Halaman

Jumaat, 5 Julai 2013

Kayuh dengan 'Ee' Kuey Teow

Cuaca petang ini tidak panas. Redup tetapi tidak nampak akan hujan. Sesuai untuk kayuhan kerana sudah hampir satu minggu tidak keluar berkayuh. Cuaca tidak menentu sejak seminggu lalu. Kata Pak Teh Ishak semasa aku berbual dengannya di tapak pembakaran lemang di Taman Rhu, cuaca sekarang tidak lagi mengikut musim. Dia berkata begitu apabila aku komen musim hujan datang awal pada tahun ini.
Memang sejak dua minggu lalu hujan turun agak kerap dan lebat beserta dengan tiupan angin. Hingga banyak tempat mengalami kerosakkan rumah dan harta benda oleh tiupan angin kencang. Ramai mengatakan hujan turun akibat sembahyang hajat yang dilakukan apabila jerubu melanda negara serta beberapa negara jiran pada pertengahan bulan Jun lalu.
Aku tidak mahu melepaskan peluang untuk berkayuh. Sejak kebelakangan ini memang jarang keluar berkayuh pada sebelah petang. Ah ... keluar dengan rb sahaja. Pada bulan Ramadhan yang tidak sampai satu minggu lagi aku bercadang untuk meleraikan roadbike untuk mengecat semula. Gunakan kesempatan selama satu bulan puasa untuk membuat senggaraan keatas basikal. Itupun kalau mendapat kelapangan dan kesempatan.
Kenapa aku katakan kalau mendapat kelapangan dan kesempatan. Selalunya kerja yang akan dilakukan sendiri secara D-I-Y memakan masa yang lama berbanding dengan kalau kita hantar ke bengkel. Kerja yang kita lakukan sendiri banyak gangguan dan sering tergendala, tidak dapat dilakukan berteruskan sehingga selesai.
Sebaik keluar rumah dan baru menyesuaikan badan dan otot otot untuk kayuhan, aku terkejut kecil apabila ditegur oleh seseorang dari belakang. Bila menoleh aku melihat seorang yang aku kenal berkayuh disebelah. Ee (nama pendek orang Kedah untuk ..... ) tinggal di kampung tidak jauh dari Taman Intan, berniaga Kuey Teow kerang di tepi bangunan berhampiran persimpangan memasuki Taman Intan. Dia berniaga pada sebelah petang hingga tengah malam.
Aku mengenalinya kerana kerapa berkunjung ke gerai dia berniaga. Pada mula tidak tahu pula dia juga melakukan aktiviti berkayuh. Bila mula kenal, aku sering melihat dia berkayuh berhampiran dengan taman dimana aku tinggal. Disamping itu dia juga meminati motorsikal lama. Setakat yang aku tahu, pernah melihat motorsikal Honda 50 cc lama dan Vespa kepunyaanya. Dia sering berkonvoi dengan kumpulan peminat motorsikal antik. Beberapa bulan lalu dia berkonvoi dengan Vespa ke Ipoh Perak.
Kami berkayuh mengikuti jalan lencongan barat hingga ke Tol Sungai Petani Utara dan berpatah balik. Jarak lebih sedikit 20 kilometer dan memakan masa satu jam. Lama sedikit dari biasa kerana kami berbual semasa kayuhan. Satu perbuatan yang agak berbahaya kerana kayuhan bersaingan dengan keadaan kenderaan yang agak 'heavy' dan laju pada sebelah petang. Satu satu topik yang kami sembangkan ialah tentang Ibrahim yang dimasukkan ke hospital semasa kayuhan ke Hatyaai pada 29 Jun lalu.
Rasa puas dan seronok kayuhan petang ini. Tambahan pula ada berkayuh dengan rakan.


Statistik : 
    Mula ............... 6.05 petang
    Tamat ............  7.00 petang
    Jarak ............... 22 km
    Cuaca .............. Redup
    Laluan ............. Batu Lintang - Tikam Batu
   Odometer 2013 : 02741 

        

Tiada ulasan:

Catat Ulasan