Halaman

Isnin, 6 Disember 2010

Pekan Darat

Kalau hendak ikutkan rasa hati tidak mahu membuat kayuhan pagi ini tetapi aku lawan perasaan hati dan rasa malas.
Sejak beberapa hari kebelakangan cuaca tidak begitu mengizinkan untuk membuat kayuhan. Setiap pagi bila tengok saja kearah langit nampak awan hitam menyelubungi langit, rasa mungkin hujan akan turun. Tetapi awan tersebut akan berlalu, langit akan cerah dan hujan tidak akan turun. Akhirnya aku rasa macam menyesal tidak membuat kayuhan.
Walaupun tidak berkayuh, kalau cuaca dan keadaan mengizinkan, aku akan berjogging di Bukit Taman Semarak pada sebelah petang. Aktiviti ini kerap aku lakukan sejak beberapa tahun yang lalu, kemudian terhenti dalam tempoh yang agak lama dan kini aku melakukan secara berselang seli dengan kayuhan basikal. Dahulu aku melakukan aktiviti ini sekurang kurangnya empat kali seminggu.
Rasa aku mendaki bukit yang tingginya hampir 200 meter membakar sama banyak atau lebih lemak dalam badan. Kuantiti peluh keluar dari badan lebih banyak dan biasanya baju yang dipakai akan menjadi basah keseluruhan oleh peluh.
Aku menyusuri laluan ke arah Tikam Batu dan berhasrat untuk ke Butterworth. Semasa menghampiri Pekan Pematang Sintok aku seorang 'roadsters' memotong aku dari belakang. Pakaiannya sama seperti pakaian pasukan sukan Malaysia pada pertandingan antarabangsa. Pakaian dengan logo Malaysia. Mungkin dia salah seorang dari team basikal pasukan Malaysia?. Tetapi kelajuan kayuhan dibawah 30kmj.
Aku tidak jadi untuk ke Butterworth tetapi membelok ke kanan kearah Pekan Darat apabila tiba di Telok Air Tawar. Aku teruja untuk meneroka kawasan disebelah sini. Pada ingatan aku aku tidak pernah melalui jalan ini.


Seronok melihat masih banyak rumah tradisional Melayu masih dalam keadaan baik. Sesetengah rumah tersebut telah ditambah dan diubahsuai dengan menambah dinding bata dibahagian bawah rumah. Tidak kurang juga yang dibiarkan tanpa penghuni dan menjadi rosak.
Dari Pekan Darat aku menghala ke Pekan Tasik Gelugur dan kemudian berbelok ke Kampung Selamat. Disini adalah penempatan orang Cina. Jalan disini dinamakan 'Tingkat Selamat 2' dan seterusnya sehingga tingkat 12. Kebanyakkan rumah disini masih dalam bentuk asal iaitu diperbuat dari papan dan  beratap zinc. Kedai yang terdapat di kampung ini adalah kedai runcit, kedai makan, kedai memperbaiki motorsikal dan kereta. Tidak ramai yang berusursan pada waktu aku melalui kampung ini.
Ketika sampai di Pinang Tunggal (sebelah Penang) aku merasa kecewa kerana kedai roti canai 'bomb' kegemaran aku tutup. Terpaksa menahan lapar dan dahaga sekejap sehingga sampai kerumah.

Statistik :

   Mula .................... 7.45 pagi
   Tamat .................. 10.45 pagi
   Rehat ................... 20 minit
   Jarak .................... 68 km
   Cuaca .................. panas, berangin
   Laluan ................. Tikam Batu - Pematang Sintok - Pekan Darat - Tasik Gelugor -
                                       Kampung Selamat - Pinang Tunggal
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan