Halaman

Rabu, 4 Ogos 2010

Dah Jatuh Ditimpa Tangga


Jangan ambil serius sangat dengan tajuk blog hari ini. Aku sedang bersiap untuk keluar rumah pada jam 09.00 pagi bila Juan menalifon aku, minta tolong aku datang ke Pekan Merbuk dengan kereta. Menurutnya kedua dua tayar roadbikenya bocor sedangkan dia hanya membawa satu spare. Satu satunya kedai basikal yang ada di Pekan Merbuk tiada tiub gantian untuk roadbikes. Terpaksalah basikal dibawa pulang ke Sungai Petani dengan kereta.
Membaiki tayar
Apalah malang kerana kedua dua tayar depan dan belakang bocor pada masa yang sama. Menurut Juan dia memeriksa rapi luar dan dalam kedua-dua tayar tetapi tiada kesan paku atau kawat terlekat. Mungkin kerana usia tayar yang telah lama. Kalau diambil kira tayar yang digunakan jenis berjenama dan berharga hampir RM100 setiap satu. Tayar roadbikes lebih cepat bocor atau rosak berbanding dengan tayar mountian bikes.
Pada bulan Julai yang baru empat hari berlalu, Juan mengalami kebocoran tayar roadbikes sebanyak tiga kali. Kayuhan dari Sungai Petani ke Baling pada hari Ahad 01 Ogos 2010 yang lalu, sebanyak lima kebocoran tayar roadbikes dialami oleh peserta yang hanya berjumlah seramai 8 orang.
Maksud aku dengan pepatah 'sudah jatuh ditimpa tangga' ialah, hari sebelum Juan gagal mendapatkan dan membeli tayar  roadbikes di Hat Yai, Thailand. Hari ini kedua dua tayar roadbikenya bocor. Sarung tangan yang di beli di Hat Yai, kedua dua belah kanan, macam mana nak guna. Terpaksa disimpan sehingga kami membuat kunjungan lain untuk menukarnya. Itu pun kalau kedai basikal tersebut mahu membuat pertukaran.
Kami berhenti minum pagi disebuah gerai di pinggir Pekan Merbuk. Ramai pelanggan di gerai menegur kami dengan rasa hairan. Selalunya kami singgah digerai tersebut semasa membuat kayuhan basikal tetapi hari ini kami datang menaiki kereta. Seorang pak cik tua datang duduk di meja kami dan bertanyakan umur Juan. Dengan selamba Juan menjawab yang dia abang, bermakna dia lebih tua dari pak cik itu.  Pak cik tersebut juga menaiki basikal tetapi tidaklah berkayuh untuk senaman, hanya setakat  guna sebagai pengangkutan dari rumah ke Pekan Merbuk dan untuk ke masjid setiap waktu. solat.  Itu amatlah memadai. Walaupun fizikalnya nampak tidak bertenaga tetapi dia sihat.  Sempat pula pak cik itu memberi nasihat kepada aku tentang kesihatan dan sedikit ceramah agama.Sesuatu tentang mandi tanpa pakaian walaupun didalam bilik air. Rupanya selama ini ramai orang yang memerhatikan kami tetapi tidak menegur atau menyapa.
Selepas sarapan aku menghantar Juan terus kerumahnya. Dia kata akan terus ke Pekan Lama Sungai Petani untuk menganti tayar basikal yang bocor.

Aku merasa hairan dengan Juan kerana dia masih bertenaga membuat kayuhan pagi ini. Kelmarin 03 Ogos kami menghabis lebih 16 jam perjalanan dan berada di Hat Yai, hari sebelumnya 02 Ogos kami membuat kayuhan hampir 80km ke Yan Kecil, 01 Ogos kayuhan 120 km Sungai Petani-Baling, 31 Julai kayuhan lencongan barat dan timur sejauh 32km. Dia masih mempunyai tenaga untuk kayuhan 30km pagi ini.
Sebagai kawan, aku risau dan takut dengan keaktifannya itu. Aku rasa dia terlampau memeras tenaga membuat kayuhan setiap hari. Takut sekiranya berlaku kejadian buruk atau kemalangan. Aku tidak pasti apa yang hendak dibuktikan, adakah dia merasakan dirinya hebat,  lebih kuat, lebih bertenaga dari orang lain. Sehebat mana, segagah mana dan selaju mana pun, pasti ada orang lain yang lebih hebat, lebih gagah dan lebih laju.
Bila aku menyatakan kerisauan tersebut kepada rakan yang lain, mereka bersetuju. Menurut pepatah orang cina, Juan 'bergigi besi'. Pada mulanya aku tidak faham apa maksudnya, tetapi kemudian aku sedar bahawa Juan seorang yang tidak mudah mengalah, tidak mahu mendengar pandangan orang dan tidak mahu orang lain melebihinya. Patutlah dia mempunyai empat biji basikal berbagai jenis dan kualiti. Setiap bulan dia membelanjakan ratusan ringgit untuk membeli alatganti basikal, menaiktaraf dan menukar bahagian yang masih elok. Bagaikan dia tahu bersaing dengan bayang bayang sendiri.
Dia mesti ingat bahawa pada usianya yang melebihi tiga suku abad, dia tidak perlu keterlaluan. Orang kata, badan manusia bukan mesin atau diperbuat dari besi. Bahagian organ dalaman sudah tidak secergas dulu. Kalau terlalu memaksa badan ia mungkin menadangkan lebih banyak keburukkan dan mudharat. Pada peringkat usia ini badan hanya memerlukan dan memadai melakukan aktiviti senaman yang sederhana. Badan perlukan masa rehat mencukupi untuk pergi lebih jauh atau hidup lebih lama.  Pada masa rehat tersebut, memadai dengan berbasikal keliling bandar atau pergi  berjumpa kawan menaiki basikal dengan jarak tidak melebihi 10 km sahaja.
Sekarang pun dia mengalami masalah penglihatan dan hanya boleh melihat jarak dekat. Sepatutnya dia menggunakan cermin mata tetapi enggan kerana hanya akan menyusahkan semasa membuat kayuhan. Dia juga tidak dapat mengimbangkan kayuhan dan sering keluar masuk dan tersasar dari laluan. Ini amat merbahaya kerana boleh mengakibatkan kemalangan.
Walau apa pun aku akan terus menasihatinya supaya mengambil mudah (take it easy), moga dia akan sedar perkara ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan