Halaman

Khamis, 13 Mei 2010

Kota Kuala Muda vs Kuala Muda


Kota Kuala Muda
Semasa membuat kayuhan pagi ini, aku terlihat satu signboard tunjuk arah yang agak menarik. Walaupun aku telah menetap hampir 20 tahun di Sungai Petani, baru pagi ini aku tahu bahawa Kota Kuala Muda dan Kuala Muda adalah dua lokasi berbeza. Apatah lagi Kuala Muda adalah Daerah di mana terletaknya Sungai Petani. Confuse. Aku pun. Signboard yang dipasang sebelum jambatan baru menunjukkan arah ke Kota Kuala Muda di hadapan manakala signboard yang sama menunjukkan arah ke kiri untuk ke Kuala Muda. Bermakna Kuala Muda terletak di seberang Sungai Muda didalam negeri Pulau Pinang. Emmm.......
Mungkin yang dimaksudkan ialah dimana Sungai Muda bertemu laut itu Kuala Muda? Tetapi kenapa disebelah Pulau Pinang, kenapa kuala Sungai Muda tidak terletak di Kedah. Bukankah Sungai Muda bermula dan mengalir di Kedah dan menjadi sempadan Kedah dan Pulau Pinang.
Kayuhan melalui Sungai Pasir dan Batu Lintang ke Tikam Batu lebih 5km berbanding jika mengikuti Jalan Sungai Petani - Butterworth. Tetapi ia menyeronokkan kerana suasana nyaman melalui kampung, bendang, sawah padi dan kebun. Cuma yang merisaukan adalah angin yang bertiup agak kencang kerana kawasan sawah padi yang lapang.
Apabila tiba di Pekan Tikam Batu, aku membelok ke kanan untuk ke Kota Kuala Muda. Disepanjang laluan jalanraya yang selari dengan Sungai Muda, aku mendapati aktiviti projek tebatan banjir sedang rancak berjalan.
Aku dapat tahu ramai juga pemilik tanah dan rumah di kedua dua belah tebing Sungai Muda menjadi kaya dan ada yang menjadi jutawan. Mereka menerima pampasan tanah yang diambil oleh kerajaan. Diharapkan mereka yang mendapat pampasan yang bernilai ratusan ribu ringgit menguruskan dan menggunakan wang tersebut dengan bijak. Ada kawan aku yang  mendapat  pampasan telah membeli tanah, membina rumah yang selesa dan memulakan perniagaan, tetapi malangnya ada juga kenalan yang telah menghabiskan wang tersebut dalam tempuh tidak sampai satu tahun.
Aku ada mendengar cerita bahawa tebing tebatan ini akan dibuat laluan kenderaan dan akan dijadikan kawasan pelancongan. Ini pasti menyeronokkan untuk pengayuh basikal. Ada tempat untuk berkayuh dengan selamat.
Aku tidak berniat untuk berkayuh ke Pantai Merdeka. Cukup hanya sampai di Kota. Orang  sekitar sini selalunya menyebut 'kota' yang bermaksud Kota Kuala Muda. Mungkin terlalu panjang untuk disebut dan semua orang disini tahu apa yang dimaksudkan. Aku berkayuh ke belakang pekan dan berhenti rehat di kawasan peninggalan Kota Kuala Muda. Hanya terdapat dua kesan kota lama yang wujud kira kira dua ratus tahun lalu. Satu pintu gerbang dan satu lagi dinding bangunan lama.
Kota Kuala Muda adalah perkampungan nelayan kecil. Dahulu ianya adalah pelabuhan dan pusat perdagangan yang penting. Pekan ini menjadi makmur semasa pihak British menguasi Pulau Pinang. Sultan Kedah Sultan Ahmad Tajuddin menjadikan Kuala Muda sebagai tempat kediamannya pada tahun 1811 kerana baginda sering diganggu oleh pihak siam. Apabila Siam menakluki Kedah pada tahun 1821, Sultan Ahmad Tajuddin lari ke Pulau Pinang. Semasa penaklukkan Siam, perniagaan dan perdagangan telah merosot dan akhir Kota Kuala Muda tidak lagi menjadi pusat perniagaan.


