Halaman

Selasa, 3 Ogos 2010

Hat Yai


Maaf..... aku bukan berkayuh ke Hat Yai tetapi Juan, John dan aku menaiki keretapi Senandung Langkawi dari Sungai Petani.  Tujuan kami kesana kerana ingin membeli alatganti basikal terutama tayar roadbikes. Kami diberitahu alatganti disana lebih murah dan senang didapati.
Selepas ketinggalan tren kelmarin, perjalanan pagi ini bagai serba tidak kena. Aku bangun pada jam 4.30 pagi dan aku teringat bahawa aku bermimpi tentang sahabat aku Ramlan Majid yang meninggal dunia awal bulan yang lalu. Alfatihah. Bukan hendak memfitnah tetapi kerosakkan hati disebabkan terlalu banyak menghisap rokok menjadi punca. Aku mohon jauhkan dari perbuatan sedemikian dan mengharapkan aku terus dapat membuat aktiviti berbasikal agar sihat. Aku tidak dapat melelapkan mata dan terus bangun dan bersiap.
Juan datang menjemput aku dirumah pada jam 5.10 pagi, maknanya tidak sempat  sembayang subuh. Pada pertengahan jalan ke stesyen KTM Sungai Petani, Juan menerima panggilan telefon dari  isteri aku mengatakan passport aku tertinggal. Kami terpaksa berpatah balik. Nasib baik aku sengaja meninggalkan handphone dirumah dan isteri aku dapat mencari no telepon Juan.
Harga tiket kereta api pula sudah naik serentak dengan pertukaran jadual perjalanan, dari RM16.00 sekarang menjadi RM20.00. Agaknya kerana kenaikan harga disel pada bulan lepas.
Keretapi tiba dari Kuala Lumpur tepat pada masa iaitu masa baru 5.40 pagi dan bertolak satu minit kemudian juga tepat mengikut jadual.  Dipertengahan jalan, rasanya selepas Pekan Gua Cempedak, keretapi diberhentikan ditengah kawasan hutan. Beberapa orang polis beruniform dan preman menaiki gerabak, terus ke gerabak depan iaitu pada enjin locomotive. Semua orang tertanya tanya. Rasa ada seorang yang bertanya kepada pegawai KTM. Aku tidak pasti benar atau tidak tetapi ada kemalangan menglibatkan motorsikal. Itu sahaja berita yang dapat aku dengar. Tren bertolak 10 minit kemudian.
Tidak ramai penumpang naik semasa tren berhenti di stesyen Gurun, Alor Setar dan Arau. Pada mulanya kami keliru kerana ETD Hatyai (masa jangkatiba) yang tercetak pada tiket ialah 9.10 pagi dan tren sampai ke Stesyen Padang Besar 5 minit sebelum 09.00 pagi. Bila teliti waktu yang dicetak pada tiket ialah waktu Thailand yang lambat satu jam dari waktu Malaysia. Walau apa pun, tren hanya bergerak dari Stesyen Padang Besar pada jam 10.00 pagi waktu Malaysia kerana membolehkan penumpang ke pejabat imegresen Malaysia, kemudian imegresen dan kastam Thailand.
Penumpang yang memasuki Thailand menggunakan passport perlu mengisi borang atau kad entry. Manakala penumpang yang menggunakan 'border pass' tidak perlu mengisi apa-apa borang. Masa yang diambil untuk proses imigresen lebih singkat berbanding dengan menggunakan passport. Bezanya ialah tempoh dibenarkan berada di Thailand adalah satu bulan berbanding dengan dua hari menggunakan border pass.
Tren berhenti hampir satu jam. Gerabak dari Kuala Lumpur ditanggalkan, hanya dua koc penumpang sahaja meneruskan perjalanan ke Hatyai. Kali ini gerabak barang disambungkan dengan gerabak penumpang. Tren sampai ke destinasi hampir 1 jam perjalanan. Sepanjang perjalanan dari Padang Besar ke Hatyai aku berdiri di tepi pintu untuk melihat permandangan disepanjang laluan. Aku amat berbesar hati tinggal di negara kita kerana apa yang dilihat disepanjang jalan keretapi terutama rumah-rumah setinggan tidaklah sesuatu pandangan yang ingin dilihat, diingati dan suatu memori yang peerlu dibawa pulang.
Sebaik turun dari koc keretapi, kedua rakan aku  Juan dan John, mengalami sesuatu yang mengejutkan, tren berhenti di platform luar.  Penumpang turun diatas landasan dan melintasi lima landasan keretapi untuk sampai kepintu keluar stesyen. Beberapa pelancung barat kelihatan tertawa dengan keadaan sedemikian. Sebelum keluar aku memeriksa jadual perjalan balik pada papan notis. Tiada apa perubahan masa dan jadual perjalanan keretapi ke Padang Besar.
Kami menghabiskan lebih tiga jam mengunjungi beberapa kedai basikal, tetapi kecewa kerana tidak banyak atau tiada lansung kedai yang menjual barangan yang dihajatkan, terutama barangan untuk roadbike. Kebanyakkan kedai basikal menjual peralatan dan alatganti mountain bikes. Keadaan hampir sama seperti di Pekan Betong, Selatan Thailand yang bersempadan dengan Pengkalan Hulu, Perak. Untuk tidak mahu dikecewakan rakan aku membeli beberapa assessories basikal.

Kedai Basikal di Pekan Hat Yai

Kami ke stesyen keretapi Hatyai untuk pulang  ke Sungai Petani satu jam sebelum masa yang tercatat pada papan jadual perjalanan. Aku seperti biasa menjadi ketua dan bertanggung jawab membeli tiket untuk semua orang. Agak pelik kerana harga tiket  dari Hatyai ke Sungai Petani urang RM6.00 berbanding harga tiket yang dibeli di Sungai Petani ke Hatyai. Seperkara lagi yang memeranjatkan kami ialah masa berlepas ialah jam 4.00 petang (5.00 petang Malaysia) berbanding dengan jam 2.40 petang yang tercatat pada jadual. Mengikut penjual tiket ini adalah perubahan jadual baru. Di sini tiada 'discount' harga tiket untuk warga emas. Perubahan masa bermakna kami ada masa hampir 3 jam lagi sebelum tren bertolak.
Perubahan masa tiba dan berlepas tren dari Malaysia bermakna penumpang mempunyai masa hampir tujuh jam berbanding dengan hanya 4 jam sebelum ini. Ia menguntungkan pihak Thai kerana rakyat Malaysia mempunyai masa yang mencukupi untuk berbelanja, melakukan aktiviti bisnes dan lain lain dan sempat balik pada sebelah petang.
Kami keluar dari stesyen setelah membeli tiket mencari kedai makan untuk melepak menghabiskan masa. Aku kena 'sup perut dan nasi' walaupun baru 2 jam makan nasi beriani ayam. Rakan yang lain hanya melihat dan minum air sahaja. Kemudian kami bersiar di kedai dan supermarket berhampiran stesyen keretapi. Kami ingin bersiar keliling bandar menaiki tut tut tetapi harga yang diminta oleh pemandu 'tut-tut' terlalu mahal. Juan berkata jumlah yang diminta lebih dari setengah dari kos tiket balik ke Sungai Petani untuk kami bertiga.
Kami berkesempatan melawat tapak expo yang diadakan berhampiran stesyen Hat Yai  berhadapan dengan pasaraya Robinson. Apa yang menarik perhatian kami ialah terdapat kereta buatan Malaysia iaitu Proton Exora, Proton Savvy dan Proton Satria Neo yang dipamirkan dan dijual oleh agen proton disana. Harga yang dijual lebihkurang harga di negara kita juga. Tiada barangan lain yang dipamerkan dan dijual yang special untuk dibeli dan dibawa pulang. Lawaknya aku membeli dua biji senduk nasi yang dibuat dari kayu batang nyior dengan harga RM10.00. John kata ia lebih elok dari menggunakan senduk plastik.
Tren yang kami naiki sampai di Padang Besar pada jam 5.45 petang dan hanya bergerak keselatan pada jam 6.40 petang. Sempat makan lagi di kantin yang terletak diparas atas stesyen padang Besar.  John meradang kerana dia kena bayar lebih untuk sepinggan nasi yang dibeli.  Didalam keretapi dipenuhi oleh penumpang berbangsa Thai (Muslim) yang menuju kemerata tempat di Malayisa untuk mencari rezeki. Kebanyakkan mereka adalah pekerja restoren masakan makanan Thai yang amat disukai oleh masyarakat kita. Kami tiba di Sungai Petani pada jam 9.30 malam, setengah jam lewat dari jadual.
Kami  akan pergi ke Hatyai lagi selepas raya puasa tetapi kali ini menggunakan basikal  dan memulakan kayuhan dari Bukit Kayu Hitam.
Kenyataannya ialah indah khabar dari rupa. Lebih mudah mendapatkan alatganti dan peralatan basikal di negara kita berbanding dengan negara jiran. Harga disini mungkin agak mahal sedikit tetapi ia lebih senang untuk dicari. Aku rasa bilangan kedai basikal di Sungai Petani  lebih banyak dari kedai basikal di Hatyai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan