Halaman

Sabtu, 6 Julai 2013

Batu Lintang

Lagi kayuhan petang.
Sebelah pagi tadi cuaca tidaklah panas dan amat sesuai untuk aktiviti kayuhan. Malangnya tidak dapat membuat kayuhan kerana aku menganjurkan aktiviti untuk KRT Taman Intan. Setiap tahun KRT Taman Intan akan menganjurkan program pemeriksaan kesihatan percuma kepada penduduk taman. Program ini dianjurkan bersama dengan Klinik Kesihatan Bakar Arang, Taman Intan.
Walaupun klinik terletak tidak jauh dari taman Intan, tetapi ramai penduduk yang tidak kesana untuk mendapatkan pemeriksaan. Berbagai alasan yang diberikan termasuk masa menunggu yang terlalu lama. Lebih selesa dan seronok membuat pemeriksaan bersama kenalan dan rakan. Oleh kerana itu penduduk lebih selesa melakukan pemeriksaan asas di program program yang dianjurkan seperti ini.
Agak sukar juga untuk menggalakkan orang ramai membuat pemeriksaan kesihatan walaupun secara percuma. Ramai yang takut .... takut tahu mereka mengidap penyakit. Dengan peruntukkan yang diberikan oleh kerajaan, KRT membuat program seperti ini dengan menyediakan makanan minuman, hadiah atau cenderahati serta cabutan bertuah. Boleh tahan juga kehadiran.
Beberapa perkidmatan pemeriksaan disediakan oleh pihak klinik termasuk ujian RBS (random blood sugar), tekanan darah, BMI (body mass index). Untuk kaum wanita ujian 'pap smear' turut disediakan. Sukar untuk mendapat bilangan wanita yang sudah berumah tangga untuk melakukan ujian pap smear.
Seorang doktor turut hadir untuk memberi khidmat nasihat kepada orang ramai berkaitan keputusan pemeriksaan kesihatan yang dilakukan. Doktor turut memberikan ceramah pendek berkenaan penjagaan kesihatan.
Walau agak letih dengan program yang diadakan pada sebelah pagi, aku bertekad untuk membuat kayuhan pada sebelah petang. Dapat berehat secukupnya selepas makan tengah hari. Keputusan ujian kesihatan pagi tadi tidaklah berapa baik tetapi jika diambil kira umur, status kesihatan aku berada pada tahap kurang sedikti dari normal. Ini membuat aku lebih bertekad untuk melakukan aktiviti senaman lebih kerap.
Cuaca masih mendong, mungkin akibat kesan  saki baki jerubu yang melanda beberapa minggu lalu. Harap tidak menjejaskan kesihatan. Tiada amaran atau bacaan IPU dalam akhbar atau media semasa. Kira OK lah tu......

Statistik : 
    Mula ............... 5.45 petang
    Tamat ............  6.55 petang
    Jarak ............... 27 km
    Cuaca .............. Redup
    Laluan ............. Batu Lintang - Tikam Batu
   Odometer 2013 : 02768 

        

Tiada ulasan:

Catat Ulasan