Halaman

Selasa, 7 Disember 2010

Kayuhan Dalam Hujan

Salam Maal Hijrah 1432 kepada
semua bikers.
"Bila kali terakhir berkayuh dalam hujan?" Soalan dari seorang rakan semasa berkayuh pagi tadi.
"Semasa kayuhan Langkawi pada bulan April 2008. Sebaik feri sampai di jeti Kuah lebih kurang jam 12.00 tengah hari, hujan turun dengan lebatnya. Kerana tidak mahu melengahkan masa di jeti kami berkayuh ke Pekan Kuah untuk makan tengah hari dan solat. Kemudian terus ke Perdana Beach Resort tempat penginapan. Sepanjang jalan menuju ke resort hujan turun dengan lebat tidak henti sampai ke senja".
Aku cuba mengingati kayuhan di Langkawi bersama geng dari Jitra pada April 2008. Kami berada disana 3 hari 2 malam. Memang seronok dan menjadi satu pengalaman yang sukar dilupakan. Walaupun dapat menjelajah kebanyakkan tempat menarik di pulau tersebut tetapi tidak sempat untuk membuat pendakian Gunung Raya. Kami berjanji untuk kembali ke Langkawi tetapi hingga kini dua tahun telah berlalu masih belum kesampaian.

Kayuhan Langkawi Apr 2008. Dalam kompleks Jeti Kuah.
Petang kelmarin Dahlan mengajak aku untuk membuat kayuhan ke Pantai Merdeka pada pagi ini. Dijangkakan ramai yang akan ikut serta kerana cuti umum awal Muharram 1432. Melihatkan keadaan cuaca pada jam 6.30 pagi, memang dijangkakan hujan akan turun. Walaupun lapuran kaji cuaca yang terdapat dalam laman 'Yahoo' mengatakan hujan akan turun disebelah pagi, aku teruskan juga kayuhan ke Taman Rhu untuk berjumpa rakan lain.
Sebaik memasuki Pekan Tikam Batu, kelihatan hujan telah mulai turun di Kuala Muda dan Pantai Merdeka. Tukar kepada 'Pelan B'. Semua bersetuju untuk membuat u-turn balik ke Sungai Petani melalui Bukit Berapit Sungai Pasir dan terus ke Rekreasi Tupah. Berhenti untuk mengisi perut di Taman Pengkalan Bujang kerana dua tiga orang masih belum bersarapan pagi. Sesuatu perkara yang tidak sepatutnya berlaku dan tidak boleh diamalkan.
Oh... terdapat ramai riders pagi ini dalam kumpulan kecil dan solo. Seronok kerana semua memberi tindakbalas bila ditegur, malah seorang pengayuh solo membuat pusingan dan menyertai kumpulan kami untuk kayuhan ke Tupah.
Tidak menghabiskan banyak masa untuk sarapan kerana keadaan cuaca yang tidak menentu. Sebaik sahaja kami keluar dari gerai makanan, hujan mulai turun. Mencari bus-stop berdekatan dengan simpang ke Batu Hampar untuk berteduh. Setelah hampir 1 jam berteduh dan tiada tanda hujan akan berhenti atau reda, semua bersetuju untuk meneruskan kayuhan ke rekreasi Tupah yang hanya 5 km dari tempat kami berteduh. Disini adventure kayuhan dalam hujan bermula.

Lepak di hentian bus. Menunggu hujan berhenti
Semasa berteduh kami sempat berkenalan dengan lebih rapat dengan En. Ahmad yang join kumpulan kami di simpang lampu isyarat Taman Pengkalan Bujang. En Ahmad tinggal di Laguna Merbuk berusia lebih kurang 40 tahun menggunakan basikal Merida dan selalu mebuat kayuhan solo atau kumpulan kecil. Dia mencari rakan untuk membuat kayuhan jarak jauh yang mengambil masa empat atau lima hari. Kami diajak menyertai konvoi berkayak dari Jeti Semeling ke Pantai Merdeka pada 18 Disember 2010 anjuran pelancongan Negeri Kedah dan Universiti Utara Malaysia. Dia memberi no handphone Cikgu Rahim  (Laguna Enterprise) untuk mendapatkan borong penyertaan. Esok 8 Dis. 2010 akan diadakan latihan berkayak di Telok Bayu ke Pantai Merdeka pergi balik. Dijangkakan seramai 80 orang peserta akan mengambil bahagian.
Kayuhan dalam hujan mengingatkan zaman kecil waktu masih bersekolah. Kebanyakkan pelajar menggunakan basikal untuk pergi balik kesekolah. Diwaktu musim hujan sebegini, selalunya tidak menunggu lama atau tidak menunggu hujan berhenti untuk pulang. Semua pelajar akan merempuh hujan tidak kira samada hujan renyai atau hujan lebat hinggakan semua  pakaian termasuk buku basah semuanya. Hanya beberapa orang pelajar yang membawa baju hujan atau membawa payung (pelajar perempuan).
Hanya beberapa minit kayuhan cukup untuk membasahkan baju, seluar dan kasut. Air hujan dari atas, percikan air dari tayar basikal dari belakang dan hadapan, percikan air dari rempuhan takungan air diatas jalan. Kali ini tiada siapa yang menggelakkan dari merempuh air di atas jalan atau air yang mengalir. Air sungai Tupah berwarna merah akibat lumpur yang dibawa air hujan. Kami berpatah balik sebaik sahaja semua sampai diluar kawasan loji pembersihan air.
Hasrat kumpulan untuk ke Tupah tercapai walaupun terpaksa membuat kayuhan dalam hujan. Seronoook.

Statistik :

   Mula ............... 7.15 pagi
   Tamat ............. 11.10 pagi
   Rehat .............. > 1 jam. Hujan.
   Jarak ............... 58 km
   Cuaca .............. hujan
   Laluan ............. Tikam Batu - Sungai Pasir - Tupah

.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan