Halaman

Jumaat, 3 Oktober 2014

Kayuhan bukit Taman Kempas

Tidak pasti sesuai atau tidak tetapi aku mesti pergi juga. Bukan apa mountain bike kepunyaan sudah diubahsuai menjadi touring atau roadbike mempunyai tayar bersaiz kurang satu inci lebar. Bolehke nak panjat bukit, tiada grip. 
Buka la tinggi sangat bukit yang menempatkan kolam bekalan air ke kawasan bandar Sungai Petani tetapi dari persimpangan jalan lencongan timur  ke jalan kempas ke kolam tersebut adalah pendakian. Dari bawah hingga ke kolam pengimbang (balancing reservoir) hampir 90 meter atau 300 kaki. Untuk pengayuh 'novice' memang sukar untuk sampai keatas tanpa berhenti. Pendakian terakhir memberikan cabaran kerana untuk jarak kurang 100 meter kecuraman hampir 40 darjah.
Rasa takut juga melalui jalan ke puncak bukit kerana semak samun di kedua dua belah jalan. Jalan ini juga jarang dilalui atau digunakan kecuali kakitangan loji air Pinang Tunggal yang membuat pemeriksaan tiga kali sehari. Ada juga kakitangan syarikat telekomunikasi yang membuat kerja senggaraan kerana terdapat dua tower telepon mudah alih di puncak bukit tersebut. Dulu pernah juga terjumpa orang berjogging tetapi sangat berkurangan sekarang.
Sekali sekala ada berjumpa dengan pengayuh basikal tetapi mereka jarang mengikut jalan ke puncak atau ke kawasan tangki. Agaknya mereka merasakan kawasan tersebut adalah kawasan larangan. Memang benar, tetapi kawasan larangan adalah kawasan berpagar kolam air.
Kalau berjalan kaki dari bawah berhampiran Taman Kempas Fasa 1 hingga ke puncak bukit amatlah sesuai untuk riyadah. Kawasan hijau dan kesunyian sesuai untuk aktiviti berjogging, itu pun kalau boleh tahan dengan pencemaran bunyi kenderaan dan asap (minima) kenderaan yang melalui lebuhraya Plus dibawah sana. Pemandangan diatas bukit memang cantik dan kalau ada peluang naik keatas tangki untuk menikmati pemandangan sekeliling.
Disini aku menguji kekuatan kayuhan. Dua minggu lalu aku mendaki bukit di muzium arkeloagi Merbuk dan rasanya tiada masalah untuk menawan bukit ini walau sudah lama tidak kesini. Aku membuat sedikit persediaan sebelum membuat pendakian terakhir. Malangnya ... sekerat jalan aku terasa tidak berupaya, kaki terasa terlalu kejang hingga tidak upaya mengayuh dan terpaksa turun. Berehat seminit dua dan memulakan kayuhan semula hingga ke puncak. Bila berjaya aku perasan bahawa aku mendaki tidak menggunakan gear yang betul ........!
Rasanya diawal pendakian tadi, gear telah diturunkan kepada yang paling rendah tetapi tidak tahu bagaimana aku memanjat menggunakan gear belakang no.4. Patut lah tidak berupaya melakukan panjatan. Bahagian depan betul pada tahap paling kecil tetapi belakang sepatutnya yang paling besar tetapi .. ah pentingnya aku sampai keatas.
Dikejutkan dengan salakan anjing apabila menghampiri pintu pagar kolam. Huh, sejak bila pula ada dua ekor anjing menjaga kolam dan stesyen pemancar telekomunikasi. Setahu aku, kawasan tersebut dikawal oleh anggota syarikat keselamatan 24/7. Aku membuat U turn kerana tidak mahu sebarang kejadian buruk digigit anjing tersebut.
Hah...  perjalanan menurun bukit terpaksa turun dari basikal kerana terlalu curam untuk jarak 20 meter. Tolak basikal. Boleh gunakan brek tetapi tidak mahu mengambil risiko. Kalau brek putus ... atau kalau brek gagal berfungsi ... atau kalau terlanggar lubang atau bonggol atau ....
Aku singgah di sebuah gerai di Taman Kempas untuk sarapan roti canai dan kopi O berharga RM1.20 sebelum meneruskan kayuhan ke arah Pinang Tunggal untuk mencapai kuota jarak kayuhan. Ingin ke bukit kilang komunis bersebelahan lebuhraya tetapi lain kali lah ...


Statistik : 
    Mula ............... 0800
    Tamat ............  0945
    Jarak ............... 33 km
    Cuaca .............. Redup
    Laluan ............. Bukit Taman Kempas - Pinang Tunggal
   Odometer 2014 : 2266 km
      

Tiada ulasan:

Catat Ulasan