Halaman

Jumaat, 15 November 2013

Pelawaan kayuhan ke Danok .....

Bagai peribahasa 'pucuk dicita, ulam mendatang......' Aku singgah di kedai basikal D'Nia di Taman Seraya Pinang Tunggal untuk bertanya khabar dan update cerita dengan tuan punya kedai. Sebenarnya aku ingin bertanyakan tentang jamboree basikal yang disertai pada Sabtu 09 Nov lalu yang diadakan di Merbuk, Kuala Muda anjuran akhbar Harian Metro. Kedai basikal tersebut adalah pusat Kelab Basikal D'nia dengan tuan kedai menjadi tunggak utama kelab tersebut.
Aku dipelawa untuk menyertai mereka berkayuh ke Bukit Kayu Hitam dengan jarak hampir 120 km sehala. Tanpa berfikir panjang aku menerima pelawaan tersebut kerana aku memang merancang untuk melakukan kayuhan melalui route yang dirancang. Aku merancang untuk melakukan kayuhan solo tetapi kalau ramai mungkin lebih seronok. Lebih lagi dikalangan kawan dan kenalan.
Kayuhan tersebut dirancang pada hujung bulan ini, mungkin pada hari Sabtu 30hb. Akan bermalam di Danok dan berkayuh pulang pada keesokkan hari. Kesian juga beberapa ahli kelab tersebut tidak dapat ikut serta kerana mereka adalah anggota pasukan keselamatan yang memerlukan kelulusan khas untuk ke negara jiran.
Mengikut penganjur, kayuhan tidak akan berterusan tetapi akan berhenti henti untuk menikmati pemandangan dan melihat perkara perkara yang menarik disepanjang laluan. Berhenti rehat secukupnya bila perlu kerana tiada apa yang hendak dikejar atau untuk cepat sampai. Sebelah petang dan malam adalah mencukupi untuk ronda di pekan Danok.
Beberapa kali aku membuat kayuhan ke Hatyai dan Songkhla, aku memandu dan meninggalkan kereta di Bukit Kayu Hitam. Kali ini aku akan berkayuh dari rumah. Ini baru betul. Kalau ikut aku teruskan sahaja kayuhan sehingga ke Hatyai yang hanya tambahan sejaih 60 km. Ini betul betul akan menguji keupayaan berkayuh basikal dan akan menjadi sesuatu yang dibanggakan dan tidak mudah dilupakan.
Kebanyakkan rider yang berhasrat turut serta akan menggunakan mountain bikes. Aku sendiri dalam dilema basikal mana yang akan digunakan. Roadbike atau touring bike? Aku ingin melihat kemampuan geng mtb menghadapai 'endurance' dijalan raya.
Jadi atau tidak, kalau keadaan mengizinkan, aku akan tetap membuat kayuhan tersebut walau seorang diri. 

Statistik : 
    Mula ............... 8.15 pagi
    Tamat ............  9.30 pagi
    Jarak ............... 33 km
    Cuaca .............. Redup
    Laluan ............. Lencongan Barat - Timur
   Odometer 2013 : 04546
       

Tiada ulasan:

Catat Ulasan