Halaman

Rabu, 3 September 2014

Sungai Petani - Kangar

Berdoa selepas solat subuh untuk keselamatan perjalanan pagi ini. Sudah agak lama tidak membuat kayuhan jarak jauh seperti ini dan aku memohon untuk dielakkan berlaku sebarang perkara yang tidak diingini. 
Sepatutnya kami (aku dan SK Juan) membuta kayuhan ke Songkla tetapi Juan membatalkan kerana fikiran yang tidak selesa. Aku beriya-iya untuk membuat kayuhan tersebut dan berasa agak kecewa atas pembatalan tersebut.
Mungkin kerana geram atau hendak membuktikan aku masih boleh berkayuh kemana pun seorang diri, aku mengambil keputusan untuk membuat kayuhan Sungai Petani ke Padang Besar. Rancangan ialah untuk bermalam di Pekan Padang Besa (tanpa 'r' di sebelah Thailand) dan pulang keesokkan harinya. Aku siap google hotel yang ada disana. Aku membuat border pass sehari sebelum kayuhan kesana.

Beerhenti untuk sarapan setelah dua jam berkayuh disalah sebuah gerai di Kota Sarang Semut. Dulu semasa membuat kayuhan ke Alor Setar aku sering singgah di gerai ini untuk sekeping roti canai dan secawan kopi O. Masih berniaga lagi disini tetapi sekarang sudah ada saingan digerai bersebelahan. Juga menjual benda yang sama.
Semasa bersiap untuk meneruskan perjalan aku ditegur oleh pelanggan meja bersebelahan bertanyakan dari mana dan hendak kemana kerana sampai disini agak awal. Nampak perubahan muka kedua mereka apabila aku menyatakan aku dalam perjalanan dari Sungai Petani ke Padang Besar jika diizinkan Allah. Lagi kejutan apabila aku menyatakan sudah pencen dan seorang dari mereka mengatakan mestilah umur hampir 60 tahun. Masih boleh berkayuh jauh no.....
Sampai awal setengah jam di Alor Setar berbanding dengan kayuhan dua hari lepas. Seronok kerana dapat mengatasi rekod aku sendiri. tetapi berapa lamakah aku boleh bertahan kerana cuaca semakin panas dan aku jangkakan memang hari ini akan panas hingga ke petang.
Aku terpaksa berhenti pula apabila memasuki jalan ke Kangar. Kekeringan tekak. Singgah di stesyen minyak Petron yang menyediakan meja untuk minum didalam kedai. Air cond pula tu. Boleh lah menyejukkan badan.
Jalan ke Kangar memang rata tanpa sebarang pendakian lansung. Kesilapan yang aku lakukan ialah membuat kayuhan yang agak laju pada jalan yang rata ini dan ini mempercepatkan badan keletihan. Ruang atau lorong motorsikal yang luas dan kekurangan kenderaan kerana hampir tengah hari menyeronokkan kayuhan. Akhirnya aku terpaksa berhenti sebelum sampai di pekan Air Hitam kerana kehausan dan keletihan. Terkejut peniaga air minuman ditepi jalan apabila aku meminta tambah air segelas lagi. Berehat hampir setengah jam dan agak lega kerana tinggal algi 30 km ke Kangar. Mengikut perkiraan aku akan berhenti makan tengah hari di Kangar dan harap akan sampai ke Padang Besar sebelum jam 4.00 petang.
Matahari semakin terik dan cuaca panas mencucuk badan. Aku bersyukur kerana banyak pohon besar ditepi jalan yang memberi perlindungan dari panas terik walau tidak sepanjang jalan. Dahaga lagi, peliknya bila aku inginkan minuman yang boleh menghilangkan dahaga dan memberikan tenaga tiada pula gerai yang aku jumpa. Maksud aku air nyior atau sekurang kurangnya air tebu. Bila tidak mahu banyak pula gerai menjualnya.
Aku tewas lagi dan terpaksa berhenti di bus-stop lebih kurang 10 km dari Bandar Kangar. Oleh kerana terlalu panas aku terpaksa membuka baju dan merebahkan diri di pangkin konkrit berbantalkan beg pakaian. Aku mengunci basikal sebagai langkah keselamatan sekiranya terlelap. Satu yang aku kesalkan ialah bau busuk yang datang dari bangkai anjing tidak jauh dari pondok bas tersebut.
Pastinya, aku terlelap keletihan hampir satu jam disebalik bunyi bising kenderaan dari kedua dua arah. Bila sedar bau busuk kembali menusuk hidung. Aku cuba untuk tidak menghiraukan bau busuk tersebut tetapi semakin aku mencuba semakin teruk baunya. tergegas aku bersiap untuk meneruskan semual kayuhan dan sampai dipinggir bandar setengah jam kemudian. Singgah di stesyen petronas untuk membeli minuman sejuk sebelum masuk ke bandar.
Terpaksa berpuas hati dengan KFC sahaja kerana tidak jumpa restoren. Sudah terlalu lapar untuk mencari kedai makan. Semasa menikmati ayam gorang aku berfikir sudah tidak lagi berupaya untuk meneruskan kayuhan sejauh 30 km ke Padang Besar. Cuaca semakin panas dan aku kehabisan tenaga untuk meneruskan kayuhan. Rasanya sampai disini sahaja untuk kali ini.
Aku mencari hotel murah untuk bermalam dan ada beberapa hotel yang berdekatan. Aku mendaftar masuk kesebuah hotel bersebelahan restoren KFC yang menawarkan RM60.00 semalam. Ada juga bilik yang lebih murah berharga RM50.00 tanpa TV dan berkongsi bilik air di luar. Aku lihat kebersihan kira OK dan aku hanya perlu bilik untuk berehat malam nanti. Pentingnya pihak hotel membenarkan basikal disimpan diluar bilik. Oleh kerana bilik aku terletak ditingkat 2 dan tiada servis lif di hotel ini, aku berpuas hati meletakkan basikal di ruang legar tingkat 1.
Satu kejadian yang kurang menyenangkan apabila aku tersilap letak cermin mata ditepi katil semasa merehatkan badan dan ia terjatuh ke lantar dan patah dua. Peliknya sedikit pun tidak risau dan sebelah petang aku turun mencari gam di kedai hardware berhampiran.
Aku rasa kecewa kerana tidak dapat menjamu selera yang aku inginkan. Aku berjalan kaki keliling bandar Kangar yang seperti dilanggar garuda selepas matahari terbenam. Tiada kedai atau restoren atau gerai menjuala makanan. Akhir terjumpa sebuah kedai mamak Nasi Kandar dan walaupun tidak berapa minat tetapi aku tiada pilihan. Tidak dapat menghabiskan sepinggan nasi dan lauknya seperti lebihan dari tengah hari tadi. Aku mencari restoren tom yam yang menyediakan makanan panas.
Sebenarnya restoren yang aku cari terletak diluar kawasan bandar, Banyak terdapat restoren masakan panas di jalan utama ke Beseri atau ke Kuala Perlis atau ke Sanglang. Aku malas untuk membawa turun basikal dan malas berkayuh lagi untuk malam ini. Biasa kalau dirumah aku jarang makan nasi pada sebelah malam.
Tidur awal sebagai persediaan untuk kayuhan pulang esok......


Statistik : 
    Mula ............... 0725
    Tamat ............  1430
    Jarak ............... 109 km
    Cuaca .............. Redup
    Laluan ............. Gurun - Simpang Kuala Kedah - Air Hitam - Kangar
   Odometer 2014 : 1997 km
      


Tiada ulasan:

Catat Ulasan