Halaman

Khamis, 14 November 2013

Lahar Minyak

Rancangan untuk membuat seberapa banyak 'kayuhan petang' tidak kesampaian berikutan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu. Kini waktu hujan seakan akan berpindah turun pada sebelah petang setelah beberapa minggu turun pada sebelah pagi. Semuanya ketentuan Ilahi dan kita terpaksa akur, tidak berdaya berbuat apa apa. 
Hanya dapat dua kali membuat kayuhan petang dan hari ini terpaksa menilai kembali rancangan yang telah dibuat. Kayuhan pagi seperti dulu dulu. Keluar awal sedikit dari biasa dan menuju ke Kota Kuala Muda melalui Batu Lintang dan Tikam Batu. Apabila menyeberangi Sungai Muda aku tidak mengikuti laluan biasa ke Bumbung Lima melalui Pematang Permaisuri tetapi berkayuh terus ke arah Penanga dan membelok ke kiri melalui Lahar Minyak untuk ke Bumbung Lima dan kembali ke Sungai Petani.
Jarak kayuhan hari ini sekitar 50km dengan tempoh lebih sedikit dari 2 jam tetapi terasa agak jauh dan lama. Jika dibandingkan dengan jarak kayuhan di lencongan Timur pergi balik yang selalu aku buat, tidak banyak bezanya tetapi laluan tersebut terasa dekat dan cepat. Mungkin ini ada kaitan dengan keadaan biasa dan jarang ditempuh.
Walaupun hari ini hari bekerja berselisih dengan dua rider yang berkayuh dari Kota Kuala Muda atau mungkin dari Pantai Merdeka dan dua rider dari arah Kepala Batas menuju ke Kota Kuala Muda. Dua rider pertama mengangkat tangan kepada aku dan aku kepada mereka tetapi dua rider terkemudian tidak memberikan sebarang response.
Oh ... kelmarin dalam berita disiarkan upucara pengenalan logo baru Le Tour de Langkawi 2014. Nampak kemas. Aku seronok bila melihat laluan dan tarikh perlumbaan akan diadakan. Stage 2 yang akan diadakan pada 28 Februari 2014 akan bermula di Sungai Petani dan tamat di Taiping, Perak.
Tidak akan melepaskan peluang untuk menyaksikan permulaan perlumbaan tersebut. Bukan senang hendak menyaksikan. Tahun lalu LTdL tidak lalu di Sungai Petani.


Statistik : 
    Mula ............... 7.55 pagi
    Tamat ............  10.05 pagi
    Jarak ............... 50 km
    Cuaca .............. Panas
    Laluan ............. Batu Lintang - Tikam Batu - Lahar Minyak
   Odometer 2013 : 04513
       

Tiada ulasan:

Catat Ulasan