Halaman

Ahad, 15 Julai 2012

Apa nak jadi pun kayuh gak

Kalau ikut catatan blog ini, sudah 10 hari tidak melakukan kayuhan. Bukan tidak mahu tetapi bannyak sangat urusan dan program yang hendak dibuat sebelum tiba bulan Ramadhan tahun  ini. Walaupun ada hari hari yang agak lapang untuk membuat kayuhan tetapi cuaca pula tidak mengizinkan. Musim hujan dan keadaan jerubu terutama pada sebelah pagi menghalang aku dari membuat kayuhan.
Bila aku mulakan kayuhan pagi ini cuaca kelihatan redup dan berkemungkinan hujan akan turun. Tetapi aku nekad untuk meneruskan kayuhan. Sudah terasa amat lama tidak melakukan aktiviti berbasikal ini. 
Tahu .... otot badan memerlukan masa untuk menyesuaikan, jadi aku kayuhan pagi hanya lebih kepada pemanas badan dan melonggarkan sendi. Tidak berhajat untuk pergi jauh tetapi mencari jalan berbukit untuk menguatkan semula otot kaki. 
Bukanlah selama 10 hari tidak berkayuh bermakna tidak lansung memegang basikal. Kerap kali juga aku membuat kayuhan pendek ke kedai untuk membeli barangan runcit atau pekan untuk membuat urusan pembayaran bil, urusan bank dan sebagainya. Kayuhan tersebut hanya sekadar pelepas rasa bersalah. Jarak kurang dari 10 kilometer pergi balik. Kayuhan tersebut lebih menyenangkan kerana memikirkan kesesakan dan kesukaran parking jika membawa kereta. Jadi aku tidak mengira itu aktiviti kayuhan dan tidak mencatatkan kedalam blog.
Bukit pertama agak rendah dan pendek iaitu dibelakang UiTM Merbok. Tiada masalah kerana ianya tidak tinggi. Kemudian kayuhan ke taman rekreasi Tupah sejauh 4 km dari jalan utama hingga penghujung jalan. Pendakian yang agak sukar sebelum akhir jalan. Sebaik memasuki jalan tersebut kelihatan dua cyclist turun. Jauh dihadapan aku melihat kelibat dua orang cyclist. Hairan bagaimana kekuatan bertambah ketika itu kerana aku bertekad untuk mengejar dan memotong mereka. Aku sangat yakin dapat melakukan kerana dari gaya kayuhan mereka aku dapat mengagak kebolehan mereka.
Sampai di akhir jalan kelihatan beberapa cyclist sedang berehat dan bersembang. Seperti biasa aku tidak berhenti rehat tetapi membuat satu pusingan dikawasan lapang tempat letak kereta untuk menghilangkan penat dan memenangkan penafasan. Terus turun dan berselisih semula dengan dua cyclist masih bertungkus lumus untuk menghabiskan pendakian.
Misi seterusnya adalah pendakian ke muzium arkealogi Merbok. Pendek tetapi agak mencabar. Kelajuan ketika mendaki sekitar 7 atau 8 km/j. Tidak mahu atau tidak perlu memaksa diri untuk sampai cepat. Aku mengambil masa sendiri untuk sampai. Melihat dua cyclist yang aku nampak ketika memasuki taman rekreasi Tupah sebentar tadi. Mereka sedang berehat menghilangkan penat. Sayang sekali mereka berdua kelihatan sedang menghisap rokok.
Masih awal dan tiada pengunjung muzium. Hanya beberapa orang pekerja sedang membersihkan kawasan. Air yang mengalir di batu hampar agak banyak dari biasa kerana musim hujan. Aku tertarik dengan notis atau memo yang digantung di pintu masuk utama. Agaknya baru dipasang kerana sebelum ini tidak kelihatan. Aku berhenti untuk membaca. Arahan dan syarat biasa seperti menjaga kebersihan, risiko, etika pakaian, kenderaan yang tidak dibenarkan masuk, masa buka dan tutup dan lain lain.
Terus turun. Perut masih agak penuh dan tidak berhenti di gerai kesukaan untuk sarapan. Semasa melalui dihadapan gerai aku menoleh kearah gerai. Ramai juga pelanggan. Dalam hati berkata mungkin pembuat roti canai tertanya mengapa aku tidak singgah.
Sebentar tadi aku kata masih kenyang untuk singgah sarapan pagi tetapi lebih kurang 1 kilometer kemudian aku tidak dapat menahan diri untuk singgah di sebuah gerai dipersimpangan Pengkalan Bujang. Takkan tiba tiba perut menjadi lapar. Ah.... aku teringat dua minggu lalu aku singgah disini semasa kayuhan pulang. Gerai ini ada 'penarik', mungkin anak gadis tuan punya atau pekerja. Cara layanan dan senyuman membuat segala penat dan letih hilang sebelum menjamah makanan.
Satu lagi kelebihan gerai ini ialah lebih banyak pilihan termasuk 'pulut dengan nyiok atau ikan tamban', mee kining, pelbagai kuih muih, nasi lemak selain dari roti canai.
Hujung minggu ini, kita akan memulakan puasa bulan Ramadhan. Harap dapat membuat satu atau dua kali kayuhan sebelum menggantung basikal untuk satu bulan.

..... SELAMAT MENJALAN IBADAH PUASA .....

Statistik :
   Mula ............... 7.50 pagi
   Tamat ............. 10.30 pagi.
   Jarak ............... 49 km
   Cuaca .............. panas
   Laluan ............ Tupah - Muzium Arkeologi
   Odometer 2012 : 02879

Tiada ulasan:

Catat Ulasan