Halaman

Sabtu, 18 Februari 2012

Penaga

Tiga hari tidak dapat melakukan kayuhan kerana ada beberapa komitmen yang perlu dilakukan. Walau begitu sempat aku meronda ronda dengan basikal pada sebelah petang disekitar bandar Sungai Petani pada hari Khamis sekadar untuk menghilangkan rasa senggal dan letih badan. Disamping itu aku juga ingin melihat aktiviti dan kesibukkan di bandar. Selalunya tidak berpeluang membuat aktiviti sedemikian kerana menjadi kebiasaan ke bandar menaiki kereta. Tidak disedari betapa banyak perkara yang kita tidak berpeluang melihat seara dekat.
Pagi Jumaat aku ke Kangar untuk mengambil barangan dirumah sewa anak sulung aku. Latihan amali di Hospital Tuanku Fauziah tamat hari ini. Dia akan bercuti sebelum memulakan housemnaship, dimana pun masih belum diketahui.
Walaupun sudah lama bersara, tetapi aku sering menantikan kedatangan hujung minggu terutama hari Sabtu. Masih terbawa bawa dan teringat tentang seronoknya hari tersebut. Hari yang mana aku boleh lepak dan berehat dirumah bersama anak anak kerana mereka cuti hujung minggu persekolahan dan sering keluar untuk sarapan pagi bersama.
Kini semenjak tidak bekerja empat tahun lalu, hari Sabtu dan Ahad adalah hari yang juga dinantikan dengan penuh semangat. Hari Sabtu biasanya ramai rakan rakan akan mengajak membuat kayuhan bersama, sering kayuhan yang memakan masa lama dan jarak yang agak jauh. Minggu lepas destinasi kayuhan adalah Sik melalui Jeniang dan pulang melalui Kuala Ketil. Minggu ini mereka akan ke Baling melalui Sik sejauh hampir 120 km. Betapa ingin aku menyertai kedua dua kayuhan tersebut, tetapi tidak upaya kerana komitmen. Jika setakat dua jam boleh juga tetapi kayuhan tersebut akan memakan masa tidak kurang dari lima jam.
Pekan Penaga agak sibuk pada waktu pagi dengan orang ramai pergi berbelanja dipasar untuk  makanan tengah hari. Terdapat pasar sehari kecil yang kebanyakkan menjual ikan dan hasil laut lain.
Dari jauh aku melihat banyak kenderaan diletakkan berhampiran dengan Sekolah Kebangsaan Penaga dan ramai orang berkumpul di bawah khemah yang dipasang di tempat letak kereta. Aku tertanya tanya apakah program yang sedang dijalankan. Teringin untuk aku masuk menjengok tetapi aku berhenti dipintu masuk. Aku bertanya kepada salah seorang lelaki yang sedang keluar dari tempat tersebut apa yang sedang berlaku. Secara ringkas dia menjawap "wang 500.00".
Sepatutnya aku mengagaknya. Orang ramai datang untuk mendapatkan wang BR1M sebanyak RM 500.00. Bantuan 'one off' ini adalah untuk keluaga yang berpendapatan dibawah RM3,000.00 sebulan. Hairan juga aku kerana ramai penerima yang datang menaiki kereta. Ia boleh dilihat dari jumlah kereta yang di parking  hinggakan penuh dikiri dan kanan jalan sejauh hampir 200 meter.
Aku juga menghantar borang tersebut dengan anggapan layak menerima bantuan tersebut dengan alasan aku tidak lagi bekerja dan tiada sebarang pendapatan bulanan. Semua anak anak masih belajar. Semasa menghantar borang tersebut aku ditanya bagaimana aku menyara hidup harian.
Aku memang tidak mengharapkan mendapat bantuan tersebut kerana sejak dua menjak ini membaca berbagai lapuran dan sungutan orang ramai yang gagal menerima. Tetapi dalam masa yang sama tidak pula mahu dianggap sombong dan angguh kerana tidak memohon. Kalau dapat 'Alhamdulillah' dan jika gagal tidak mengapa.
Sehingga hari ini aku masih belum mendapat jawapan samada layak atau tidak. Difahamkan setiap permohonan akan diberitahu secara bertulis samada layak atau tidak.
Selain dari menyemak dengan Jabatan Hasil, butiran peribadi lain juga disemak dengan JPJ untuk menentukan apakah jenis kenderaan yang digunakan dan berapakah bilangan kenderaan yang dipunyai. Akaun simpanan termasuk akuan saham amanah, tabung haji dan lain lain juga diperiksa.
Kenapa butiran tersebut tidak dijadikan syarat syarat yang perlu dinyatakan didalam borang BR1M. Pemohon yang mempunyai mempunyai kereta dan rumah melebihi harga tertentu atau yang mempunyai saham amanah melebihi nilai tertentu tidak layak memohon walaupun pendapatan bulanan kurang dari RM3,000.00.  Tidaklah pemohon perlu membuang masa dan mengharap.

Statistik
   Mula .............. 8.10 pagi
   Tamat ............. 10.20 pagi
   Jarak ............... 48 km 
   Cuaca ............. cerah
   Laluan ............ Kepala Batas - Penaga
   Odometer 2012 : 00812
     

Tiada ulasan:

Catat Ulasan