Halaman

Isnin, 26 April 2010

Kayuhan ke Titi Hayun, Yan


Kayuhan pagi ini lebih kepada kayuhan paksaan. Kenapa. Selalunya aku membuat kayuhan serius samaada pada pagi Sabtu atau Ahad, hari lain aku membuat kayuhan dibawah jarak 20km sekitar bandar Sungai Petani sahaja. Pada hari Sabtu 24hb April aku tidak dapat kayuhan kerana aku ke pameran TLDM yang diadakan di Pekan Lumut sempena dengan Hari TLDM yang jatuh pada 27hb April setiap tahun. Manakala hari berikutnya pula aku ada hal yang perlu dibereskan. Tujuan aku ke Lumut adalah untuk melihat dan memperbaharui ingatan kepada perkhidmatan yang aku sertai 30 tahun yang lalu.
Semasa melalui jalan dari Changkat Jering ke Lumut melalui Bukit Gantang, Trong, Pantai Remis dan Segari, aku membayangkan alangkah seronoknya jika aku dapat membuat kayuhan basikal. Jarak antara Changkat Jering ke Lumut lebih kurang 80km adalah ideal untuk kayuhan satu hari. Bermalam di pekan peranginan Lumut sebelum berpatah balik. Jalan yang dilalui kini telah dinaiktaraf dan selesa. Ada laluan sebelah tepi untuk motorsikal dan basikal. Tidak berapa panas kerana terdapat banyak pokok dikiri dan kanan jalan. Tidak banyak berbukit dan jika ada tidaklah berapa tinggi. 
Disepanjang jalan banyak pemandangan menarik yang boleh dinikmati termasuk bentuk rumah perak yang agak unik. Banyak rumah moden didirikan menandakan ekonomi penduduk kini telah meningkat. Banyak kedai didirikan dan taman perumahan baru telah dan sedang dibina. Aktiviti pertanian termasuk ternakair banyak dilihat disepanjang jalan. Paling ketara pelabuhan Lumut agak sibuk dengan aktiviti termasuk dockyard yang membina dan membaiki kapal dagang.
Pekan Lumut mengalami transformasi yang mengkagumkan. Terdapat gerai dan kedai yang dibina berasaskan pelancongan dibina. Bila menyusuri kedai dan gerai ayng terdapat di Pekan Lumut terasa seperti berada di suatu tempat pelancangan yang mempunyai kelainan dibandingkan dengan lain lain tempat di negara kita. Pekan dijaga dengan bersih dan kemas, gerai tepi jalan tidak dibenarkan, kebanyakkan kedai diberi wajah baru dan terdapat semua jenis barangan yang diperlukan oleh pelancong.
Jeti ke Pangkor lebih besar dari dahulu dan ini menyenangkan pergerakkan pelancong yang hendak ke Pangkor dan yang balik. Tempat tempahan tiket tidak lagi tersorok. Tempat dijaga oleh pekerja supaya pelancong tidak tersesat. Pada hujung minggu feri lebih kerap dari biasa. Yang tidak seronoknya ialah tambang feri sekarang ialah RM10.00 untuk dewasa sehala berbanding dengan RM4.00 empat tahun yang lalu. Sempat juga aku bertanyakan samada basikal dibenarkan dibawa dengan feri ke Pulau Pangkor. Aku berhajat juga untuk membuat kayuhan di Pulau Pangkor. Keadaan pulau yang berbukit dan tempat peranginan yang menarik sudah tentu akan memberi satu pengalaman kayuhan basikal yang tidak mudah dilupakan.
Lumut Water Front adalah tempat santai bagi pengunjung. Terdapat laluan sepanjang melebihi 3km sepanjang pantai. Terdapat banyak tempat berehat dan taman permainan untuk kanak kanak. Laluan dan tempat berihat dilindungi oleh pokok rhu yang rendang menahan dari panas terik matahari. Banyak hotel dibina disepanjang pantai tersebut. Oh ya... Pekan Lumut juga kini mempunyai sekurang kurangnya dua hotel mnewah bertaraf lima bintang. Mungkin ianya untuk businessman yang berurusan dengan Markas TLDM dan Pelabuhan Lumut.
Apabila selesai melihat pameran TLDM di Pekan Lumut, aku bercadang mencari seorang rakan lama yang sebaya dengan aku. Dia juga satu kampung dengan aku dan kami berada di dalam satu darjah selama enam tahun. Dia bersara dari TLDM sejak 13 tahun dan kini menetap di Manjung kerana membeli rumah di sana. Aku tiada alamat rumahnya, hanya berpandukan arahan yang diberikan oleh seorang rakan lain. Taman yang pertama aku masuki selepas Pekan Lumut dan bertanya kepada orang yang pertama aku jumpa menemukan aku kepada kawan aku. Kali terakhir aku bertemu keluarganya ialah pada tahun 1981 di Johor Bahru sebelum aku berpindah ke Lumut. Bagai kata orang, kalau niat tu baik, akan termakbul juga. Aku menghabiskan masa selama dua jam bersama kawan lama tersebut sebelum bertolak pulang ke Sungai Petani.
Mungkin aku akan kesini dengan basikal aku dalam masa terdekat dan bermalam di Pulau Pangkor.

OK, berbalik semula pada kayuhan pagi ini, aku agak terkejut apabila ditegur dari belakang oleh Juan dan John, kawan yang selalu membuat kayuhan bersama. Kedua dua menggunakan roadbike. Mereka berdua kayuh bersama aku sejauh 10km sebelum berpatah balik. Manakala aku teruskan kayuhan ke Yan. Juan sempat memberi komen mengatakan aku kelihatan lebih bertenaga dan kuat dan nampak lebih fit sekarang. Kayuhan aku lebih mantap dan laju. Aku berjaya maintain kayuhan pada kelajuan purata 28km/j pada jalan lencongan Semeling.
Walaupun sudah kerap membuat kayuhan ke Gunugn Jerai tetapi aku masih menghadapi masalah apabila membuat pendakian pada bukit terakhir di Tanjung Jaga. Walaupun berjaya membuat pendakian, tetapi agak letih juga.
Sebelum sampai ke Titi Hayun aku perhatikan banyak chalet yang siap dibina dan menawarkan tempat penginapan kepada pelancong. Chalet yang baru kebanyakkan dibina menggunakan kayu. Oleh kerana hari ini hari bekerja, tiada orang lansung di kawasan rekreasi. Tempat perkelahan ini dijaga kebersihanan. Air sungai amat sedikit dan tidak mengalir. Mungkin ini sebat tidak ramai pelancong berada disini.
Semasa pulang aku singgah untuk mengisi perut di pekan Yan sambil berihat di Taman Persisiran Sungai Pekan Yan. Aku menyesal juga kerana tidak memakai baju lengan panjang kerana cuaca panas semasa melalui Lencongan Semeling. Aku juga kehabisan bekalan air yang aku bawa dan terpaksa membeli dua botol air sebelum sampai kerumah.

 

Statistik :
Mula : ....................... 7.25 pagi
Tamat : ..................... 11.15 pagi
Jarak : ....................... 62.5 km
Cuaca : ..................... cerah
Angin : ..................... kencang selepas jam 10.00
Route : ..................... Sg Petani - Merbok - Singkir - Tanjung Jaga - Yan Besar - Titi Hayun

Tiada ulasan:

Catat Ulasan