Halaman

Rabu, 29 September 2010

Seberang Perai Utara

.
Dua tiga pagi yang lalu aku beriya iya untuk membuat kayuhan, tetapi sebaik sahaja aku memandang kelangit untuk melihat cuaca hati aku berbelah bahagi dan terpaksa membatalkan hasrat untuk kayuhan. Seminggu dua kebelakang ini, boleh dikatakan hujan turun setiap hari. Hujan lebat akan turun sebelah petang. Sering hujan diikuti dengan angin kencang. Dua hari lepas kawasan kampung Bukit Kecil, Batu Lintang, Simpor dilanda angin kencang dan merosakkan beberapa buah rumah penduduk. Dikawasan lain juga turut  termasuk kawasan Pendang mengalamai keadaan yang sama.
Aku benar benar memerlukan kayuhan hari ini kerana sudah empat hari tidak melakukan eksersais (betul ke ejaan Melayu untuk exercise ini), badan pun mulai  rasa lemah dan selera makin makin elok.   Walaupun hari ini langit dipenuhi awan-awan hitam, aku kuatkan semangat untuk meneruskan kayuhan walaupun aku was was hujan akan turun. Mengikut firasat aku hujan akan turun pada sebelah petang nanti, sebagaimana yang berlaku beberapa hari kebelakangan ini.
Kelmarin aku ke pekan untuk menyelesaikan bil bil rumah aku. Beberapa orang kenalan yang aku temui melahirkan rasa terkejut kerana aku menaiki basikal ke pekan. Saolah oleh pekan jauh sangat. Sebenarnya sekarang ini tidak ramai orang yang ke pekan menaiki basikal melainkan dengan menaiki kereta. Masalah yang sering dihadapi ialah kesesakkan jalan dan kesukaran mendapatkan tempat parking kereta. Dengan basikal, terbukti segala urusan dapat diselesaikan dengan lebih pantas. Oh berpeluh badan dan basahlah baju, tetapi ianya perkara kecil berbanding dengan kemudahan yang diperolehi.
Bandar Sungai Petani seperti lain pekan, sekarang bukan seperti tiga empat tahun yang lalu. Dimana sahaja terdapat peningkatan kenderaan memasuki pekan dan ini menyebabkan tempat letak kereta menjadi rebutan, terutama dimana terdapat bank-bank utama. Oh aku tidak berminat menggunakan istilah 'parkir' menggantikan tempat letak kereta kerana istilah tersebut digunakan di Indonesia yang juga dicedok dari bahasa lain. Kalau nasib tidak menyebelahi kita, akan mendapat surat saman jika meletakkan kenderaan tidak mengikut tempat yang disediakan. Polis traffik dan pegawai MPSPK sentiasa mengawasi keadaan dan tidak teragak mengeluarkan saman.
Aku tahu aku sedang memasuki Seberang Perai Utara, Pulau Pinang bila aku terdengar deruman jet  diatas kepala aku. Jet jet tersebut sedang menjalani latihan rutin harian dari RMAF Butterworth. Tidak pasti pula samada jet tersebut kepunyaan Tentera Udara Diraja Malaysia TUDM atau kepunyaan RAAF, Royal Australian Air Force. Aku tidak dapat melihat dengan jelas kerana ianya terlalu pantas dan agak tinggi. Pengkalan TUDM Butterworth juga sedang mengalami permodenan dan agak berbeza ketiak aku sering singgah pada awal tahun 1980'an. Tahun lepas kuarters kediaman pegawai yang dibina lebih 50 tahun lalu dan terletak ditepi laut dirobohkan untuk memberi laluan bangunan baru. Banyak bangunan didalam pengkalan juga dirobohkan dan diganti.
Aku membelok kekanan kearah laut, bukan untuk ke pantai Robina tetapi untuk ke perkampungan nelayan. Tidak banyak aktiviti di pengkalan/jeti kampung nelayan kerana air pagi ini surut. Pasar tempat menjual ikan ditebing sungai pun tidak beroperasi kerana tiada ikan dinaikkan. Aku menikmati pemandangan disepanjang kampung Padang Benggali sambil menuju ke pekan Penaga melalaui jalan P215.  Jalan tersebut membawa aku Kuala Berah (?), dan ke Pekan Penaga.
Pekan Penaga adalah pekan kecil yang menempat tidak lebih dari 20 unit kedai. Tidak banyak kedai yang menjual barangan yang elok atau mahal kerana kedai kedai baru yang banyak terdapat di Air  Tawar, Bagan Ajam dan Butterworth. Tidak ramai pelanggan di Pasar basah Penaga. Semasa melalui  pekan Penaga kedengaran ceramah agama dari Masjid Penaga. Ceramah tersebut yang diadakan disebelah pagi adalah ceramah khusus untuk Jemaah Haji yang akan menunaikan ibadah haji tidak lama lagi.
Satu perkara yang aku kesal ialah apabila melalui kawasan belakang Sekolah Menengah Penaga, aku melihat seorang pelajar memanjat tembok pagar yang agak tinggi (2 meter lebih) untuk keluar.  Masa baru jam 0.930 pagi. Mungkin disebelah dalam ramai lagi rakan rakan yang menunggu giliran untuk memanjat keluar. Dua tiga orang awam juga memerhatikan gelagat pelajar tersebut tanpa dapat membuat apa-apa. Pelajar tersebut langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi, malu atau takut kepada orang awam yang memerhatikan gelagat beliau bahkan memberikan isyarat kepada rakan rakan lain. Tidak jauh dari situ, dua orang pelajar yang beruniform sedang berlalu sambil menunggang motorsikal.
Aku berhenti untuk mengisi perut disebuah gerai dipersimpangan jalan Kuala Muda dan Pematang Bendahari. Disebelah sini, harga makanan lebih mahal dari Sungai Petani. Mungkin juga harga baru makanan yang banyak dinaikkan selepas Hari Raya Puasa. Di Pematang Bendahari aku melihat air Sungai Muda agak tinggi dan deras di kawasan Jambatan Seberang Perai Utara/Kota Kuala Muda. Beberapa halaman rumah di tebing sungai sudah dipenuhi air dan ada juga rumah sudah dimasukki air. Kelihatan penghuni rumah bersedia untuk menyelamatkan barangan. Projek tebatan banjir sedang berjalan dan apabila siap aku pasti rumah disini akan terselamat dari banjir.
Aku sampai ke Tikam Batu dan berhenti untuk menghilangkan dahaga dan kemudian terus pulang kerumah.

Statistik
  Mula .................. 7.45 pagi
  Tamat ................. 11.45 pagi
   Jarak .................. 64 km
  Cuaca ................. cerah, tidak panas
   Route ................ Tkam batu - Air Tawar - Penaga - Pematang Bendahari - Tikam Batu

.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan