Halaman

Ahad, 25 Ogos 2013

Felda Teloi Timur

Teragak agak semasa hendak keluar berkayuh. Langit kelihatan masih gelap tetapi bukan disebabkan awan hujan tetapi macam kabus atau jerubu. Tidak kelihatan lansung langit dan matahari juga tidak kelihatan. Berbeza dengan cuaca kelmarin. Pada waktu aku keluar pada waktu yang hampir sama, bulan dan bintang masih kelihatan walau merah matahari sudah muncul disebelah timur.
Kedua perut pula meragam, bukan sakit perut tetapi memulas. Sudah pergi ke bilik kecil lepas solat tadi.... ini lain punya hal pulak ni.
Sah jerubu akibat pembakaran. Aku terpaksa menghidu bau asap sepanjang 1 jam kayuhan.
Kalau ikut dua hal ini, aku kansel saja rancangan kayuhan walaupun sudah siap berpakaian kayuhan. Aku kuatkan semangat dan harapkan cuaca akan bertukar menjadi elok lewat pagi nanti dan perut yang meragam akan baik apabila berkayuh. Kalau tidak aku akan berpatah balik sampai takat mana pun.
Aku ingin menunaikan niat untuk berkayuh ke 'Felda Teloi Timur' yang dibuat beberapa hari lepas. Risau sedikit tentang laluan dari Bandar Puteri ke persimpangan Sidam kerana projek pembesaran jalan. Tidaklah jauh hanya setakat 3 km sahaja. Minta janganlah banyak kenderaan melalui jalan tersebut pada hari Ahad ni. 
Tiada sebarang masalah kerana macam yang aku doakan tidak banyak kereta dan lori melalui tapak projek ini dan kalau ada pun kebanyakkan kenderaan agak berhemah kerana memotong pada jarak yang selesa dan selamat.



Ada beberapa pilihan laluan untuk sampai ke destinasi yang aku rancangan. Pertama melencongan kekiri tiga km sebelum pekan Kuala Ketil melalui jalan Bukit Segintah. Kawasan ladang kelapa sawit yang akan bertemu dengan jalan utama. Selalu mengikuti jalan ini. Kedua membelok ke kiri di persimpangan lampu isyarat jalan utama Kuala Ketil - Bukit Selambau. Aku memilih untuk mengikuti jalan ke Parit Panjang iaitu membelok ke kiri lebih kurang 1 km melepasi Pekan Kuala Ketil.
Seronok melalui jalan kampung ini. Redup dan damai. Dapat melihat aktiviti penduduk yang rumah berhampiran jalan. Cuma jalan raya tidak begitu elok dan terdapat tempat yang pecah agak teruk akibat laluan lori mengangkut pasir. Sempat juga menegur beberapa pak cik yang duduk bersembang di gerai tepi jalan. Mungkin jarang pengayuh basikal melalui jalan ini kerana mereka memandang dengan begitu 'kyusuk' sekali. Apa lagi yang aku kena buat melainkan memeberi salam dan mengangkat tangan.
Disebabkan pertama kali berkayuh disini aku tertanya tanya berapa jauhkah lagi simpang ke Bukit Selambau dan simpang ke Felda Teloi. Aku sudah berkayuh hampir 40 km dan masih belum sampai lagi. Ini sudah hampir menyamai jarak kayuhan ke Jeniang yang aku buat empat hari lepas. Aku berfikir kalau masih jauh mungkin aku akan berpatah balik apabila tiba dipersimpangan Teloi Timur sahaja. Datang lain kali untuk berkayuh di penempatan peneroka.
Lega bila berfikiran begitu aku melihat simpang ke felda hanya selepas melalui selekoh dihadapan. Aku meneruskan kayuhan memasuki kawasan felda. Pemandangan yang mengalu-alukan kedatangan aku ialah pokok getah yang ditumbangkan dengan jentolak. Kedengaran bunyi 'chain-saw' memotong pendek pokok getah yang akan dihantar ke kilang papan.


Terlalu banyak signboard mengucapkan 'selamat datang' sebaik memasuki kawasan Felda Teloi ini. Pada pendapat aku elok dijarakkan, mungkin akan nampak lebih kemas dan lapang. Aku hanya ingin melalui jalan utama sahaja kerana agak kesuntukkan masa. Rumah peneroka disini tidak banyak bezanya dengan rumah yang biasa aku pergi di Negeri Sembilan.


Nyata hasil titik peluh peneroka, perit dan susah semasa mula menjadi peneroka 30 tahun dahulu kini mereka menikmati hidup yang lebih selesa dan senang. Apa tidaknya, tiada lagi kelihatan rumah rumah yang tiada berbilik yang diduduki ketika mula sampai dahulu, semuanya digantikan dengan rumah yang jauh lebih besar dan selesa dengan segala kemudahan dan kelengkapan yang sama seperti dibandar. Semua rumah mempunyai kenderaan kereta dan motor. Basikal .... jangan harap, lansung tidak kelihatan sepanjang aku berkayuh di kawasan tersebut. Hanya kanak kanak mengayuh basikal dan mereka semua berada disekolah waktu ini. Orang dewasa tidak lagi menggunakan basikal. Dulu itulah kenderaan utama mereka.
Aku singgah di kawasan pasar. Terdapat orang ramai membeli belah walaupun tidak banyak gerai berniaga. Aku membeli sedikit makanan (tiga keping apom balik dengan harga RM1.00) kerana masih belum sarapan sejak dari rumah dan kemudian mencari tempat. Sebaik aku duduk dikerusi, beberapa orang yang duduk tidak berapa jauh mempelawa aku bersama mereka. Air kopi pun ada, kata mereka. Mau tidak mau aku bergerak ke meja mereka. Bukan gerai makanan atau kedai tetapi sebuah dewan kecil yang terdapat beberapa meja dan kerusi.
Menurut salah seorang dari mereka disinilah mereka berkumpul berehat jika tiada apa kerja. Mengingatkan aku orang tua yang duduk sambil berbual menghabiskan masa yang selalu dilihat dinegara barat. Jenuh juga aku menjawap bila kumpulan tersebut bertanya dari mana aku berkayuh, pernah ke dan selalukah kesini, apa kerja sebelum ini dan berbagai soalan lagi.
Rasa tidak mahu meninggalkan perbualan dengan kumpulan ini, tetapi kayuhan pulang masih jauh lagi. Seorang yang agak muda dan agak petah bercakap menjadi 'dalang' kumpulan, jurucakap dan memberikan penerangan panjang lebar tentang perkara yang dibincangkan. Gayanya macam generasi kedua peneroka. Semasa lebih kurang 20 minit bersama mereka, isu tentang mat rempit, pengangguran anak muda, dadah, kerajaan dan sedikit tentang mengapa kawasan ini hanya ditanam getah tidak kelapa sawit. Tidak tahu sejauh mana kebenaran, menurut jurucakap kumpulan, tanaman sawit di sini tidak sesuai kerana kurang taburan hujan berbanding dengan dibahagian selatan tanah air.
Terpaksa meminta diri untuk kayuhan pulang dan tanpa dipinta mereka mencadangkan aku melalui jalan Bukit Selambau kemudian ke Bukit Lembu dan Sungai Lalang. Jalan baru lepas diturap selepas rosak teruk tahun lalu oleh lori pasir. Terima kasih pak cik & encik peneroka yang sudi mempelawa aku berehat bersama mereka. Walau begitu singkat bersama terasa macam sudah biasa dan macam sudah kenal lama.


Keseronokkan kayuhan terganggu apabila hujan turun dengan lebatnya di jalan lencongan barat kira kira 3 km sebelum sampai ke rumah. terpaksa mencari tempat berteduh dan apabila hujan reda sedikit aku redah juga walaupun basah. 
Puas ...... tidak menyesal keluar berkayuh pagi ini walaupun basah kuyup kena hujan.

Statistik : 
    Mula ............... 8.00 pagi.
    Tamat ............  12.00 tengah hari
    Jarak ............... 82 km
    Cuaca .............. Redup / hujan
    Laluan ............. Kuala Ketil - Teloi Timur - Bukit Lembu/Sungai Lalang
   Odometer 2013 : 03194 

        

Tiada ulasan:

Catat Ulasan