Halaman

Rabu, 15 Disember 2010

Kayuh ......... bukan kayuh basikal

.
Misi : membawa 32 unit kayak bersama pengayuh dan jaket keselamatan yang disimpan dalam setor di Telok Nipah ke Jeti Laguna Merbok menggunakan jalan air untuk program Merbok Kayak Challenge pada Sabtu 18 Disember 2010.
Jarak : 21 km melalui jalan sungai
Anggaran tempoh : 4 ~ 5 jam
Mula : 10.45 pagi
Cuaca : Panas terik
Pit Stop : Teluk Bayu
Keadaan Sungai : melawan arus. Air surut.
Cuma hanya ada 15 orang yang akan mengayuh mudek Sungai Merbok menggunakan kayak double seater dan single seater. Bermakna hanya 7 unit kayak yang akan dikayuh atau didayung, baki sebanyak 26 unit yang lain ditarik menggunakan tiga biji boat.
Bagi mereka yang akan mengambil bahagian dalam program itu nanti, ini adalah peluang terbaik untuk berlatih dan membiasakan diri dengan keadaan sungai. Aku pasti kebanyakkan dari 200 peserta yang akan mengambil belum pernah berkayak di sungai ini termasuk aku sendiri.
Kami sepatutnya berada di Teluk Nipah sebelum jam 9.00 pagi dan akan memulakan kayuhan sebaik siap membawa keluar kayak dari setor. Tetapi adalah perubahan jadual dan penganjur mengadakan taklimat kecil di Laguna Merbok.
Aku dan Cikgu Ong memulakan kayuhan peringkat pertama dari Teluk Nipah ke Chalet Teluk Bayu  sejauh 10 km lebih awal dari yang lain kerana ini adalah kayuhan pertama bagi Cikgu Ong  dan  pula sudah hampir empat tahun tidak berkayak. Lagi pun kami berdua adalah peserta tertua dalam kumpulan ini. Agak lama juga masa yang diambil untuk menyesuaikan diri dan mempelajari semula tektik kayuhan.
Kayuhan kami agak perlahan berbanding dengan yang lain, walaupun kami berdua mempunyai stamina. Faktor yang membuatkan kami perlahan ialah kerana kamu menikmati persekitaran sungai, tebing kedua belah sungai yang dipenuhi dengan hutan bakau serta aktiviti lain termasuk aktiviti nelayan. Difahamkan hutan bakau disini adalah salah satu yang tertua didunia.
Berhenti rehat setelah dua jam berkayuh di Chalet Teluk Bayu. Hanya terdapat satu gerai makanan disana sehinggakan gerai tersebut kehabisan nasi dan lauk. Terpaksa memasak lain. Bernasib baik kerana ada buah-buahan dan dapat mengalas perut sementara menunggu nasi masak. Sementara itu  ketiga tiga bot yang  menunda kayak kayak berlalu. Kayuhan peringkat kedua dari Teluk Bayu ke Jeti Semeling sejauh 12 km bermula pada jam 1.45 tengah hari.
Kayak aku dan Cikgu Ong yang paling terakhir sampai. Kami rasa bersalah kerana membuatkan yang lain terpaksa menunggu  kami  di Jeti Semeling sebelum kayuhan peringkat akhir sejauh 3 km ke Jeti Laguna Merbok. Semua yang ada sangat understanding terhadap kami dan faham usia kami berdua. Kata kata galakkan dan peransang dari mereka amat kami hargai. Apa tidaknya, kami berjaya menghabiskan kayuhan tersebut walaupun tidak lagi mahu menghabiskan ke Jeti Laguna.
Oleh kerana kereta yang kami tumpang ditinggalkan di Teluk Nipah, kami terpaksa berpatah semula menggunakan kereta lain. Kerana keletihan kami memohon untuk tidak ikut serta. Kami ingin terus pulang kerumah. Cikgu Ong menelipon seorang rakan kami untuk datang ke Jeti Semeling dan membawa kami pulang.
Walaupun letih kami amat berpuas hati dan seronok dengan pengalaman berkayak ini. Aku bercadang untuk membawa pulang kayak yang aku beli pada tahun 2003 dahulu yang kini disimpan ditempat aku bekerja dahulu. Selepas ini aku akan gunakan untuk membuat kayuhan sendiri di Sungai Merbok ini kerana aku tidak lagi merasa takut untuk berkayuh bersendirian.
Tidak sabar untuk menunggu hari kayuhan pada 18 Disember nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan