Halaman

Ahad, 11 April 2010

Kayuhan Sungai Ular Kulim


Aku telah merancang kayuhan ini sejak beberapa hari yang lepas. Kebelakangan ini sering hujan disebelah petang setelah agak lama mengalami kemarau. Tidak banyak peluang untuk membuat kayuhan. Aku hanya membuat kayuhan disekitar bandar Sungai Petani. Aku juga gunakan kesempatan tersebut untuk melawat rumah kawan kawan yang mempunyai minat yang sama, untuk bertukar fikiran dan idea mengenai basikal dan trek kayuhan.
Aku mulakan kayuhan tepat jam 0730 pagi. Sebaik sahaja melepasi Supermarket Giant menghala ke Butterworth aku ternampak seorang kenalan mengalami kebocoran tayar kereta. Aku berhenti untuk menghulurkan pertolongan tetapi beliau menolak kerana tidak mahu menganggu kayuhan aku.
Aku terjumpa dengan Ibrahim (bekas anggota TLDM dan kini bekerja di Kilang Sharp Roxy, Kawasan Perindistrian Bakar Arang). Beliau mengayuh ke Sidam untuk membuat kayuhan bersama rakan rakan lain yang menunggu disana. Menurut Ibrahim, kawan kawannya baru berjinak jinak  dengan basikal. Oleh kerana kami menghala jalan yang sama, sempat membuat kayuhan bersama hampir 12km. Kami berpecah apabila sampai di Pinang Tunggal dimana Ibrahim melencong ke Sidam melalui Pantai Perai. Aku pula meneruskan kayuhan ke Pinang Tunggal, sebelah Penang dan membelok ke Padang Serai melalui Ekor Kucing.
Dulu semasa aku masih bekerja aku melalui jalan ini sekurang kurangnya sekali seminggu untuk ke Loji Pembersihan Air Sungai Ular yang terletak dijalan menghala ke Serdang dan Bandar Baru. Dengan kereta perjalanan mengambil masa hanya 40 minit tetapi dengan basikal mengambil masa hampir dua jam.
Pekan Padang Serai agak sibuk diwaktu pagi kerana pasar pagi dijalan utama sebelum pekan, manakala pasar minggu baru sahaja bermula di tapak stesyen bus jalan menghala ke Lunas. Pasar minggu ini akan menjadi sibuk menjelang tengah hari dan petang. Pekan Padang Serai hanya sederhana besar seperti  Lunas dan  Kuala Ketil, tetapi agak sibuk kerana lokasinya yang terletak dijalan utama ke Tasik Gelugor dan Bukit Mertajam.
Dari Padang Serai aku mengayuh kearah Lunas tetapi membelok ke Sungai Seluang. Setelah melepasi pekan Sungai Seluang aku membelok memasuki BKE (Butterworth Kulim Expressway) dan memasuki jalan ke Kulim Hi Tech Park. Setakat ini jalan agak rata tanpa berbukit hinggalah sampai ke Kilang Wafer Silterra. Terdapat sedikit pendakian hingga ke simpang Politeknik Kulim.
Apabila sampai di simpang tiga Kulim-Serdang, aku berhenti di gerai roti canai kegemaran aku yang sering aku kunjungi sejak 7 ~ 8 tahun lalu. Kebiasaannya gerai ini dipenuhi pelanggan pada terutama hari Ahad. Kadangkala roti canai habis sebelum jam 1000 pagi. Malangnya hari ini gerai ini tutup. Dari kesan dan keadaan, gerai ini telah agak lama tidak menjalankan perniagaan. Aku diberitahu oleh seorang rakan , gerai ini ditutup lebih satu bulan lalu kerana isteri tuan punya kedai mengalami penyakit di perut.
Aku kemudian ke gerai lebih kurang 100 meter jalan ke Kulim. Disana aku  melihat seorang rakan  sedang minum dan terus duduk. Aku memesan segelas milo dan segelas air kosong. Kemudian aku mengambil sebungkus nasi lemak dan apabila membuka untuk menjamah aku mendapati dua helai rambut pada sambal nasi lemak tersebut. Bila diadukan kepada peniaga gerai, seorang perempuan pertengahan umur, dia mengambil bungkusan tersebut dan terus memasukkan kedalam tong sampah. Aku terus bersembang dengan kawan hinggalah tiba masa untuk aku meneruskan kayuhan pulang.
Yang menjadi persoalan ialah tentang ragam atau budibahasa atau etika peniaga tersebut. Apabila berlaku perkara seperti itu, tidak dia berasa bersalah. Adakah dia terus berdiam diri dan meneruskan kerja. Sekurang kurangnya dia patut memohon maaf kepada pelanggan, dan seeloknya bertanya adakah pelanggan mahu makanan tersebut diganti. Aku tahu hak pelanggan tetapi tidak menggunakan, aku boleh mengadukan kepada Pejabat Kesihatan tetapi aku tidak mahu memanjangkan isu. Mungkin akan ada pelanggan lain mengalami situasi yang sama. Aku mungkin tidak akan mengunjungi gerai ini lagi.
Aku tidak memasuki pekan Kulim semasa perjalanan pulang tetapi memasuki taman Selasih dan menuju ke Sungai Seluang. Hari sudah agak panas dan aku berhenti di pasar minggu Padang Serai untuk menghilangkan dahaga. Terkejut penjual air tebu apabila aku memesan satu lagi sebaik sahaja gelas air tebu pertama habis dan memesan lagi gelas yang ketiga. Sebelum sampai kerumah aku terpaksa berhenti lagi untuk minum, kali ini air soya pula.
Pengajaran penting semasa membuat kayuhan jarak jauh sebegini ialah menjaga kandungan air dalam badan. Minum seberapa banyak dan seberapa kerap yang boleh untuk menghalang dehydration yang akan menyebabkan badan menjadi panas dan kemungkinan demam.


Statistik
   Mula :................. 0730 pagi
   Tamat : ............... 1230 tengahari
    Jarak : ............... 86 km
   Cuaca : .............. Panas
   Route : .............. Sg Petani - Pinang Tunggal - Padang Serai - Sungai Seluang -  Hi Tech Park - Sungai Ular - BACK

.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan