Halaman

Selasa, 29 November 2011

Kolam T8

Hanya ingin buat kayuhan pendek sahaja hari ini dan singgah menjengah member member. Walaupun bercadang untuk kayuhan jarak dekat tetapi akan membuat beberapa pendakian bukit untuk mengeluarkan peluh dan menegangkan otot otot kaki.
Tiada masalah pada pendakian pertama iaitu Bukit Taman Kempas setinggi hampir 100 meter dari paras laut (above sea level). Jalan pada peringkat kedua dari Taman Kempar Fasa III ke kawasan kolam pengimbang bekalan air, laluan kini dipenuhi dengan dahan pokok menyelubungi jalan. Tidak pasti tugas atau tanggungjawap siapa untuk menyelenggara kawasan ini dari semak samun, samada majlis perbandaran atau pemaju taman. Bukan apa takut ada anjing anjing liar berkeliaran dikawasan tersebut. 
Oleh kerana jalan ini jarang atau kurang digunakan oleh orang awam, ia menjadi kawasan buangan sampah bahan bahan binaan seperti batu bata, simen, konkrit, kayu dan paip yang dipecahkan dari rumah yang membuat pengubahsuaian atau tambahan. Terdapat juga sampah tidak boleh dikitar semula dari bengkel dan kilang kecil. Walaupun ada tempat pembuangan sampah yang disediakan oleh pihak kerajaan, tetapi kebanyakkan kontraktor membuang di tempat terpencil untuk mengurangkan kos pengangkutan.
Apa yang dikesalkan bahan yang dibuangkan mungkin berbahaya kepada alam sekitar dan lebih lebih lagi kepada orang awam terutama kanak yang mungkin datang bermain atau beriyadah disekitar kawasan tersebut. Sampah sarap dibuang tanpa memikirkan orang lain, ianya dibuang terlalu hampir dengan jalan dan banyak tempat dibuang diatas jalan. Ia menghalang jalan dan laluan. Pihak berekuasa terpaksa menggunakan jentolak untuk membersihkan longgokan samapah dan bahan buangan tersebut.
Ahh ... banyak air mengalir didalam longkang dari kolam pengimbang diatas bukit. Agaknya kolam telah penuh dan air melimpah keluar. Biasanya pada waktu ini pekerja loji yang membekalkan air ke kolam tersebut telah sampai untuk memantau keadaan dan mengambil langkah seperti mengurangkan bilangan pam air beroperasi supaya tiada pembaziran limpahan air keluar dari kolam.
Pendakian akhir dan yang paling mencabar. Disinilah peluh badan akan mencurah (bohong la) membasahi pakaian. Yang agak kurang selesa peluh dari atas kepala dan celah rambut yang turun melalui muka dan mata. Susah untuk mengelap peluh ketika berusaha keras untuk membuat pendakian.
Sampai diatas bukit, kelihatan beberapa orang pekerja sedang membuat penyelenggaan kawasan iaitu kontraktor mesin rumput di kolam tersebut. Aku kenal seorang dua dari mereka dan berkayuh kearah mereka. Mereka agak terkejut kerana tidak mengenali aku berpakaian sukan dengan helmet, mereka menyangkakan aku pengawal keselamatan yang menjaga kolam tersebut. Kerana tidak mahu mengganggu kerja, aku berbual sebentar sahaja dan turun semula dari atas bukit.
Aku membuat beberapa pendakian kecil di bukit tanah perkuburan orang cina (jerat cina). Kawasan bukit ini cerah dan tidak terdapat sebarang pokok besar. Pemandangan dari atas bukit amat cantik, kemana sahaja dihalakan nampak sceneri yang memukau. Patutlah orang Cina membuat kubur diatas bukit, agaknya roh orang mati menjadi tenang melihat persekitaran yang indah. Satu persoalan kenapa kita ada perasaan takut apabila berseorangan ditanah perkuburan orang Islam tetapi tiada terasa apa apa ketika berada di kawasan perkuburan orang Cina?
Selepas menjamu selera, menghilang haus dahaga dan lapar apabila turun dibawah, aku menuju ke Kampung Jawa ditepi Sungai Muda. Sekali lagi aku dihidangkan dengan pemandangan yang begitu mengasyikkan. Hamparan sawah padi dengan pokok pokok padi yang sedang subur menghijau, suasana kampung dan pemandangan dari tebing Sungai Muda.



Sempat singgah menjengok kawan kawan lama untuk bertanya khabar.

Statistik
   Mula ............... 8.00 pagi
   Tamat ............. 10.00 pagi
   Jarak ............... 31 km
   Cuaca .............. Redup
   Laluan ............ T8 Taman Semarak - Kampung Jawa - Pinang Tunggal
   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan