Halaman

Selasa, 15 November 2011

Kampung Sungkap Para ....

Pada beberapa kayuhan melalui route ini aku terfikir berhajat benar untuk memasuki simpang ke Kampung Sungkap Para. Aku sering tertanya tanya bagaimanakah keadaan dan suasana kampung tersebut, berapa banyak rumah dan apakah pekerjaan kampung. Adakah rumah rumah kampung tersebut setara dengan kampung yang ada disekitar Kuala Muda.
Kenapa aku begitu beriya iya ingin tahu adalah kerana kampung tersebut begitu jauh sekali dari perkampungan lain. Papan tanda Sekolah Kebangsaan Sungkap Para menunjukkan jarak dari simpang ialah 4 km. Adakah kampung tersebut mendapat kemudahan asas seperti bekalan air, bekalan elektrik dan telefon (internet)?
Aku beranikan hati memasuki jalan tar kecil melalui ladang kelapa sawit dan kemudian ladang getah. Wah ... jalan tersebut berbukit bukit seperti kebiasaan jalan didalam ladang ladang tetapi bukit tidak terlalu tinggi. Malah jalan tersebut sangat ideal untuk kayuhan basikal kerana menghilangkan kebosanan kayuhan. Tidak banyak kenderaan melalui jalan yang aku ikuti kecuali satu dua motorsikal anak anak remaja.
Aku menjadi perhatian oleh para pekerja dalam ladang tersebut. Penoreh getah berhenti sebentar dari menoreh dan memerhatikan aku berkayuh masuk ke kawasan mereka. Apa yang mereka fikirkan  agaknya. Yang lain mengangkat tangan. 
Setelah hampir 10 minit aku sampai ke kampung yang ingin aku lawati. Terkejut? Memang sebagaimana aku bayangkan. Tiga orang kanak kanak yang sedang bermain basikal menegur aku dengan budi bahasa yang boleh menghilangkan rasa letih badan. Mesra, hormat dan penuh keikhlasan. Aku bertanya apa yang ada dihadapan, mereka kata tiada jalan kena berpatah balik apabila sampai di kuil hindu dan sekolah rendah.
Kebanyakkan rumah adalah kepunyaan orang Melayu ... habih tu kuil hindu disebelah dewan UMNO dan sekolah rendah tu mai mana? Rasanya kuil tersebut dibina untuk pekerja pekerja ladang getah dan sawit yang kebanyakkan berbangsa India. Dimana masjid atau sekurang kurangnya surau untuk kampung tersebut. Mungkin disebelah dalam gamaknya.... jauh dari jalan utama!
Aku tidak turun dari basikal tetapi berlegar legar di kawasan kampung, melihat sekitar sekolah, rumah, padang permainan dan meninjau kalau ada gerai menjual makanan. Sekolah rendah hanya mempunyai enam bilik darjah.
Aku berpatah balik dan bersedia untuk membuat beberapa pendakian sebelum sampai ke jalan utama.
Kesimpulan aku memang seronok melalui jalan tersebut. Perasaan takut yang di alami pada permulaan kayuhan hilang perlahan lahan dan bertukar kepada perasaan seronok dan berpuas hati. tiada sebarang kekesalan. Pastinya aku akan datang semula untuk kayuhan jalan ini. Mungkin lain kali dengan member lain supaya dapat berkongsi track ini.
Aku pulang mengambil jalan ditengah ladang sawit kepunyaan Sime Darby dan terus ke Taman Kelisa Ria dan kemudian memintas ke Taman Ria. Jalan dikawasan ini telah banyak yang rosak dan perlukan senggaraan.

Statistik
   Mula ............. 7.45 pagi
   Tamat ........... 11.15 pagi
   Jarak ............. 64 km
   Cuaca ........... Redup
   Laluan .......... Sungai Lalang - Sungkap Para - Petani Para - Sungai Petani

Tiada ulasan:

Catat Ulasan