Halaman

Sabtu, 25 September 2010

Permaipura GCC

.
Tiada rancangan lansung untuk aku mengikuti jalan ini. Aku melaluinya secara tidak sengaja. Semasa aku dalam perjalanan balik melalui Pekan Bedong aku teringin untuk meninjau Permaipura Golf and Country Club yang terletak lebih kurang 1km dari Pekan Bedong menghala ke Sungai Petani. Jalan masuk ke kelab tersebut disebelah kiri sebaik sahaja  melepasi jambatan sungai yang dalam proses perlebaran.
Pintu masuk ke kelab hanya 1km dari jalan masuk dan ianya boleh kelihatan dengan jelas disebelah kiri lebuhraya PLUS menghala keselatan. Aku berhenti di guardhouse dan bertanya kepada pengawal bertugas. Tiada apa yang istimewa didalam selain dari kelab house dan padang golf dan terdapat juga rumah persendirian yang dibina didalam kawasan kelab.
Sebaliknya aku bertanya kemanakah jalan kecil selepas kelab. Pertanyaan tersebut aku jawab sendiri, kerana aku bertanyakan adakah jalan ini terus ke Taman Seri Bayu di jalan Bukit selambau. Pengawal tersebut mengingatkan aku supaya mengikut jalan tar dan jangan membelok di jalan tanah merah. Semasa aku berbual dengan  pengawal tersebut beberapa orang cyclist melintasi depan tempat aku berhenti.
Sudah lama aku tidak berkayuh di jalan dalam ladang kelapa sawit. Nyaman, sejuk, pelepah daun sawit dari kedua dari belah jalan menjadikan jalan teduh bagaikan pintu gerbang. Tidak banyak kenderaan yang melalui jalan. Cuma sesekali motorsikal lalu samada mengambil jalan pintas atau mereka yang balik dari kebun. Seperti lazimnya jalan dalam kebun sawit berbukit bukit tetapi tidaklah berapa tinggi. Semua jalan bukit dapat didaki tanpa menukar gear basikal. Teringin pula aku menukar tayar basikal kepada jenis 'mountain' dan berkayuh mengharung lumpur, air lecah, kekotoran hutan dan bukit bukau.
Papan tanda yang menarik perhatian
Disuatu persimpangan lebih kurang dua kilometer dari PGCC, aku tertarik dengan papan tanda nama kampung yang terletak dalam ladang sawit. 'Kampung Kongsi 6'. Begitulah nama kampung tersebut. Aku rasa pernah terlihat nama tersebut sebelum ini. Papan tanda arah yang terletak dijalan utama Sg Lalang ke Bukit Selambau. Aku tertanya tanya bagaimanakah keadaan kampung tersebut, adakah ia seperti kampung traditional melayu atau sebaliknya. Aku rasa pelik kerana terdapat perkampungan di tengah ladang sawit.
Keadaan kampung yang aman damai
Apabila sampai, aku dapati kampung ini adalah penempatan pekerja ladang kelapa sawit dan getah. Terdapat sekitar 80 buah rumah disana. Rumah yang ada tidak langsung ada persamaan dengan bentuk rumah kampung traditional Melayu Kedah. Bentuk rumah adalah  bentuk yang dibina oleh orang Inggeris semasa mereka  mula membangunkan industri peladangan.  Pendapat aku penempatan ini tidak sepatutnya di panggil kampung. Amatlah mengelirukan. Tidak tahu lah pula jika ada makna dan erti yang tersirat.
Kebanyakkan rumah disini didiami oleh kaum India. Kebanyakan orang yang berada dikampung tersebut adalah kaum India, hanya beberapa orang kanak kanak Melayu kelihatan berbasikal di jalan kampung tersebut.  Seperti kebiasaannya jalan dikampung tersebut dipenuhi dengan lembu yang berkeliaran tanpa kandang. Pelik bila aku terlihat papan tanda cawangan UMNO bahagian di salah sebuah bangunan dihujung kampung tersebut. Mungkin juga ramai penduduk Melayu. Aku agak kebanyakkan penduduk bekerja di ladang sekeliling kampung tersebut.
Mungkin dimasa depan aku akan memberanikan diri untuk berkayuh didalam ladang tersebut, tetapi elok lah berteman kerana kemungkinan perkara yang tidak diingin berlaku.
Hari ini genap 15 hari umat Islam menyambut Hari Raya Aidil Fitri 1431/2010. Aku  berbangga kerana telah membuat tidak kurang dari lima kayuhan jauh dan beberapa kayuhan petang yang tidak direkodkan didalam blog ini. Ramai sahabat lain masih belum berupaya untuk memulakan aktiviti kayuhan semenjak berakhirnya Ramadhan.
Masih banyak rumah terbuka dan kenduri pada hujung minggu ini. Kebanyakkan jamuan rumah terbuka yang aku hadiri, aku hanya banyak minum dan menjamah sekeping dua kuih. Aku langsung tidak beselera untuk makan laksa, atau bihun atau lain lain makanan berat. Kalau difikirkan, tidak pergi pon tidak mengapa. Tetapi hajat kawan kawan untuk berjumpa an mengeratkan persahabatan dan siratulrahim adalah lebih penting dari makanan dan minuman. Kadang kala mendapat undangan dari rakan yang tinggal jauh, perbelanjaan minyak, tol dan lain lain jauh lebih banyak dari kos makanan yang dimakan.
John meningatkan tentang kayuhan mengelilingi Pulau Pinang esok Ahad 26 September 2010.  Dia tahu aku tidak mendaftar pun tetapi dia masih mengajak aku, katanya aku boleh 'kayuh tepi'.  Maksudnya tumpang kayuh tetapi tidak mengambil apa apa goodies termasuk baju yang diberi apabila berdaftar.  Aku difahamkan lebih 1,000 orang mendaftar untuk kayuhan tersebut. Aku tidak dapat menidakkan bahawa kayuhan beramai-ramai amat menyeronokkan, tetapi kalau kumpulan terlalu besar 'everyone is on their own'.  Semua berebut untuk sampai dahulu dan yang lambat berusaha untuk mengejar yang dihadapan. Mana fun untuk menikmati pemandangan disepanjang jalan, macamana untuk melihat secara dekat apa yang ada dikedua dua belah jalan, bagaimana untuk menghayati keindahan, keunikan sesuatu tempat itu. Ah..... itu semua tidak sehaluan dengan aku.

Statistik : -

   Mula ................... 7.30 pagi
   Tamat .................. 10.00 pagi
   Jarak ................... 49.5 km
   Cuaca .................. Panas
   Route .................. Lencongan Barat - Lembah Bujang - Bedong - Permaipura - Sg Lalang - Sg Petani

.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan