Halaman

Khamis, 24 November 2011

Menyorok di Guak Cempedak

Sedang syok menjamu selera di gerai ikan bakar yang terletak di jalan menghala ke Yan tidak jauh dari persimpangan jalan utama ke Alor Setar, aku mendengar perbualan pekerja gerai tersebut. Seorang dari mereka menyuruh rakannya untuk 'menyorok' sebelum pelanggan bertambah ramai. Waktu itu 10 minit sebelum jam 10.00 pagi dan aku telah berkayuh hampir dua jam dan meter pada basikal menunjukkan aku berada 45 km dari rumah.
Aku sampai di Yan 40 minit lalu tetapi masih terlalu awal untuk bersarapan. Masih banyak tenaga dan semangkuk oat yang menjadi menu tetap setiap pagi masih memenuhi perut. Aku teruskan kayuhan dan memang berniat untuk menggantikan tenaga di Pekan Guar. Aku melihat gerai gerai di Pekan Yan yang sering aku langgani dari atas basikal dan kelihatan ramai pelanggan sedang menikmati makanan.
Di Pekan Yan Kecil, kedai kedai baru dibuka untuk memulakan perniagaan. Kedai basikal berhampiran persimpangan Sungai Limau telah dibuka tetapi tauke kedai tidak kelihatan, mungkin sedang menikmati sarapan kerana masih belum ada pelanggan. Gudang basikal Sin Boon Seng di Teroi nampaknya agak sibuk kerana baru memulakan pernigaan untuk hari ini. Dibahagian luar kedai kedai basikal kini banyak mempamirkan basikal 'fixie' yang berwarna warni kerana menjadi trend dan kegemaran anak anak remaja.
Aku memberhentikan basikal untuk mengambil gambar Gunung Jerai dari belah utara, tetapi tidak berjaya memasukkan keseluruhan gambar gunung kedalam screen. Kamera kompak Lumix / Panasonic yang aku gunakan mempunyai  28 mm 'wide angle' masih tidak memadai, mungkin aku kena berada di lokasi 5 atau 8 km di belakang berhampiran Pekan Sungai Limau untuk mengambil gambar yang dihajatkan.
Apabila sampai di Pekan Guar Cempedak aku hairan kenapa tidak ada pasar minggu hari ini. Pasar minggu di pekan ini memang agak besar dan dikunjungi ramai orang dan menjadikan jalan sesak. Rupanya tersilap hari, aku ingatkan hari ini Rabu, hari pasar minggu diadakan. Terlewat satu hari. Jika ada pasar minggu, ingin juga aku membeli kueh muih yang banyak dijual untuk sarapan pagi.
Jadi aku singgah disalah sebuah gerai Majlis Bandaran Guar untuk merehatkan badan selepas dua jam
berkayuh dan 'menyorok'. Sejak aku berhenti kerja jarang sekali aku mendengar perkataan tersebut. Menyorok, kalau tidak silap aku hanya di gunakan disebelah utara (tidak tahu samada orang Melayu Pulau Pinng juga menggunakannya) bermaksud makan dan minum pagi. Ia masih digunakan secara meluas di kampung kampung dan ditempat dimana pastinya orang yang berbual sememangnya orang orang Kedah. Maklumlah di pekan pekan kini banyak terdapat orang orang dari lain negeri berkerja dan bermastautin."Dah menyorok ke atau menyorok apa pagi ni?"
Semasa kayuhan balik melalui jalan persektuuan Alor Setar Sungai Petani, aku mendapat ilham untuk mengumpulkan semua data data kayuhan disepanjang tahun ini dan mencatatkan kedalam blog ini. Data termasuk kekerapan kayuhan, jarak, masa yang diambil, destinasi dan rekod seperti jarak paling jauh, laluan paling mencabar dari segi kesusahan, laluan paling kerap, laluan yang paling disukai dan lain lain. Diharapkan aku akan dapat menyiapkan dan memasuk kedalam blog sebaik sahaja tahun baru bermula.
Berhampiran kaki Gunung Jerai aku sempat pekena nira nipah di gerai tepi jalan. Disini hampir kesemua gerai yang didirikan menjual nira nipah. Kata orang nira nipah ini boleh menyejukkan badan. Nira yang paling enak (best) disebelah utara adalah dari Daerah Yan. Nira yang aku beli adalah stok semalam kerana ia disimpan didalam bekas ice dan keseluruhan telah beku. Stok yang fresh atau stok baru hari ini masih belum sampai. Kerana ingin sangat hendakkan minum nira, beli juga lah. Satu bungkus 1/2 liter berharga RM2.00.
Dahulu aku takut takut juga untuk minum nira nipah ini. Rasanya terlalu manis dan semestinya kandungan gula tinggi. Takut pula kena kencing manis.  Tetapi ramai orang mengatakan gula dalam nira adalah gula semula jadi tidak sama seperti kandungan gula putih yang dibeli dipasaran. Ada yang menyatakan ia tidak menyebabkan kencing manis. Rasanya perlu buat penyelidikan lanjut
Sebaik melalui Pekan Sungai Lalang aku ternampak khemah khemah yang telah kosong kerana kedatangan TPM pagi tadi. Pilihan raya sudah hampir agaknya. Patutlah sebentar tadi banyak kelihatan kereta peronda polis di kedua dua hala jalan. Siren kereta polis kedengaran tidak henti henti.
Masih ada ruang untuk pekena semangkuk cendol di bandar Sungai Petani menghilangkan dahaga belum selamat sampai ke rumah. Cendol ini paling sedap di Sungai Petani.

Statistik
  Mula ................. 7.55 pagi
  Tamat ............... 12. 15 tengah hari
  Jarak ................ 79.5 km
  Cuaca ............... panas
  Laluan .............. Semeling - Merbuk - Yan - Guar Cempedak - Gurun - Sg Petani.
    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan