Halaman

Sabtu, 8 Mei 2010

Solo ke Kuala Ketil

Tayar dan Brake baru

Hati aku berbelah bagi untuk kayuhan pagi ini. Samada untuk ke Kuala Ketil atau ke Alor Setar. Kalau ke Kuala Ketil, samada aku akan membelok ke Merbau Pulas atau terus menuju ke Baling. Walau apa pun yang penting aku buat keputusan untuk ke Kuala Ketil. Sebarang keputusan akan dibuat apabila sampai ke tempat tersebut. Seperti biasa aku buat kayuhan solo walau pun pada awalnya aku ingin mengajak beberapa rakan lain.
Satu sebab lagi aku memilih jalan Kuala Ketil yang beralun dengan bukit bukit kecil adalah kerana aku baru menukar kedua dua tayar basikal petang semalam. Puas juga aku mencari tayar yang sesuai tetapi kebanyakkan kedai di Butterworth, Bukit Mertajam dan Sungai Petani tiada stok. Aku menggantikan tayar 1.25 x 26 lama dengan Maxis Detonator buatan Taiwan yang diperolehi melalui kawan. Itu pun kena buat pesanan (order) dan mengambil masa hampir satu minggu.
Aku juga menukar brake shoe V-brake jenis SARS kerana yang lama telah haus akibat kayuhan ke Gunung Jerai setiap dua minggu. Kerja penukaran tayar dan brake aku lakukan sendiri. Dapat juga  mencari sedikit pengalaman dan pengetahuan. Aku mengambil masa hampir satu jam. Yang agak susah ialah melaraskan kedudukan brake.
Dari rumah aku memasuki jalan Lencongan Barat dan kemudian memasuki jalan Lencongan Timur ke persimpangan jalan Kuala Ketil. Semasa pendakian over-pass Lebuhraya Plus aku ditegur oleh seorang  yang menggunakan basikal mountain biasa. Maksud aku basikalnya tidak mempunyai 'suspension fork', apakah lagi menggunakan air suspension fork atau 'disc brake' atau 'crank Diore' atau tayar 'maxxis' atau meter 'cateye'. Brand basikalnya aku tak perasan tetapi jelas brand  tersebut tidak tersenarai dalam list basikal samaada di majalah mahupun internet. Pakaian .. huh.. seluar pendek biasa dengan T-shirt mono-color  yang tidak menawarkan iklan percuma kepada mana mana syarikat, kasut trek biasa je tanpa sarung tangan. Elok juga dia memakai helmet. Tetapi dia mampu menyaingi kelajuan basikal aku.  Apabila dia bertanya aku hendak kayuh kemana, dia agak terkejut apabila aku mengatakan ke Kuala Ketil.  Mungkin dia tidak pernah berkayuh sejauh itu dan dia seperti biasa hanya membuat kayuhan di Lencongan Timur sahaja. Tidak melebihi 15 km.
Aku mengajak dia bersama ke Kuala Ketil tetapi dia menolak. Kami berpisah apabila kami tiba dipersimpangan jalan Kuala Ketil. Seolah olah dia mahu memastikan aku betul betul akan ke Kuala Ketil seperti mana aku memberitahunya tadi. Aku rasa dia susah nak percaya cakap aku, mungkin sebab aku jauh lebih tua dari dia.
Tiada apa peristiwa atau kejadian yang hendak dicatatkan semasa perjalanan. Cuma tidak ramai yang membuat kayuhan pagi ini. Aku berselisih dengan dua orang cyclist, seorang sebelum sampai di Pekan Kuala Ketil dan seorang lagi ketika mendaki bukit di Kam Seng Plantation, Batu 7. Walaupun  sudah banyak kali membuat kayuhan melalui jalan ini, aku masih menghadapi kesukaran apabila mendaki bukit yang paling tinggi di laluan ini. Kelajuan aku menurun katahap 6km/j dan terpaksa menggunakan gear rendah.
Sehingga ini aku telah berkayuh hampir dua jam dan berhenti untuk berihat dan minum di gerai simpang Peranginan Lata Bukit Hijau. Seperti hampir semua gerai yang  pernah aku singgah semasa berkayuh, tuan punya gerai amat menyenangi kehadiran pengayuh basikal seperti aku. Mereka memberikan layanan mesra dan sopan. Makanan dan minuman pada harga yang amat berpatutan. Jenis makanan hampir sama dimerata tempat iaitu roti canai, nasi lemak dan kueh mueh yang manis. Agaknya ini disebabkan makanan tersebut mendapat permintaan tinggi dari masyarakat kita. Sudah tiba masanya kita yang giat membuat exercise menilai semula jenis makanan yang diambil setiap hari supaya badan lebih sihat. Kita perlu tahu apakah jenis makanan yang sesuai, berapakah nilai kalori dan kandungan terperinci terkandung pada makanan tersebut.
Bagi diri aku, sarapan pagi setiap hari adalah semangkuk 'quaker oat' dan secawan nescafe. Aku berusaha untuk mengurangkan kekerapan aku minum nescafe atau teh susu dan  berusaha mengurangkan susu dan gula dalam minuman tersebut. Kini aku kerap minum teh O kosong iaitu tanpa gula dan banyakkan minum air suam. Aku juga kurang mengambil daging atau ayam dan lebih banyak makan ikan dan sayur. Kebelakangan ini aku jarang sekalai makan diluar samada untuk makan tengah hari atau makan malam. Setiap kali musim cuti sekolah aku menjadi risau dan susah hati dengan bilangan jemputan masjlis kenduri kahwin dimana menu utama adalah daging. Kadangkala aku terpaksa menghampakan hajat tuanpunya kenduri dengan tidak menghadiri jemputan. Tetapi sedaya upaya aku akan hantar sumbangan melalui orang lain sebagai penghargaan, sedekah, restu dan ingatan menjemput aku.
Sambil minum dan berehat aku membuat post mortem, kajian dan analisa tentang tayar yang aku pasang kelmarin. Walaupun tayar tersebut lebih berkualiti, mempunyai hentakan yang lembut, licin, lancar, lebih ringan dan harganya lebih mahal, tidak banyak perbezaan dari segi kelajuan kayuhan. Ini membuktikan tanggapan aku selama ini, bukan harga barangan yang menjadi faktor utama tetapi stamina,  tenaga dan latihan seseorang yang menentukan tahap kepantasan dan kelajuan kayuhan. Walau bagitu aku amat berpuas hati dan akan terus menggunakan tayar jenis itu pada basikal yang satu lagi dan dimasa hadapan. Aku mula memikir untuk membeli dua set lagi dalam masa terdekat dijadikan sebagai stok atas alasan sukar untuk mendapatkannya.....!
Aku mengikuti Jalan-raya Timur Barat menghala ke Kulim. Jalan ini memendekkan perjalanan dari Pulau Pinang ke Kota Baru dengan siapnya laluan dari Kupang ke Grik empat tahun lalu. Jalan ini mempunyai bahu jalan yang agak luas dan aku rasa selamat walaupun kenderaan agak banyak dan laju. Rezab jalan yang agak luas dikedua hala dan kemungkinan salah pandang atau salah rancang oleh pihak kontraktor, pihak JKR atau Majlis Daerah menjadikan jalan ini agak panas. Sepatutnya pokok ditanam disepanjang bahu atau rezab jalan untuk memberikan pelindungan kepada pengguna. Atau masih dalam perancangan. Jika dikira tempuh jalan ini dibuka, pokok yang ditanam telah besar.


Papan tanda arah banyak dipasang disepanjang jalan ini terutama pada persimpangan. Papan tanda tersebut  besar, jelas dan boleh dilihat dari jauh. Penggunaan kod warna yang seragam memudahkan pemandu. Hijau untuk lebuhraya dan biru untuk jalan persekutuan dan negeri. Tidak mungkin seseorang yang belum pernah melalui jalan ini akan menghadapi masalah atau tersesat.
Rumah Menangkap Ikan
Semasa merintasi Sungai Karangan aku terpandang satu bangunan ditengah sungai. Ia mengingatkan aku pada struktur serupa yang banyak terdapat di Sungai Muar Negeri Sembilan. Ia  mempunyai satu pondok kecil di atas dan ada empangan di dalam sungai. Ia digunakan sebagai satu kaedah menangkap ikan di sungai. Jaring yang diikat pada buluh akan diturunkan dari pondok. Muka jaring tersebut menghadap kehilir sungai dan ekor jaring dihulu sungai. Ikan yang mudik akan terperangkap pada jaring. Jaring dinaikan setiap dua atau tiga jam. Selalunya kaedah menangkap ikan ini dilakukan pada waku malam. Nelayan tidak perlu risau akan keselamatan mereka kerana pondok terletak ditedngah sungai. selalunya dua atau lebih nelayan akan tinggal dipondok sehingga hari siang. Pondok juga disediakan tempat memasak untuk membancuh air atau menyediakan makanan yang mudah.
Aku membelok untuk ke Sungai Petani di persimpangan kilang kereta Inokom dan membelok ke Sidam Kiri di Ladang Victoria. Aku benar benar kepanasan, peluh keluar begitu banyak dan aku mesti pastikan aku tidak mengalami 'dehydration'. Aku tidak sabar untuk sampai kerumah. Dari sini ada lagi 20km sebelum sampai. Mungkin aku terpaksa berhenti lebih kerap dan pasti minum air secukupnya.
Aku meneruskan kayuhan menghala ke Pantai Perai dan Pinang Tunggal dari mengikuti ke jalan Kuala Ketil. Jarak dalam pengiraan aku adalah lebih kurang sama. Dengan melalui Pinang Tunggal aku boleh singgah di kedai basikal kawan di Taman Seraya, Pinang Tunggal.


Statistik :
Mula : .................. 7.30 pagi
Tamat : ................ 1.30 tengah hari
Jarak : .................. 96 km
Cuaca : ................ sangat panas
Route : ................ Sg Petani - Kuala Ketil - Tawar - Jalanraya Timur Barat - Sidam Kiri - Pinang Tunggal

.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan