lagi, rumah pasangan ini sering dikunjungi oleh pelancong pelancong asing yang menginap dihotel hotel mewah bersebelahan jalan. Pelancong asing ini ingin melihat proses penyediaan rokok daun. Ramai juga antara mereka yang belajar cara membalut dan menghisap rokok daun ini. Penghormatan yang diperolehi dari kunjungan tersebut mengubatkan rasa susah payah mengharungi kehidupan harian mereka. Tentunya gambar pasangan ini banyak berada didalam komputer dan alat storage gambar di serata dunia.
Jika aku datang kesini lagi pasti akan singgah menziarahi pasangan ini lagi, jika dipanjangkan usia dan diberika kesempatan.
    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan