Halaman

Sabtu, 1 Mei 2010

Stage 5 Jelajah Malaysia 2010


Rutin hari Sabtu terpaksa dibatalkan kerana aku ingin menyaksikan kayuh mula stage 5 Jelajah Malaysia 2010 dari Sungai Petani ke Kuala Perlis dengan jarak kayuhan 195km. Stage 5 ini adalah stage akhir jelajah ini dan pelumba akan bermalam di Langkawi untuk upucara penutup  esok 02hb May 2010. Rutin biasa adalah kayuhan ke Gunung Jerai dan akan ditunda pada keesokkan hari.
Perkara yang pertama aku perasan ialah kesemua jam pada Menara Jam di hadapan Dataran Zero Sungai Petani ini menunjukkan waktu yang betul. Hah.... baru kelmarin aku menulis dalam blog aku supaya pihak berwajib membuat kerja baikpulih dan senggaraan pada jam jam tersebut memandangkan tempat ini dikunjungi oleh orang ramai  dari dalam dan luar negara. Syabas diucapkan kepada pihak yang bertanggung jawap. Bukanlah kerana aku tulis dalam blog kelmarin dan hari ini terus diambil tindakan, tetapi aku rasa kebanyakan orang ramai yang hadir termasuk pegawai berkuasa sedar tentang kerosakkan jam tersebut.
Kedua dua hala jalan ini bersih dari sampah sarap dan satu pemandangan yang melegakan, tetapi jalan dibahagian dalam ditepi kedai terdapat banyak sampah bertaburan. Walaupun pelumba dan orang ramai tidak melalui jalan ini, tetapi sebaiknya pegawai pihak berkuasa tempatan membuat rondaan dan mengarahkan supaya kawasan tersebut dibersihkan sebelum acara dimulakan. Aku sempat memberikan komen tentang perkara tersebut kepada seorang pegawai majlis tempatan yang sememangnya segak berpakaian uniform, jawapan yang diberikan amatlah mengecewakan. Dia berkata sampah tersebut adalah disebabkan acara hari sebelumnya. Apa lagi yang hendak dikatakan.
Satu lagi yang aku hendak syorkan atau cadangkan ialah supaya pihak majlis tempatan menimbangkan untuk menyediakan tempat 'convenient' kata orang barat iaitu tandas kata kita. Ini memandangkan tempat yang penting seperti Dataran Zero ini bakal menyaksikan banyak upcara akan diadakan di masa hadapan. Bayangkan kalau orang ramai, tetamu dan pelancong hendak atau terpaksa menggunakan tandas, dimana hendak pergi. Oh.. mungkin di KFC seberang jalan atau di komplek Plaza Sungai Petani. Kalau sudah begitu, bubuhlah beberapa papan tanda menunjukkan arah.
Sekali lagi aku sanjung pihak yang menganjurkan beberapa aktiviti untuk orang ramai sementara menunggu perlumbaan dimulakan. Antara acara yang diadakan termasuk ;
1.     Peraduan melukis untuk kanak kanak Tadika dari taman taman di Sungai Petani.
2.     Pertunjukkan Wu Shu - seni bela diri kaum cina
3.     Pertunjukkan Tea Kwan Do
4.     Persembahan Pancaragam (brass band) dari Sekolah Menengah Che Tom, Bakar Arang.
Aku rasa acara akan bermula bila aku melihat tidak kurang dari 50 biji motor polis berkuasa besar memasuki jalan di hadapan dataran.  Dengan penuh disiplin mereka meletakkan motorsikal masing masing secara tersusun rapi. Mereka ini bertanggungjawap mengawal dan mengendalikan kenderaan dan lalu lintas disepanjang jalan yang akan diikuti oleh pelumba. Mereka  membuat pembarisan, mendengar taklimat dari ketua mereka, menyanyikan lagu negaraku, menyanyikan lagu polis, membuat senaman dan membaca doa selamat sebelum memulakan tugas. Ini adalah satu amalan yang baik dan semestinya diteruskan. Agaknya agensi agensi yang lain juga mengamalkan perkara yang sama.
Kereta kereta pasukan yang mengambil bahagian, reporter, marshall, pegawai pegawai, pendaftar mulai sampai dan terus menjalankan tugas masing masing tanpa perlu arahan dan pengawasan. Aku fikir kerana telah membuat kerja sedemikian banyak atau acap kali, semuanya tahu apa yang perlu dilakukan. Kelihatan pelumba mulai sampai dari hotel penginapan dan mendaftar. Pendaftaran adalah penting, markah akan ditolak sekiranya pelumba gagal atau lewat mendaftarkan diri.
Aku mendapat tahu semua yang terlibat dalam perlumbaan ini tinggal di Hotel SP Inn, Hotel Sri Malaysia dan Hotel D'Vista.
Berbagai ragam pelumba diperhatikan sebelum perlumbaan bermula. Ada yang membuat urutan betis dan peha, memeriksa basikal, bersembang, makan dan pelbagai perkara lagi. Pelumba dilepaskan tepat jam 10.00 pagi oleh EXCO Pelancongan Negeri Kedah. Hanya 81 orang pelumba mengambil bahagian. Dalam masa kurang dari lima minit semuanya selesai. Seterusnya anggota yang bertanggungjawap mengemaskan khemah, pentas, meja, peralatan audio dan lain lain dan membawa terus ke Kuala Perlis untuk upucara penamat stage 5 ini.



Esok pelumba akan berkayuh sejauh 80km di Langkawi iaitu kayuhan 'kriterium' sebagai acara penutup Jelajah Malaysia 2010 ini. Keputusan kayuhan  kriterium tidak diambil kira perlumbaan Jelajah Malaysia ini.
Dua hari aku melapangkan masa untuk melihat acara perlumbahaan jelajah Malaysia ini dan merasa amat berpuas hati. Sekurang kurangnya  aku dapat melihat dengan dekat bagaimana acara ini dijalankan. Kalau dimasa akan datang Sungai Petani tidak lagi dijadikan venue, sekurang kurangnya aku telah mengalaminya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan