Halaman

Isnin, 1 September 2014

Ke Alor Setar

Nak buat entry dalam blog ini pun masih belum ada mood lagi kerana masih berehat dari kayuhan sebentar tadi. Ada sedikit masa terluang selepas melayari internet dan sebelum terlupa baik aku masukkan sedikit maklumat sebelum terlupa. Yang lain akan dikemaskini bila ada masa nanti.
Ok kita sambung.
Sebaik memasuki jalan lencongan barat aku melihat berapa orang  berkayuh dihadapan dan belakang, Tidak sangka pula salah seorang menegur aku dari belakang dan tidak sangka pula beliau adalah salah seorang dari kumpulan yang aku ikut semasa kayuhan pada minggu lepas ke Baling dan Sik. Dia bertanyakan kemana arah aku, dan aku menjawap hanya pusing keliling jalan lencongan. Kalau tidak silap dia hendak ke Gurun dan seterusnya kalau jumpa rakan rakan lain akan berkayuh ke Gunung Jerai. Aku menyuruhnya pergi dahulu kerana aku tahu dia agak laju dengan roadbikesnya.
Tidak sangka pula ramai roadbikers dijalanan hari ini. Kemudian aku teringat cuti dinegeri jiran Pulau Pinang sempena hari kemerdekaan Malaysia ke 57 yang jatuh pada hari Ahad.
Semalam sebelum lelap di bilik tidur, aku merancang rancang untuk berkayuh ke Alor Setar. Lama sudah aku tidak kesana. Rasanya aku mampu melakukan walaupun agak lama tidak membuat kayuhan jauh. Lagi pun jalannya tidak lah berbukit seperti laluan dari Parit Panjang ke Baling dan ke Sik pada minggu lalu. Dengan jarak hampir 120 km pergi balik ia akan memberi latihan yang mantap.
Bukan apa, aku merancang untuk membuat kayuhan ke Songhkla dari Bukit Kayu Hitam dan latihan kayuhan hari ini akan memberikan aku stamina sebagai persediaan keyuhan tersebut.
Aku mengambil masa hampir dua jam setengah untuk sampai ke kawasan Tandoop Kuala Kedah. Ada dua sebab kenapa aku tidak mahu memasuki benadar Alor Setar. Pertama kerana kuota sejauh 60 km telah dicapai di kawasan lampu isyarat tol Alor Setar selatan. Ada hampir 4 km sebelum ke pusat bandar. Kedua tidak mahu tersangkut didalam kesesakkan lalu lintas yang hanya akan melambatkan kayuhan. Aku beredar di kawasan perniagaan tandoop dan Alor Setar mall.
Aku teragak agak mencari gerai yang sesuai untuk mengisi perut kerana sejak memulakan kayuhan dari rumah pagi tadi aku tidak singgah untuk makan. Dalam deretan gerai yang aku jumpa aku singgah di sebuah gerai yang agak terpencil dan ada dua pekerja perempuan setengah umur. Nampak lauk yang dijual agak menyelerakan. Sebaik turun basikal, biasalah ... 'makan ke?' dan salah seorang pekerja terus mencapai pinggan untuk mengisi nasi. Lauk bubuh sendiri. Aku memesan kopi paket yang banyak tergantung tersusun dinding gerai.
Hampir setengah jam aku berehat dan rasa cukup untuk mendapkan makanan yang aku ambil sebentar tadi. Tidak mahu pula perut menjadi berat kerana makanan masih belum hadam sepenuhnya. Bila aku hendak bayar, tidaklah rasa tekejut besar apabila harga yang dibayar sebanyak RM6.00 untuk sepinggan nasi, seekor ikan temenung kecil dan sebelah telur asin. Dalam hati aku, mengalahkan restoren nasi kandar mamak. Berbagai perkara yang bermain dikepala aku meningatkan harga makanan tersebut.
Semasa makan tadi aku mendengar kedua pekerja berbual dimana salah salah seorang yang berkemungkinan besar adalah pekerja menceritakan pergi ke kareoke malam sebelum bersama keluarga (termasuk anak yang masih kecil) dan pulang sehingga lewat tengah malam. Malam hari kebangsaan..... katanya.
Tepat jam 11.00 aku memulakan perjalanan pulang. Terasa lambat dan tidak bertenaga lansung. Kelajuan kayuhan tidak lebih 20km/j. Aku bercadang untuk berhenti di pekan Kota Sarang Semut untuk memulihkan tenaga. Hanya 18 km dari mula dan belum pun sampai satu jam berkayuh. Tetapi terpaksa. Aku teringat kata seorang kawan pada kayuhan minggu lalu apabila dia memberikan aku sedikit minumam coca cola sejuk. "Untuk memulihkan tenaga" katanya. Terus aku membeli sebotol coca cola sejuk.
Air Nira
Pastinya aku merasakan lebih bertenaga dan kayuhan aku kembali seperti biasa. Walaupun cuaca mulai panas terik dan penuh mengalir dari ubun kepala membasahi muka dan badan aku masih dapat meneruskan kayuhan. Aku berhenti untuk kali kedua kerana tidak tahan dengan gerai air nira selepas jalan ke Gunung Jerai. Memang sudah lama tidak merasakan kesejukkan air nira yang rasa masam memasuki badan yang tengah panas. Harga sekarang jauh lebih mahal dari dulu (dua tahun lepas) iaitu meningkat kepada RM3.00 sebungkus berbading RM2.00.
Oleh kerana panas agak keterlaluan, tekak aku menjadi kering dan tidak lagi sanggup menahan dahaga, aku berhenti sekali lagi dihadapan kawasan perindustrian Sungai lalang untuk semangkuk cendol. Selalunya aku akan meminta 'kurang manis' tetapi kali ini aku diam sahaja. Aku perlukan sedikit gula tambahan untuk menambahkan tenaga. Hanya kurang 10 km sebelum sampai kerumah.
Puas hati membuat kayuhan ini. Tidak apa yang diherankan kalau mengambil masa dua jam setengah semasa pergi dan hampir 4 jam ketika pulang. Tiga kali berhenti rehat sudah hampir 45 minit dan kayuhan agak perlahan ketika panas terik menjadikan masa pulang agak panjang. Besar kemungkinan aku akan ulangi lagi kayuhan seperti ini.


Statistik : 
    Mula ............... 0750
    Tamat ............  1420
    Jarak ............... 121 km
    Cuaca .............. Redup
    Laluan ............. Semeling - Bedong - Alor Setar
   Odometer 2014 : 1988 km
      

Tiada ulasan:

Catat Ulasan