Walaupun Pekan Kota Kuala Muda tidak terkena bencana tsunami pada 26 Dec 2004, pekan ini menjadi tumpuhan umum apabila kawasan berhampiran pantai dan muara Sungai Muda mengalami kerosakkan dasyat dan mengorbankan nyawa dilanda tsunami.
Di kuala sungai ini juga terdapat pusat jualan ikan hasil tangkapan nelayan.  Keunikkan jualan hasil tangkapan laut ini ialah harga ditentukan dengan cara berbisik. Cara ini juga sudah digunakan di pusat jualan ikan di seberang Sungai Muda iaitu disebelah Pulau Pinang.

Cara berbisik
Cara ini lebih kurang serupa dengan sistem lelongan biasa. Bezanya pembida tidak tahu harga tawaran orang lain. Hasil tangkapan dijual terus kepada pembeli  tanpa orang tengah. dan nelayan berpeluang mendapat rezeki lebih. Kali terakhir aku disini, aku dapati kebanyakkan pembeli adalah peniaga kecil-kecilan yang berniaga di pasar malam, pasar sehari, pasar  minggu dan gerai ditepi jalan. Hanya segelintir orang awam yang membeli ikan secara berbisik kerana jumlah longgokkam agak banyak, kecuali pembeli hendak membuat kenduri.
Nelayan akan membawa sebahagian hasil tangkapan dari bot ke bangunan dimana jualan dijalankan. Ia dilonggokkan diatas simen yang dialas dengan tikar atau bekas plastic di tengah bangunan dan diperaga kepada pembeli. Orang ramai akan mengerumuni dalam bentuk bulatan. Setelah pembeli melihat ikan ikan yang hendak dijual, nelayan tersebut akan pergi kepada pembeli yang berminat. Pembeli akan membisikkan harga tawaran. Pembeli lain yang berminat akan membisikkan harga yang difikirkan berpatutan. Begitulah seterusnya. Pembeli yang menawarkan harga yang tinggi akan berjaya.
Nelayan lain secara bergilir gilir akan mengulangi proses tersebut sehinggalah semua hasil tangkapan habis dijual. Semua jenis hasil tangkapan dijual cara ini dan pelbagai jenis ikan, udang, ketam dan lain lain dicampurkan.
Seorang rakan menyatakan dia sering membeli ikan disini tetapi cara yang berlainan sedikit. Setelah nelayan  selesai membuat lelongan, kawan aku ini akan berjumpa nelayan tersebut. Dia menyatakan hasrat untuk membeli ikan dan meminta jumlah sama banyak dengan  yang baru dijual tadi. Dia akan membayar jumlah yang sama atau lebih sedikit dari harga yang dijual secara berbisik tadi. Bagi nelayan tersebut dia tidak rugi apa apa, malah akan menjimatkan masanya.


Beberapa projek bangunan kedai baru sedang didirikan, menunjukkan pekan kecil ini juga mengalami perubahan dan pembangunan. Kini Kota Kuala Muda menjadi tempat perhentian  pelancong yang hendak ke Pantai Merdeka dan Pulau Sayak. Pelawat dan pelancong singgah di pekan ini untuk bekalan dan makanan. Diharapkan kerajaan negeri akan membangunkan lagi pekan ini.
Aku mengayuh di celah celah bangunan dan di lorong kecil pekan ini untuk memastikan aku tidak terlepas pandang tempat menarik dan unik.
Kalau badan sudah letih dan perut sudah berbunyi, kenalah  berhenti untuk berehat dan makan. Aku memesan roti canai telur dan air kosong di sebuah gerai di pekan Tikam Batu. Roti canai telur dibubuh banyak potongan bawang besar. Ah..  sedap rasanya dan pasti akan singgah lagi di kayuhan akan datang.
Pada jalan persekutuan Sungai Petani - Butterworth aku menguji kekuatan kayuhan dan dapat purata 30km/j selama lima minit.

Statistik :
  Mula : ..................... 7.25 pagi
  Tamat : .................... 10.00 pagi
  Jarak : ..................... 43.80 km
  Cuaca : ................... mendong sebelah pagi, panas selepas jam 9.00 pagi
  Route : ................... Sungai Pasir - Batu Lintang - Tikam Batu - Kota Kuala Muda

.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan