Halaman

Selasa, 18 September 2012

Roti canai bom

Roti canai bom Pinang Tunggal ... kena dua keping
Rancangan awal untuk berkayuh ke Kuala Ketil. Cuaca agak bagiuh .... tetapi mengubah fikiran untuk ke selatan ke Kepala Batas dan kemudian pulang melalui Pinang Tunggal. Aku teringat janji kepada diri sendiri beberapa hari lepas apabila melihat jambatan lintasan kereta api Pinang Tunggal sudah mula digunakan. Aku ingin berkayuh keatas jambatan tersebut. Nampak dari jauh agak tinggi, rasanya mencunggap juga untuk sampai keatas.
Kenderaan di jalan menuju Tikam Batu sudah agak berkurangan kerana waktu bekerja sudah bermula. Selamat sedikit rasanya. Walau ada laluan motorsikal yang boleh di ikut, tetapi sering ada kereta yang menggunakan laluan tersebut untuk memotong kenderaan yang mengikut kelajuan yang ditetapkan. Bila ini berlaku aku akan menyumpah didalam hati bila kenderaan yang melakukan kesalahan tersebut terlalu hampir dengan basikal aku. Ada doakan agar ada polis dihadapan dan menyaman kenderaan tersebut atau tayar kereta tersebut pancit terkena paku.
Melalui pekan Kepala Batas dan terus ke Bertam. Singgah di pusat bandar Bertam yang masih tidak ramai orang, Kemudian terus ke Pinang Tunggal melalui Bertam Perdana dan Paya Keladi. Membuat pendakian jambatan lintasan kereta api dan terus ke gerai kegemaran di sebelah sini.
Aku selalu datang ke kedai ini sekurang kurangnya dua kali sebulan. Selalunya dengan bekas rakan tempat kerja. Kalau untuk datang seorang diri agak jauh, lebih kurang 14 km dari rumah. Tidak berbaloi. Jarang aku singgah jika berbasikal. Aku mula datang kesini ketika masih bekerja. Dari tempat kerja hanya 2 km sahaja.
Apa yang seronoknya ialah sebaik sampai aku akan terus mencari meja kosong dan terus duduk. Sebentar kemudian sampai minuman dan makanan tanpa perlu membuat pesanan. Tuan kedai tahu apa minuman kesukaan dan yang akan aku pesan. Pernah beberapa kali aku menukar minuman tetapi kali berikutnya apabila aku datang dia akan ingat apa yang aku pesan kali terakhir. Menakjubkan. Dia ingat minuman kebanyakkan pelanggan.
Roti canai bom? Tidak banyak restoren atau gerai roti canai yang menjual roti ini di Sungai Petani, yang mana ada tidak dapat menandingi yang dijual disini, mengikut selera aku. Pada sesiapa yang jarang atau belum pernah makan roti canai bom ini, aku akan cuba menerangkan serba sedikit. Tiada bezanya dengan roti canai biasa, cuma ia kecil lebih kurang 100 mm diameter dan agak tebal. Itu sebabnya ia mengambil masa untuk dimasak.
Bezanya hanya pada bentuk. Tidak seperti roti canai biasa yang leper atau empat segi, roti bom bulat. Setelah adunan ditebar, ia dilipat memanjang seperti tali atau hose getah dan kemudian dibentuk lilitan. Goreng seperti biasa. Roti ini tidak boleh dibuat roti telur, roti sadin atauroti pisang.
Aku pulang melalui jalan keretapi lama yang melintasi Sungai Muda. Rasanya jalan ini akan ditutup lebih kurang satu tahun lagi apabila laluan berkembar siap. Aku mengabadikan dengan mengambil beberapa keping gambar.

Statistik :
Mula ............... 07.50pagi
Tamat ............. 10.40 pagi
Jarak ............... 49 km
Cuaca .............. Jerubu
Laluan ............. Kepala Batas - Bertam - Pinang Tunggal
Odometer 2012 : 03377


Tiada ulasan:

Catat Ulasan