Halaman

Selasa, 21 September 2010

Taman Kempas

.
Rancangan destinasi kayuhan pagi ini ialah Gunung Jerai. Tak berapa ingat bila kali terakhir aku membuat pendakian disana, rasanya lebih dua bulan yang lepas. Rancangan pagi ini terpaksa dibatalkan kerana aku risau keadaan jalan selepas hujan lebat kelmarin.
Juga lewat sebelah pagi aku ada beberapa perkara yang kena selesaikan berkenaan anjuran jamuan sempena hari raya Klinik Kesihatan Bakar Arang. Aku ditugaskan bahagian makanan utama jamuan hari raya tersebut iaitu menguruskan pembelian lemang. Baru tiga hari yang lepas aku membeli 50 batang lemang untuk jamuan hari raya anjuran Kawasan Rukun Tetangga Taman Intan, dan besok aku akan membeli 10 batang lagi lemang untuk jamuan Klinik Kesihatan Bakar Arang. Lemang yang dibeli adalah dari sahabat aku yang berniaga ditepi jalan ke Tikam Batu berhadapan dengan Taman Sri Pinang. Aku rasa lemang yang dijual adalah yang terbaik di kawasan ini.


Cuaca hari ini amat baik dan sesuai untuk membuat kayuhan. Selepas minum petang dan membuat kerja pembaikan lampu belakang Rocsta 4x4, aku mengambil basikal dan membuat kayuhan di Bukit Taman Kempas. Bukit itu setinggi hampir 100 meter dari paras laut menempat dua tangki air yang dibekalkan oleh Loji Pembersihan Air Pinang Tunggal untuk bekalan di kawasan selatan Bandar Sungai Petani.
Pendakian bermula sebaik sahaja melepasi traffic light Taman Sejati Indah dan Lencongan Timur. Permulaan pendakian sejauh 400 meter mencapai ketinggian 50 meter, kemudian jalan ke puncak bukit tersebut menurun sejauh 1500 meter. Masa ini boleh lah merehatkan otot yang tadinya berkerja kuat membuat pendakian. Peringkat kedua pendakian setinggi 70 meter ini adalah yang paling mencabar. Jarak pendakian ini hanyalah lebih kurang 200 meter tetapi ada tempat kecuraman menjangkau 1:7.
Masa aku mula mencuba membuat pendakian dahulu aku tidak berupaya untuk menghabiskan dan hanya terdaya setakat sekerat jalan sahaja. Motorsikal kapcai juga terpaksa menggunakan gear paling rendah dan itu pun mengaum kuat untuk melepasi laluan tersebut. Alhamdulillah kini aku mampu menghabiskan pendakian walau terpaksa memerah semua kederat. Oh.. semasa menuruni bukit ini, aku terpaksa turun dan menolak basikal lebih kurang 50 meter pada tempat yang terlalu curam. Aku jadi gayat dan takut, takut tali brek putus ke, basikal jam ke... teruk.
Dari atas puncak bukit tersebut aku sering tidak puas melihat pemandangan kearah Pulau Pinang dan arah utara iaitu bandar Sungai Petani. Petang ini cuaca tidak berapa baik kerana berjerubu dan waktu pun telah agak lewat. Pemandangan terhad. Aku tidak berehat lama dan terus mengayuh turun.
Biasanya aku akan melalui jalan belakang untuk turun ke Taman Kempas tetapi hari ini aku terpaksa mengikut jalan yang sama kerana jalan belakang tersebut tidak dapat dilalui dengan selesa. Ini kerana banyak sampah yang dibuang dikiri dan kanan jalan tersebut. Sampah sampah tersebut adalah bahan binaan yang dipecahkan seperti batu bata, atap, siling, paip, mosiak untuk pengubahsuaian atau penambahan rumah. Banyak juga sampah terdiri dari perabut lama termasuk set sofa, almari meja dan kerusi yang telah rosak. Satu jenis samapah lagi ialah pokok yang ditebang dan dikerat. Sepatutnya semua jenis sampah tersebut dibuang di tempat pelupusan sampah yang disediakan oleh pihak Majlis Perbandaran, mungkin kerana jauh dan mungkin dikenakan bayaran, kontraktor yang melalukan pengubahsuaian rumah menari lokasi yang dekat untuk membuang sampah. Sikap ini banyak mendatangkan masalah kepada masyarakat yang berdekatan terutaman menjadi tempat pembiakan nyamuk, lalat, tikus dan bahan tersebut mungkin terbakar dan merebak ke kawasan perumahan berdekatan.
Aku berasa amat puas bila sampai kerumah walaupun jarak kayuhan hanya setakat 20 km. Terasa amat berbaloi membuat kayuhan petang hari ini.

Statistik :

   Mula ...................... 5.50 petang
   Tamat .................... 6.55 petang
   Jarak ...................... 20 km
   Cuaca .................... Redup, berjerubu
   Route ..................... Bukit Taman Kempas

.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan