Halaman

Ahad, 11 Disember 2011

Masjid Lama Pengkalan Kakap

Sebaik keluar dari perkarangan rumah untuk memulakan kayuhan, muka dan badan terasa sejuk dingin ditiup angin pagi. Sejuknya sampai ketulang. Kena teruskan juga kayuhan. Walau pun cuaca kurang elok dengan langit mendung, tetapi aku agak hujan tidak akan turun pada sebelah pagi.
Gerhana penuh 10 Dis 2011 mulai 7.45 mlm
Malam tadi aku berpeluang menyaksikan gerhana bulan. Bulan mengambang penuh. Pada mula lebih kurang jam 7.45 malam terdapat banyak tompokan awan hitam yang melindungi bulan. Aku berkata melepaslah peluang untuk menyaksikan phenomena gerhana bulan, tetapi awan tersebut hilang menjelang jam 8.00 malam. Ketika itu gerhana baru bermula dan boleh dilihat dengan jelas tanpa menggunakan sebarang 'visual aid' seperti telescope.
Pada masa itu aku berada di Lot 88, sebuah pusat komersial yang baru dibuka di Sungai Petani berhampiran Tol Sungai Petani Utara kerana menghadiri jamuan makan malam hujung tahun anjuran KRT Taman Intan. Ia diadakan sebagai tanda terima kasih kepada AJK KRT Taman Intan kerana menjalankan kerrja kerja sukarela melaksanakan aktiviti untuk penduduk setempat di sepanjang tahun. Jamuan diadakan di Restoren Masakan Itali, masakan saja cara Itali tetapi restoren dipunyai oleh rakyat tempatan. Kedengaran rungutan kecil ahli AJK mengatakan makanan biasa saje.
Sementara menunggu kehadiran semua AJK, sempat aku menyaksikan fasa pertama gerhana. Aku mengambil sedikit masa setiap 15 minit untuk melihat fasa fasa gerhana tersebut. Ianya tamat pada jam 10.45 malam.
Seperti kelmarin, hari ini ramai cyclist di jalan. Sebaik memasuki jalan lencongan Barat angin mula bertiup kencang hingga kayuhan terjejas, menjadi perlahan dan kadang kala terhuyung hayang. Kelajuan menjadi berat dan jauh lebih perlahan dari biasa. Aku memilih jalan dalam melalui Pekan Semeling untuk mengelakkan tiupan angin.
Apabila sampai ke penghujung jalan Rekreasi Tupah beberapa orang rider telah berada disana sedang berehat dan menghilangkan penat. Aku seperti biasa tidak berhenti tetapi terus berlalu turun. Destinasi seterusnya pendakian ke Muzium Arkeologi Merbuk. Terdapat beberapa kumpulan yang sedang melakukan kerja membersihkan kawasan. Aku rasa mereka ini secara sukarela datang bergotong royong. Satu kumpulan seramai 10 orang terdiri dari pemuda Cina dan kumpulan lain terdiri dari pemuda Melayu. Tahniah.
Aku meneroka kawasan belakang Pekan Merbok dan memasuki Kampung Hilir Merbuk. Sebaik memasuki kampung ini terdapat pintu gerbang besar dipasang di tengah jalan mengucapkan Selamat Datang. Disebelah belakang pula ucapan terima kasih.
Kebanyakkan jalan jalan kecil kampung disini mempunyai nama jalan dengan nama bunga. Kampung ini mempunyai kemudahan yang lengkap seperti tempat permainan kanak kanak, dewan, perpustakaan serta lain lain. Beruntung penduduk kampung mendapat kemudahan seperti ini.
Orang orang yang aku temui dijalan juga nampak begitu peramah. Mereka memberi senyuman dan menegur sapa apabila berselihih atau mengangkat tangan bila melihat aku. Seorang makcik begitu beriya iya disamping sangat mesra menjawap pertanyaan aku untuk menunjukkan jalan.
Masjid Lama Pengkalan Kakap, Merbuk
Secara tidak dirancang atau 'unconciously' aku memberhentikan basikal apabila ternampak bangunan lama ini. Aku memerhatikan dihadapan dan dibelakang jalan jika ada terdapat papantanda dan menjumpainya tersorok dicelah daun pokok yang rendang. Aku mengeluarkan kamera kompak dan mengambil beberapa shot gambar dari jalan.
Pernah dua kali aku mengayuh basikal melalui jalan ini dari arah bertentangan, tetapi aku tidak perasan ianya bangunan  masjid lama kerana bersebelahan terdapat sebuah masjid baru. Aku sering ternampak sebuah papan tanda menunjukkan arah masjid lama ini di Kampung Batu Hampar tidak berapa jauh dari sini. Aku ingatkan masjid ini terletak dikampung tersebut dan sering bercadang untuk melawat.
Menurut papan kenyataan yang terletak di luar, masjid ini didirikan disekitar tahun 1800. Ia adalah masjid tertua di kawasan ini dan didirikan oleh seorang tukang tempatan bernama Tukang Tok Man dan diawasi oleh Penghulu Hj. Md Salleh. Masjid ini sering dikunjung oleh Sultan Kedah TM Sultan Abdul Hamid iaitu Sultan Kedah yang ke -25 apabila beliau melawat kawasan ini.
Masjid ini telah dibaikpulih pada tahun 1994 oleh Jabatan Muzium dan Intikuiti. Setakat hari ini aku sedih kerana keadaan masjid tersebut terbiar, kawasan keliling tidak dibersihkan, pintu utama terbuka luas membolehkan binatang ternakan masuk. Bumbung juga didapati rosak dengan beberapa keping atap genting telah hilang atau jatuh. Lantai juga mula terdapat tompokan tahi burung dan kelawar.
Diharapkan pihak pihak bertanggungjawap dapat mengambil langkah segera sebelum kerosakkan lebih teruk kepada masjid ini.




Statistik
  Mula ................ 7.40 pagi
  Tamat ............... 10.45 pagi
  Jarak ................ 55 km
  Cuaca ............... redup dan berangin
  Laluan .............. Semeling - Rekreasi Tupah - Muzium Arkeologi - Kampung Hilir
                                Merbuk
    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan