Halaman

Rabu, 4 Julai 2012

Sangkakan panas hingga ke petang ....

Rasa letih kayuhan bersama konvoi remaja dari KRT Bakar Kapur pada 29 dan 30 Jun 2012 telah hilang. Badan mulai terasa kurang bermaya dan aku tahu telah berehat agak lama dan hari ini kena membuat kayuhan bagi mengembalikan kesihatan badan.
Bukanlah kerana letih sangat tetapi pada hari Ahad, ada mesyuarat penel penasihat disebelah petang. Mesyuarat untuk membincangkan persediaan hari panel dan pelancaran kelab diabetes peringkat Daerah Kuala Muda. 
Hari Isnin pula aku ke Baling bersama beberapa orang ahli PPK untuk membuat lawatan sambil belajar ke sebuah ladang di Kampung Binjal. Seorang ahli PPK berminat untuk menanam labu. Ladang yang dilawati kepunyaan EN Wahab Ahmad. Beliau adalah salah seorang peladang yang berjaya di kawasan ini dan telah banyak kali menerima anugerah cemerlang. Produk utama adalah tembikai yang mula diusahakan lebih 10 tahun lalu dan kini menanam pisang dan labu sebagai tambahan.
Semasa kami asyik berbual di ruang beranda, tidak perasan sudah tengah hari dan time makan. Kami dijemput isteri en Wahab masuk untuk makan tengah hari. Inilah budaya dan keistimewaan orang kampung, walau suami telah menjadi peladang yang berjaya dan hidup agak senang, tidak lupa akan budi bahasa serta adat menyambut dan melayan tetamu. Tidak perlu bertanya atau diberitahu kepada tetamu, tanpa disuruh atau diarah oleh suami, menyediakan makanan.
Wah berselera sungguh ... memang sudah lama tidak merasakan masakan kampung dengan lauk pauk 'asli' disertakan dengan ulam ulaman yang tidak pernah aku jumpa sebelum ini. Yang menjadikan ulam ulam terasa enak adalah gandingan dengan sambal pencecah. Gulai ikan kaloi yang ditangkap didalam paya ditebing sungai di masak lemak cili padi dan udang goreng. Tidak perasan dan tidak malu aku menambah satu pinggan lagi nasi.
Masa kami balik En. Wahab membekalkan beberapa biji labu dari ladangnya. Kami memberikan buah yang elok dan besar kepada rakan yang berhajat untuk menanam labu, supaya dia boleh mengambil biji labu untuk dijadikan benih.
Buah labu yang aku bawa pulang aku serahkan kepada isteri. Selesai aku berehat isteri aku menghidangkan pengat atau serawa labu. Emmm... enak dan lembut isinya.
Sudah lama tidak tidak ditimpa hujan semasa membuat kayuhan. Aku terpaksa mencari tempat berteduh untuk mengelakkan basah kuyup ditimpa hujan. Aku memendekkan kayuhan apabila melihat langit menjadi begitu gelap dan hitam dan laluan awal tadi sudah mengalami hujan. Berhenti disebuah gerai dan sempat untuk sarapan menunggu hujan reda.

Statistik :
   Mula .............. 8.00 pagi
   Tamat ............. 9.30 pagi.
   Jarak ............... 33 km
   Cuaca ............. panas / hujan
   Laluan ............ Lencongan Barat - Lencongan Timur
   Odometer 2012 : 02830

Tiada ulasan:

Catat Ulasan