Halaman

Isnin, 18 Februari 2013

SVTB1M .....

Aku berkayuh perlahan dihadapan Bangunan Lembaga Hasil di Jalan Lencong Timur. Cuaca agak panas dan aku keluar lewat kerana menunggu orang rumah pulang dari pasar. Kenapa pula nak kena tunggu, selalunya tiada masalah kerana ada kunci spare. Ada tetamu dirumah, seorang kawan bekas kuliah anak sulung yang sampai pada jam 6.00 pagi dari Melaka menaiki bas. Orang rumah tidak mahu tetamu tinggal seorang diri.
Kawan anak tersebut juga seorang doktor sedang bercuti datang berjalan ke Sungai Petani. Akan mengambil bas pulang malam ini. Hah.... tidak sampai 36 jam. Stress kerja katanya, perlu keluar berjalan untuk menenangkan fikiran. Tidak mahu memikirkan masalah tempat kerja. Bila berjalan atau  bercuti kurang banyak rasa stress. Aku mencadangkan supaya dia mengambil langkah untuk melibatkan diri dalam aktiviti berbasikal, kayuh bila ada masa lapang disebelah petang atau masa 'off'. Kalau boleh naik basikal pergi dan balik ke hospital bila diberitahu rumahnya tidak jauh.
Kelmarin, jalan dua lorong lencongan timur dihadapan Bangunan Lembaga Hasil ini dipenuhi dengan kereta dan motorsikal yang di parking dibahu jalan kedua dua hala. Aku juga berada disana diantara lebih 10,000 bekas tentera tidak berpencen. Macam tidak percaya terdapat begitu ramai bekas tentera dikawasan ini. Mungkinkah mereka ini datang dari seluruh Negeri Kedah.
Ada yang sudah berumur lebih 80 tahun kerana semasa beratur seorang tua lalu berhampiran dan sempat aku bertanyakan usianya. Ramai juga yang datang bertongkat dan berkerusi roda. Pelbagai ragam dan gaya yang boleh dilihat. Susah hendak percaya apabila merenung muka-muka ini bahawa mereka telah memberikan sumbangan dan khidmat kepada tanah air yang tercinta. Tidak kiralah berapa lama, belasan tahun atau tidak sampai 10 tahun. Mereka mempunyai alasan sendiri kenapa tidak terus berkhidmat hingga tamat tempuh dan bersara.
Anggota tentera yang tidak berpencen datang ke Dewan Serbaguna Lembaga Hasil Dalam Negeri Cawangan Sungai Petani pada hari ini untuk mengambil sumbangan kerajaan sebanyak RM1000.00. Ini adalah kali pertama veteran tentera tidak berpencen menerima sumbangan. Apa pun alasan sumbangan diberikan, memang tepat pada masanya. Dengan keadaan harga barang dan inflasi masa kini, jumlah tersebut amat bermakna kepada veteran.
Kebanyakkan veteran tentera ini tidak mempunyai pekerjaan yang baik atau berpendapatan lumayan. Seperti juga pesara tentera, kebanyakkan menjadi pengawal atau guard. Berapakah wang gaji dibawa pulang setiap bulan untuk menyara keluarga. Mungkin ada yang mempunyai pendapatan tinggi, tidak ramai. Sedikit sahaja bilangan yang bernasib baik.


Ramai yang mengharapkan sumbangan seperti ini dapat diteruskan setiap tahun. Ada juga kedengaran suara dari yang beratur mengatakan parti pembangkang berjanji akan memberikan bayaran tetap bulanan kepada bekas tentera tanpa berpencen sekiranya diberi mandat menerajui kerajaan selepas pilihan raya umum ke 13. Kenyataan tersebut cepat disangkal oleh seseorang. "Pembangkang ni muhong je .... ". Aku diam sahaja, takut kalau aku komen nanti jadi tidak elok atau jadi lain pula.
Aku sepatutnya belum sampai dimana tempat aku beratur sekarang. Aku memotong 'queue'. Aku nampak peluang apabila ada orang yang sedang memasang khemah mudahalih dihadapan pintu masuk utama. Berpura pura ingin tahu apa yang sedang dilakukan aku mendekati dan kebetulan berada didalam kelompok orang yang sedang beratur. Aku menanyakan sesuatu kepada seorang yang sedang beratur dan bertukar tukar pendapat (bersembang) tentang yang dilakukan. Aku tidak keluar barisan. Kalau ikut giliran aku akan berada lebih 500 meter dibelakang. Ada dua barisan, dikiri dan kanan pintu masuk. Kedua dua barisan hampir sama panjang. Cuaca redup dan mendong membantu, jika tidak berpeluh sakan semua yang beratur hampir 2 jam.
Banyak kedengaran sungutan tentang cara penyampaian sumbangan ini. Pada awalnya, wang sumbangan akan dimasukkan terus kedalam akuan. Pemohon dimestikan menyertakan salinan akaun bank semasa menyerahkan borang permohonan. Kenapa pula diberi secara tunai. Pula pemberian sumbangan diberi secara serentak. Tidak ke lebih elok jika dipecahkan kepada beberapa sessi.
Oleh kerana ramai juga veteran yang telah lanjut usia dan sakit, sepatutnya satu barisan atau laluan khas untuk mereka. Mereka tidak perlu beratur. Alhamdullilah ada pihak yang prihatin dan memberi laluan kepada golongan ini. Orang yang berbatur juga memberikan kerjasama dengan memberikan laluan untuk orang sakit dan tua kehadapan.
Walaupun jumlah yang datang lebih 10000, aku menjangkakan bayaran kepada semua akan dapat diselesaikan sebelum jam 12.00 tengah hari atau selewat lewatnya jam 1.00 petang. Aku sendiri beratur lebih kurang 2 jam. Sebelum memasuki dewan ada orang yang baru sampai memotong queue dan memohon kepada aku untuk memasuki dihadapan aku. Apa ndak dikatakan. Setuju sahaja lah. Lagipun seorang tambahan dihadapan tidak akan melengahkan.
Hamba Allah yang memotong dihadapan aku memberitahu ada pihak yang mengambil kesempatan membuat ucapan dan peringatan kepada orang beratur supaya berterima kasih kepada kerajaan yang mengeluarkan sumbangan. Ucapan lain yang menggunakan loudhailer berbaur ceramah politik. Ucapan diteruskan walau mendapat bantahan. Memang ada pihak yang menggunakan kesempatan ini untuk berkempen memandangkan PRU 13 sangat hampir.
Proses semakan dan pembayaran berlaku agak pantas.  Diluar dewan ada makanan dan minuman ringan disediakan. Tentu ramai yang lapar kerana beratur menunggu giliran. Ramai yang sampai ke lokasi sebelum jam 8.00 pagi.
Aku mengharapkan kepada yang menerima sumbangan agar menggunakan pemberian ini secara bijak dan berhemah. Jangan membazir kepada perkara yang kurang bermanafaat dan tidak berfaedah. Aku sendiri menggunakan wang ini untuk melunaskan hutang kad kredit yang aku gunakan untuk pembayaran pembedahan kecil pada bulan November lalu.

Statistik :
    Mula ............... 8.25 pagi 
    Tamat ............. 9.45 pagi 
    Jarak ............... 33 km
    Cuaca .............. Panas
    Laluan ............. Lencongan Timur - Barat
    Odometer 2013 : 00756   
       

Tiada ulasan:

Catat Ulasan